Perkataan
"karamah" adalah berasal daripada bahasa Arab. Di dalam ejaan bahasa
melayu, dieja dengan perkataan keramat. Istilah Karamah atau keramat ini
membawa makna sesuatu kejadian atau peristiwa di luar kebiasaan yang Allah
kurniakan kepada hamba Nya tanpa disertai pengakuan sebagai seorang Nabi. Ianya
tidak mempunyai doa, bacaan tertentu mahupun zikir yang khusus untuk
memperolehi karamah.
Dalam
hal ini, perkara yang menunjukkan karamah terkandung dalam al Quran dan juga
sunnah. Malah berlaku juga karamah secara kenyataan. Sifat karamah ini
dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang benar-benar beriman dan
bertaqwa. Hal disebutkan oleh Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah Yunus
ayat 62-63 yang bermaksud :
"Ingatlah,
sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan
tidak (pula) mereka bersedih hati. (62) (Iaitu) orang-orang yang beriman dan
mereka selalu bertaqwa"
Berdasarkan
ayat diatas, dapat kita fahami bagaimana Allah SWT mengkhabarkan tentang
keadaan wali-wali Nya dan sifat-sifat yang ada pada mereka. Mereka itu adalah
orang beriman kepada Allah dalam segenap hal. Mereka yang disebutkan sebagai
wali Allah ini adalah mereka yang berterusan mengabdikan diri kepada Allah
dengan melaksanakan segala perintah Nya dan meninggalkan segala larangan Nya.
Sifat wali yang berterusan beribadah kepada Allah, beriltizam dengan agama,
tidak bersedih dan bimbang dengan kehendak dunia, juga merupakan sebuah karamah
yang Allah kurniakan.
Begitu
juga karamah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja baik lelaki mahupun perempuan.
Sepertimana yang diceritakan oleh Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 37 yang
bermaksud :
"Maka
Tuhan menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya
dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharanya. Setiap
kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, dia mendapati makanan di
sisinya. Zakaria bertanya, Hai Maryam, dari mana kamu memperoleh (makanan) ini
?' Maryam menjawab, 'Makanan itu dari sisi Allah'. Sesungguhnya Allah memberi
rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya tanpa hisab".
Ayat
diatas menunjukkan kepada kita kejadian yang luar biasa yang Allah anugerahkan
kepada Maryam. Ini adalah sebahagian karamah yang disebutkan di dalam al Quran.
Ianya bukanlah sesuatu yang ajaib berlaku sebaliknya terjadi dan di beri dengan
izin dan kehendak Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang Allah kehendaki. Tidak
ada amalan khusus tertentu untuk menjadi karamah melainkan semua hal tersebut
diatas kehendak Nya.
Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahawa tidak
lah setiap wali itu harus memiliki karamah. Bahkan, wali Allah yang tidak
memiliki karamah boleh jadi lebih utama daripada yang memilikinya. Oleh sebab
itu, karamah yang terjadi dalam kalangan para tabi'in itu lebih banyak daripada
dalam kalangan para sahabat. Walhal, para sahabat lebih tinggi kedudukannya
berbanding para tab'in.
Syaikh
Abdul Aziz bin Nashir ar Rasyid membuat kesimpulan bahawa karamah atau kejadian
luar biasa yang berlaku terbahagi kepada tiga, iaitu (i) mukjizat yang terjadi
pada para Rasul dan Nabi, (ii) karamah yang terjadi pada para wali dan (iii)
tipu daya syaitan yang terjadi pada wali-wali syaitan. Maka apabila terdengar
atau melihat sesuatu keadaan yang luar biasa pada zaman ini, kemungkinan ianya
benar-benar karamah yang terjadi pada wali dan boleh jadi ianya hanya sekadar
tipu daya syaitan yang mahu memperdayakan manusia semata-mata.
Dalam
kitab A'lamus Sunnah al Mansurah, dirakamkan perkataan al Imam as Syafie yang
berkata :
"Apabila
kalian melihat seseorang berjalan diatas air ataupun terbang di udara, maka
janganlah mempercayainya dan tertipu dengannya sampai kalian mengetahui
bagaimana dia dalam mengikuti Rasulullah SAW"
Berdasarkan
perkataan Imam as Syafie, dapatlah kita menyimpulkan bahawa kejadian luar biasa
yang ditunjukkan kepada kita dengan keadaannya yang berperwatakan agama, dengan
pakaiannya yang kelihatan soleh, namun dirinya tidak mengikuti apa yang
terkandung dalam al Quran dan as Sunnah, maka dirinya bukanlah daripada orang
yang mendapat karamah. Sebaliknya tipu daya syaitan semata-mata.
Melihat
kepada isu ini, golongan Ahlis Sunnah Wal Jamaah berpendirian dengan tidak
menafikan adanya karamah selagi mana hal itu berlandaskan al Quran dan as
Sunnah. Di sisi Ahlis Sunnah Wal Jamaah, karamah boleh berlaku kepada wali-wali
Allah dan kejadian karamah itu tidaklah bercanggah dengan syarak. Ada pun
sebahagian kelompok lain, yang terlalu melampau dalam melihat karamah, mendakwa
itu ini yang sehingga bercanggah dengan akidah, seperti golongan tarekat sufi
dan Quburiyin (pemuja kubur), mereka datang kepada manusia dengan menampakkan
hal luar biasa tersebut namun sebenarnya itulah tipu daya syaitan yang mahu
menyesatkan orang beriman.
Oleh
yang demikian, kita sebagai orang awam yang tidak menguasai ilmu agama dengan
mendalam, perlu berhati-hati mendengar dan melihat sesuatu hal yang luar biasa
kerana ditakuti ianya adalah perangkap syaitan. Usah lah tertipu dengan
perwatakkan agama, berjubah serta berserban namun hakikatnya beliau hanya mahu
menonjolkan dirinya mendakwa dirinya wali. Walhal, perkara itu tidak benar dan
bukanlah tujuan karamah ini untuk mendabik dada membesarkan diri sendiri.
Semoga Allah merahmati dan melindungi kita semua daripada tipu daya syaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan