Selasa, 14 September 2021

DEMOKRASI YANG ROSAK ATAU MANUSIA YANG TAMAK ?

 

Perkembangan semasa yang berlaku pada hari ini sedikit sebanyak telah membuka ruang untuk orang ramai berfikir tentang apa sebenarnya yang membebalkan hidup. Sistem atau pelaku yang menjalankan sistem. Maka bertitik tolak daripada itu, kedengaran semakin kencang berkenaan gesaan menolak sistem demokrasi dan menuju kearah sistem khilafah.

Kononnya, sistem khilafah adalah merupakan suatu sistem terbaik dan ianya solusi daripada Islam. Dakwaan ini bertambah hebat apabila sebahagian mereka yang tidak memahami sistem demokrasi mendakwa dan menuduh demokrasi suatu alat tentera Dajjal untuk menjauhkan manusia daripada ajaran agama yang sebenar. Kenyataan rambang ini seolah-olah menuduh bahawa orang Islam telah tertipu terperangkap dalam jerat musuh Islam.


Sepanjang penelitian berkenaan demokrasi, tidak ada satu pun dikalangan para sarjana Islam yang mengakui demokrasi satu-satunya sistem terbaik tanpa adanya cacat dan kekurangannya. Sebaliknya, sebahagian sarjana Islam berpandangan, demokrasi merupakan suatu sistem yang berpijak di bumi realiti dan mampu merealisasikan matlamat syariah dengan berkesan. Sepertimana pandangan Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Fi Fiqh al Daulah, beliau menyatakan bahawa demokrasi suatu sistem yang mampu memancarkan syariat Islam sesuai dengan tuntutan perubahan keadaan semasa. 

Untuk berlaku adil menghukum sesuatu sistem, kita perlulah melihat daripada pelbagai sudut dan keadaan. Bukan sekadar melihat sebelah mata. Beberapa gesaan untuk menolak demokrasi berdiri diatas beberapa huiah dan alasan yang sering diberikan. Mereka yang menolak demokrasi sering mendakwa bahawa demokrasi telah digunakan untuk menindas umat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Sekiranya ini yang mereka dakwa, maka kita akui inilah kelemahan demokrasi diatas sikap manusia yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan beberapa negara kuasa besar menceroboh dan menindas umat negara Islam sudah pun telah merobohkan makna demokrasi yang sebenar. Tetapi untuk mengatakan demokrasi buruk sepenuhnya, kita perlu pertimbangkan yang mana yang lebih banyak antara baik buruknya. Seperti dalam hukum arak, menerusi firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 219 yang bermaksud :

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah : "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaat dan mereka bertanya pula kepadamu : Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan) ? Katakanlah : "Dermakanlah apa -apa yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat Nya (keterangan-keterangan hukum Nya) supaya kamu berfikir"

Berdasarkan ayat tersebut, kita dapat melihat Allah SWT telah mengharamkan arak dan pada masa yang sama Allah sendiri mengakui bahawa arak itu mempunyai manfaat. Namun, keburukan arak tersebut lebih banyak berbanding manfaat yang telah menyebabkan Allah mengharamkan arak. Oleh itu, untuk mengatakan demokrasi itu adalah buruk, kita mesti kembali kepada keadaan realiti semasa dan mempertimbangkan manfaat dan mudharat.




Jika hendak dilihat kepada keburukan, sistem khilafah juga mempunyai sejarah gelapnya. Dalam kitab al Bidayah wa al Nihayah karangan Imam Ibn Kathir, diceritakan ketika pada zaman pemerintahan Dinasti Umawi yang masih dianggap sebagai khalifah Islam, seorang Gabenor Iraq bernama Hajjaj Yusuf al Saqafi telah melakukan pembunuhan yang cukup tragis terhadap seorang sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Zubair. Adakah ini menunjukkan sistem khalifah dahulu teruk dan buruk ?

Sebahagian mereka yang menggesa menolak demokrasi juga berhujah dan beralasan sistem tersebut merupakan suatu bentuk penipuan kerana di dalamnya terkandung pilihanraya yang boleh membuka ruang untuk berlaku penipuan. Alasan dan hujah ini tidaklah menghalang kita untuk terus terlibat dengan demokrasi. Seperti dalam sebuah hadis riwayat al Tirmizi daripada Asma' binti Yazid berkata bahawa Nabi ada berkata ;

 

"Tidak halal menipu kecuali pada tiga keadaan ; berkata seseorang lelaki terhadap isterinya untuk mengembirakan isterinya itu, penipuan dalam peperangan dan penipuan untuk membaikkan antara manusia yang bergaduh"

Begitu juga kisah berkenaan seorang sahabat Nabi yang bernama Ammar bin Yasir. Beliau telah diseksa oleh Umayyah bin Khalaf sehingga beliau tidak mampu menahan kesakitan. Lantas keadaan tersebut telah memaksanya menyebut perkataan kufur dengan lidahnya menyebut ketuhanan Latta dan Uzaa. Keadaan tersebut telah diberitahu kepada Rasulullah sehingga turun lah ayat 106 surah an Nahl yang bermaksud :

"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang dan tenteram dengan iman ; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula peroleh azab yang besar"




Sekiranya alasan hujah mengharamkan demokrasi diatas sebab membuka ruang penipuan, bagaimana pula dengan sistem khalifah dahulu yang telah membuka ruang dosa yang lebih besar dari menipu iaitu dengan membunuh orang sepertimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah al Wathiq yang membunuh Imam Ahmad bin Nasr al Khuzaie kerana telah banyak mengkritik beliau.

Kita bukanlah mahu memburukan mana-mana sistem yang sedia ada. Kerana itu, Islam tidak pernah meletakkan suatu ketetapan sistem yang khusus untuk memerintah. Selagi mana perkara itu tidak melanggar syarak, maka ianya diharuskan. Akhirnya, apa yang boleh kita fikirikan bersama ialah, adakah demokrasi yang rosak atau sikap manusia yang tamak ? Melihat pelbagai sistem yang sedia ada, maka sekurang-kurangnya demokrasi lebih bermanfaat dan lebih berpijak pada realiti yang nyata. Datang lah walau apa pun sistem sekalipun, selagi manusia bersikap tamak, penting diri sendiri, maka tidak ada satu pun sistem yang boleh selamat. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan