Rabu, 19 Julai 2023

ISLAM DAN KEDATANGAN TAHUN BAHARU HIJRAH

 

Masa atau waktu adalah suatu sistem bagi makhluk Allah SWT yang padanya mengikat kehidupan setiap hamba Nya. Pada yang namanya makhluk, pastinya tidak dapat lari daripada putaran masa yang menjadi sunnatullah. Suka atau tidak, setiap detik akan berlalu pergi sehinggalah hari berganti bulan, bulan berganti tahun dan demikianlah dunia ini bergerak. Begitulah sistem peraturan masa yang mengikat para makhluk Nya. Tidak ada sesiapa pun dikalangan makhluk Nya yang terkecuali dari sistem peraturan masa ini. Adapun kita sebagai hamba Nya yang berjalan diatas putaran masa ini, akan merasai dan melalui setiap detik-detik kehidupan ini dengan penuh ketakjuban kita pada Nya. Manakan tidak, dahulu rupa paras kita yang cantik dan tegang, tenaga kita yang dahulu kuat, kini kian berubah riak wajah selari dengan peredaran masa yang berlalu pergi.

Allah telah berulang-kali bersumpah dengan masa, mengkhabarkan kepada kita bahawa setiap yang namanya insan itu pastinya akan berada dalam kerugian. Rugi masa, rugi tenaga, rugi harta, kecuali bagi mereka yang beriman kepada Allah, melakukan amal soleh, berpesan kepada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Maka untuk mengeluarkan kita daripada kerugiam, hanyalah melalui jalan bertaqwa kepada Allah SWT. Sebab itu, bagi orang yang bertaqwa, kedatangan tahun baharu tidak mendatangkan apa-apa kesan yang mendalam melainkan melangkah ke hari baru dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Oleh sebab itu, kita dapat melihat di sana tidak terdapat sebarang petunjuk yang sahih dari baginda Nabi SAW untuk menyambut tahun baharu hijrah.




Ini kerana, umum telah mengetahui bahawa kalendar hijrah tidak wujud lagi di zaman Nabi. Kalendar hijrah telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab dengan mengambil kira bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan tahun hijrah. Dan bulan Muharram juga, bukanlah bulan yang terkait dengan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Ini kerana, dalam catatan sirah Nabi SAW, baginda bersama umat Islam Mekah, telah memulakan perjalanan berhijrah pada hujung bulan Safar dan sampai ke Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. Pun begitu, bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama bagi perkiraan kalendar tahun hijrah adalah setelah mengambil kira faktor selesainya umat Islam menjalani ibadah haji, yang padanya merupakan kemuncakan peribadatan kepada Allah.

Oleh itu, tidak ada sebarang petunjuk yang sahih berkenaan anjuran membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Namun begitu, telah menjadi amalan para sahabat Nabi SAW berdoa sebelum memasuki bulan atau tahun baharu. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menukilkan kata-kata Abdullah bin Hisyam RA yang bermaksud :

Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa (berikut) sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan baharu atau tahun baharu : "Ya Allah, masukkanlah ia (bulan atau tahun baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada Al-Rahman".

Menjadi kelaziman umat manusia, azam dan tahun baharu berpisah tiada. Biasanya, keazaman diri akan terkait dengan kedatangan tahun baharu. Dalam Islam, untuk berazam atau bertekad untuk berubah, tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu. Kerana setiap detik dan waktu yang berlalu adalah harapan bagi kita umat manusia. Untuk memperbaharui niat dan azam, bukanlah syarat perlu tunggu datangnya tahun baharu. Malah setiap detik dan ketika, adalah peluang bagi kita untuk berazam dan perbaharui niat. Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku lalu berkata :

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu".




Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya tidak perlu menunggu saat dan ketika datangnya tahun baharu untuk perbaharui azam dan niat. Mulai saat ini, detik dan ketika ini, kita disuruh untuk segera perbaharui niat dan azam, melakukan perubahan diri pada setiap masa. Tanp berlengah, kita mesti berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Ada pula sebahagian kita beranggapan, membaca doa akhir tahun dan awal tahun sebagai memberkati amalan kita dengan harapan diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Dakwaan ini seperti tepat dengan datangnya tahun baharu. Ibarat pepatah melayu berkata "tutup buku lama dan buka buku baru". Pun begitu, dakwaan ini tidak berasas dan tiada sandaran dalil yang sahih. Ini kerana, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, amalan manusia akan dibentangkan atau diangkat kepada Allah pada setiap hari (pagi dan petang), setiap dua kali seminggu (setiap isnin dan khamis) dan pada setiap tahun iaitu pada bulan Sya'ban.

Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?' Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat."

Dalam hadith lain, riwayat Muslim, amalan kita aka diangkat pada setiap dua kali seminggu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."




Demikianlah pula amalan kita akan diangkat setiap tahun pada bulan Sya'ban. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Imam an-Nasa'i, yang bermaksud :

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"

Kedatangan tahun baharu hijrah mengingatkan kita supaya mencari keberkatan dalam nikmat usia yang dikurniakan. Keberkatan hidup pastinya diperolehi oleh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Untuk itu, kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui azam dan niat dan sentiasa berusaha berubah menjadi lebih baik pada setiap detik dan ketika agar kita diberikan keberkatan masa dan kehidupan ini. Tahun baharu adalah sekadar perubahan angka sahaja. Namun hakikatnya, perubahan manusia itu terletak kepada diri kita sendiri. Oleh itu, agama ini mengajarkan kita akan menginsafi kepentingan masa. Bukan sekadar dihayati setiap kali beralih tahun baharu, tetapi pada setiap detik yang berlalu pergi. Bagi setiap muslim, waktu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Dengan nikmat keberkatan ini, tiada tolak tanding harganya dengan segala isi dunia ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 15 Julai 2023

BENARKAH ISLAM ANTI-MUZIK ?

 

Kehidupan normal sebagai seorang manusia tidak dapat menafikan tentang keperluan untuk diri berhibur sebagai salah satu langkah juga untuk mengurangkan tekanan disamping naluri itu sendiri memerlukan hiburan yang menyeronokkan. Pada asasnya, berhibur adalah hukumnya harus. Keharusan berhibur ini pula bergantung kepada bagaimana hiburan itu berlaku. Berhibur dengan cara meminum arak, menari lenggok di khalayak ramai dan seumpamanya lagi akan membawa hukum haram berhibur seperti itu. Pun begitu, jika hiburan itu sekadar menyanyi, bergurau senda, pertunjukkan permainan dengan tidak melampaui batas, maka agama membenarkannya.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Bahawa pada hari raya Fitri dan Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu'ath (peperangan Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata : "Suara syaitan" (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda : "Biarkan mereka wahai Abu Bakr ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita"

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, ketika Nabi SAW menghadiri suatu majlis perkahwinan orang Ansar, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

"Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda : "Wahai Aisyah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang Ansar sukakan hiburan".




Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi SAW sangat bertoleransi dengan kecenderungan orang Ansar yang sukakan kepada hiburan. Maka secara umumnya, berhibur dalam Islam adalah sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Namun begitu, umat manusia yang cenderung kepada hiburan mempunyai pelbagai cara untuk berhibur termasuklah dengan cara mendengar dan bermain alat muzik. Persoalannya, adakah Islam melarang mendengar dan bermain alat muzik ? Ini kerana sebahagian masyarakat berpandangan muzik adalah sesuatu yang melalaikan. Bahkan, muzik juga dilihat sebagai suatu permulaan kepada perkara maksiat dan sia-sia.

Perkataan muzik menurut Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab Ighathah al-Lahfan, membawa maksud seluruh alat muzik atau permainan. Imam al-Zahabi pula dalam kitab al-Tazkirah, beliau menyatakan bahawa muzik mencakupi seluruh alat muzik atau permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi sesebuah lagu atau syair. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, muzik berasal dari bahasa inggeris yang sinonim dengan bunyi-bunyian, irama, lagu, nada, senandung dan tanji. Berdasarkan maksud yang telah disebutkan ini, jelas kepada kita bahawa muzik merupakan alat dan bunyian yang mengiringi sesuatu nyanyian atau syair. Ini juga boleh disebutkan dengan kata lain, muzik adalah suatu instrumen yang menjadi penambahan kelunakan sesebuah nyanyian atau syair di dendangkan.

Dari segi hukum berkenaan muzik, para ulama telah berbeza pandangan. Perbezaan ini termasuk dalam bab khilaf yang muktabar, iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara umumnya, jumhur atau majoriti ulama dan fuqaha' mengharamkan alat muzik. Tetapi sebahagian mereka mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Mereka yang berpandangan haram antaranya adalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Dalam kitabnya, Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahwa mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang. Tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya.




Selain itu, turut berpandangan haram ialah Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Kaff al-Ri'aa. Beliau menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). Menurut Imam Ibn Qudamah pula dalam kitabnya, al-Mughni, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan.

Mereka yang menyatakan pandangan haram muzik ini diatas beberapa hujah berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith. Antanya firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud :

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan".

Menurut Ibn ‘Abbas dalam kitab tafsirnya, sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Imam Mujahid pula berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Demikian juga Imam Hasan al-Basri menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. Dalil yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”

Demikian beberapa hujah dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW. Pun begitu, sebahagian para ulama yang lain pula berpandangan hukum berkaitan muzik adalah harus. Antaranya ialah Abu Bakar Ibnu al-Arabi dalam kitab Ahkam al-Quran. Beliau menyatakan bahawa hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. Begitu juga pandangan Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla bil Athar, beliau membahaskan hukum nyanyian dengan mengatakan bahawa semua riwayat hadith tentang haramnya nyanyian adalah batil.




Beliau turut menjelaskan bahawa pada ayat 6 surah Luqman yang menjadi pengharaman nyanyian pula, ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan. Oleh kerana itu, jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Selain itu, Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nail al-Autor meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi'in yang menunjukkan keharusan mendengr nyanyian dan muzik antaranya Ibnu Umar, Muawiyah, Amru bin al-'Aas dan Abdullah bin Jaafar.

Dalam konteks fatwa semasa, al-Marhum Syeikh al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya Halal dan Haram dalam Islam, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama. Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.

Selain itu, Fatwa Dar al-Iftaa' Misriyyah menyatakan bahawa nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk. Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata. Secara mudahnya, berhibur dengan mendengar atau bermain muzik adalah diharuskan selagimana perkara tersebut tidak melanggar batasan syarak. Inilah juga asas pendirian Islam dalam banyak urusan kehidupan. Setiap perkara ada batasan. Maka jelaslah Islam bukanlah anti-muzik selagi tidak bercanggah dengan peraturan Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.