Sejarah bukan topik yang ramai orang suka. Ramai yang cuba mengelak dari ambil tahu tentang sejarah. Malah antara masalah ibubapa moden zaman sekarang, mereka sendiri 'zero' dalam mengetahui sirah dan sejarah nabi. Berapa ramai yang boleh cerita pada anak-anak tentang Nabi Muhammad dari A-Z? Kalau tahu pun hanya yang wajib tahu dalam sukatan sekolah. Nak cerita semua dalam buku teks pun belum tentu boleh. Sebab belajar dulu sebab nak jawab exam! Kenapa jadi macam tu? Antara puncanya ialah kerana kita memisahkan sejarah itu daripada mengaitkan dengan diri kita. Sejarah hanya sejarah! Sedangkan itulah SUNNAH yang sebenar, akan berulang berlaku pada zaman kita. Kita hanya mengulangi apa yang Rasulullah lalui. Begitulah sunnah terjadi pada nabi-nabi terdahulu hingga kepada kita. Sunnah bukan sekadar ritual, tetapi satu peristiwa aktual yang berlaku berdasarkan pimpinan wahyu.
Kita jangan kata bangsa Arab zaman nabi itu sahaja yang jahiliyyah. Zaman sekarang pun manusia masih jahil dan terlalu banyak hukum jahiliyyah berlaku di zaman moden! Tujuan kita mengkaji riwayat hidup Rasulullah saw dan menganalisanya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Pentingnya setiap yang mengaku Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam seluruh kehidupan Rasulullah itu sendiri, dari hari pertama baginda lahir sehingga baginda wafat.
Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu. Kita kena kenal dasar-dasar Islam kemudian memadankannya dengan menyesuaikan dengan sunnah dan segala tindakan nabi sepanjang pembangunan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Memahami peribadi Nabi Muhammad saw menerusi penghidupan dan suasana hidup Baginda sendiri. Supaya kita dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup, dari itu juga dapat dijadikan sebagai panduan dalam urusan melibatkan dasar agama.
"Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu". (Al-Ahzab 33 :21)
Segala kupasan tentang kehidupan Muhammad SAW boleh membantu kita memahami dan melaksana isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat Al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa melalui sejarah hidup Nabi Muhammad. Sejarah Nabi Muhammad saw menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama untuk kita mencipta generasi yang waras, peribadinya yang dipercayai orang di kalangan keluarga dan sahabat, seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah.
Seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar seorang suami yang halus pergaulannya, seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri. Seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan tektik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan para sahabat handai. Sesungguhnya mempelajari sejarah hidup Nabi Muhammad saw ialah memahami semua sudut kemanusiaan.
Ajarlah anak-anak kita mengenali sosok tubuh bernama Muhammad itu. Itu sahaja contoh dan uswah terbaik dari seluruh nabi-nabi yang diutus Allah. Bodohlah kita kalau sebagai ibubapa, penjaga dan waris jika kita masih membanggakan idola lain sebagai role model anak-anak kita. Malulah sebagai seorang Islam, yang mengaku beriman dan bersyahadah atas nama baginda setiap hari. tapi tak kenal siapa Muhammad saw, nak cerita tentang sejarahnya pun tak tahu. Rasalah terhina kerana syafaat untuk kita masuk ke syurga hanya mampu kita dapat dari baginda setelah diakui sebagai umat MUHAMMAD.