Sabtu, 5 November 2016

KITA ADALAH APA YANG KITA BACA

Jika disusun buku-buku novel idaman malaya sahaja, terlalu banyak yang nak disenaraikan. Berjilid-jilid ditulis sampai ada yang dah jadi trilogi dan beranak-pinak novelnya. Ratusan ribu buku yang telah ditulis, berjilid bersiri dan bermuka surat tebal itu sanggup dihadap oleh anak dara kita. Tak lepas juga si anak teruna pun ada yang hantu novel juga. Semua menjadi demam, jadi ketagih tak kurang yang beremosi membaca sambil berlinangan air mata. Kerana terlalu khusyuk menjiwai jalan cerita. Ada juga yang sampai buat whatsapp group semata-mata nak memahami cerita yang berbelit-belit. Ada cerita penuh rahsia, kod breaking dan misteri dikupas satu persatu supaya pakat faham apa yang nak disampaikan si penulis.
Ada pula yang sanggup tinggal makan minum dan skip tidur malam kerana nak habiskan novel yang baru dibeli, baru publish sebab nak jadi orang yang pertama tahu dan boleh komen dalam group. Semangat inilah yang menjadikan anak-anak terlebih kreatif dalam hidup. Panjang akal dengan imaginasi dan emosi jiwa, berangan dan hidup dalam khayalan. Nah, keluar pula cerita pukul 7 malam. Satu-satu cerita 2 muka surat jadi 1 episod. 1 buku dah jadi 50 episod. Setiap episod jadi bahan bualan, sembang harian, gosip dan ikutan. Dari anak, ibu dan makcik di kampung pun terlepas solat Maghrib awal waktu kerana nak khatamkan cerita di tv. Satu berhala dalam rumah yang berjaya memesongkan KIBLAT kita dari Allah kepada perkara yang lagho!


Dari kertas yang makan umur anak-anak kita 3-4 jam sehari dah membawa sampai ke kaca tv jadi 50 jam. Itu baru satu novel, kalau ada 20? 50? 1000 novel? Berapa jam dah terlebur hanya untuk angan-angan kosong dari kisah yang langsung tak membangunkan agama? Diri dan keluarga? Hidup dengan ilustrasi manusia yang mahu lari dari realiti dunia. Al-quran yang hanya 114 surah, itu pun belum habis kita khatam. Kalau arabnya sudah, kefahamannya bagaimana? Al-quran yang WAJIB kita tahu, hafaz (pelihara) dan laksana (amal) segala perintah dan peraturan hidup kita lagilah kita kena kerja keras buat apa yang disuruh dan istiqomah setiap masa.
Malangnya bagi kita dan anak-anak generasi kita, bila emak bapak yang beriya menyuruh anak membaca bahan yang tidak membina jiwa beragama tetapi dilaburkan duit dan masa untuk urusan yang leka. Mari kita kira dan hitung dari usia 7 tahun (sekolah rendah) sampailah dewasa 25 tahun (keluar universiti) berapa banyak buku, silibus, novel, buku teks yang sudah dikhatam, dibaca dan diulangbaca diulangkaji? Benar, asas membaca bermula dari buku. Tetapi jangan dilupa apa yang wajib kita utamakan. Kita perlu dahulukan. Kenal huruf, nama, makna dan maksud untuk kita mampu memahami setiap ayat dan topik dalam sebuah buku.
Selama 18 tahun kita hidup dari darjah 1 sampai graduasi, mari kita muhasabah sepanjang usia itu sudahkan kita berjaya khatamkan al-quran dengan memahaminya untuk mencipta diri kita menurut kehendak Allah? Laksanakan segala titah perintah mendaulatkan al-quran sebagai perlembagaan hidup! Jika belum. Bila kita nak mula mendekati al-quran dan berusaha untuk memahaminya? Dalam sibuk menonton cerita di tv? Sibuk beratur beli tiket wayang? Sibuk jiwang menjadi lelaki romantik dan perempuan yang dicipta dengan angan-angan palsu. Novel kita boleh habis khatam? Kenapa susahnya kita nak baca al-quran dan hidup mencari jalan memahami maksudnya?
Kita lebih tahu kisah tentang ADAM DAN HAWA di dalam novel dari kisah sebenar nabi adam di dalam al-quran. Dari surah al-Fatihah hingga ke surah An-Nas, semua itu adalah formula untuk mencipta kita menjadi insan yang bebas dari sistem manusia. Membaca al-quran tetapi tidak faham maka akhlak yang hidup dalam jiwa kita bukan dengan roh agama. Jauh dari kemahuan ingin membuktikan diri menjadi manusia sebagaimana mahunya Allah. Tetapi kita menjadi manusia yang dicipta dengan imaginasi manusia yang mencipta dunia 'bukan realiti'. Tidak mengikut fitrah manusia biasa dan menjadikan angan-angan sebagai fantasi untuk keluar dari dunia sebenar.
Mencipta watak-watak novel dalam diri, bukan watak berakhlak al-quran. Jiwa kita mampu menangis kerana terlalu khusyuk menjiwai sebuah novel tapi malangnya bila membaca al-quran kita menjadi orang yang paling kedekut air mata, sombong untuk menjiwai ayat-ayat Allah dan tak ada langsung roh menghidupkan agama-Nya. Siapa kita? Kita hanyalah watak novel yang hidup dengan tulisan dan ayat-ayat manusia, bukan dengan wahyu dan kalam Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan