“Pantang berundur sebelum
berentap”. Demikianlah klausa kata yang tepat untuk mengambarkan pada dunia kekuatan
kumpulan nasyid Soutul Syakirin dari Sekolah Kebangsaan Kampong Serdang yang
julung kalinya melangkah ke Karnival Dakwah peringkat Negeri Perlis 2017. Mereka bukanlah kumpulan pilihan malah tidak
pernah muncul di pentas peringkat negeri Perlis. Namun semangat mereka yang
jitu, mereka tetap melangkah dengan penuh bergaya. Kumpulan ini dari zero kini
menjadi hero mewakili kawasan Tambun Tulang, menyusun langkah mengatur gerak
menjanjikan saingan hebat kepada kumpulan yang lain. Kemenangan bukan yang
dicari namun kenangan serta pengalaman yang di burui. Hakikatnya, mereka ini
meskipun baru dalam industri nasyid sekolah-sekolah di Perlis, namun setiap
dikalangan mereka tidak pernah terkeluar lafaz “give up” di bibir mereka. Ini
melambangkan jati diri mereka utuh dan tiada istilah kalah sebelum berjuang
habis-habisan.
Soutul Syakirin, satu nama
baru dalam karnival dakwah dan banyak perkara yang harus mereka terokai selepas
ini. Jauh dari satu sudut, kemaraan mereka ini ke pentas akhir festival nasyid
adalah suatu perkara yang harus dibanggakan kerana mereka bermula dari tiada
apa-apa “zero” tetapi itu semua bukanlah penghalang kepada mereka untuk
mencabar dan memberi saingan sengit pada kumpulan yang lain. Apa yang boleh
kita katakan, jika sesuatu perkara tersebut kita laksanakan dengan
bersungguh-sungguh, mengorbankan keringat fikiran dan tenaga, tiadalah yang
mustahil bagi kita. Acapkali selepas latihan, seringkali ditanamkan
nasihat-nasihat berguna agar selepas ini, mereka akan menjadi insan yang redha,
insan yang akur akan ketentuan takdirNya dan moga mereka menjadi insan yang
tidak lupa diri bila dijulang, tak lemah longlai bila dibuang.
Kadang-kala, kita boleh
belajar dari telatah anak-anak Soutul Syakirin ini. Hidup ini terkadang kita
terlupa erti kesabaran, maka merekalah yang banyak menguji kita dan mengajarkan
pada kita makna sabar yang sebenar. Sabar dalam mendidik displin mereka dalam
membuat persembahan, sabar akan karenah mereka yang kadang kala terlewat turun
latihan, sabar akan sikap kenakalan mereka yang akhirnya mendidik kita erti
indahnya hidup jika kita benar-benar bersabar. Antaranya lagi, satu perkara
yang kita boleh pelajari dari karenah mereka ini juga ialah sikap pantang berundur
sebelum berentap. Jauh dari sudut benak hati mereka, mereka harus akui bahwa
mereka bukanlah kumpulan pilihan. Namun, perkara remeh seperti ini tidak
sedikit pun dapat mematahkan semangat
darah kewiraan mereka. Berbekalkan
semangat serta azam yang kukuh, mereka tetap melangkah senyum mengukir kenangan
di pentas akhir Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri Perlis.
Inilah semangat dan kekentalan yang harus kita pelajari dari mereka yang tidak
berdosa ini.
Kemenangan bukanlah yang di
cari namun pengalaman yang di burui. Kekalahan mereka pada hari ini bukanlah
penamat kepada segala usaha mereka. Namun kekalahan mereka pada hari ini pasti
akan membangkitkan semula roh-roh perwira untuk terus berjuang menjulang nama industri
nasyid khususnya buat sekolah tercinta mereka, Sekolah Kebangsaan Kampong
Serdang, Simpang Empat Perlis. Kita doakan agar semangat juang tinggi mereka
ini akan terus berkobar-kobar dalam diri mereka dan juga semoga kita semua
dapat mempelajari sesuatu daripada mereka yang masih mentah tidak berdosa ini.
Pastinya, tahun 2017 akan menjadikan tahun memori terindah mereka atas kemaraan
mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kumpulan-kumpulan
nasyid yang lain. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia juga di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan