Rabu, 26 Julai 2017

SI ULAMA KECIL : SAHAM ABI & UMI

Anak adalah anugerah yang di idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Menjadi impian malah ianya sebagai suatu tanda ikatan kasih sayang bertambah erat apabila dianugerahkan anak. Seperti yang kita semua sedia maklum, anak adalah anugerah serta amanah daripada Allah Azza Wa Jalla untuk kita sebagai ibu dan bapa, bertanggungjawab sepenuhnya membentuk, mencorak dan membina watak anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. Selari dengan hadis baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Musyrik."

(Hadis Riwayat di dalam sahih Muslim)
               

Berdasarkan hadis ini, ianya menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibubapa, bertanggungjawab membentuk, mendidik dan menyemaikan pada mereka ajaran serta didikan islam. Amatlah hebat cabaran mendidik anak masa kini, sehinggakan ada yang sanggup mengabaikannya, membiarkan anak-anak mereka menghafal lagu-lagu cinta yang mengkhayalkan, malah ada yang sanggup membiarkan anak-anak mereka menonton lambakkan drama serta filem yang tiada faedahnya. 



Tanggal 27 Ogos 2016, jam 8.53 malam, Allah SWT telah menghadiahkan pada kami seorang ulama kecil yang bakal mewarisi keilmuan nabi, yang bakal mewarisi kebijaksanaan serta peribadi akhlak Nabi yang baik. Amanah serta tanggungjawab berat ini digalas dengan penuh kesyukuran serta memohon perlindungan daripada Allah, daripada gagal dan lalai mendidik amanah istimewa ini. Allah SWT telah memberikan peringatan kepada para ketua keluarga, supaya menjaga dan memelihara keluarganya daripada menjadi bahan bakaran api neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (QS at-Tahriim:6).

Maka sebab itu, amanah yang telah dikurniakan oleh Allah ini, bukan sahaja menjadi lambing kasih sayang malah ianya juga sebagai lambing kita berebut pahala mendidik anak serta keluarga menjadi soleh dan solehah. Si ulama kecil ini, diberikan nama Faisha Sumayyah yang bermaksud yang fasih tutur katanya dan moga dirinya menjadi seorang wanita setabah wanita syahid pertama iaitu Sumayyah. Si ulama kecil ini menjadi peringatan kepada kami sebagai abi dan uminya, supaya mendidik dirinya mengikut acuan yang telah islam gariskan. Kita seharusnya lebih memandang berat akan cabaran mendidik anak masa kini dengan lambakkan serta longgokkan drama, filem serta lagu-lagu yang melalaikan. Bahkan kerap kali menjadi siulan anak-anak kita pada hari ini ialah lagu-lagu cinta, yang di ingatinya  ialah episod-episod drama  dan filem, perkembangan ini amatlah menjadi kebimbangan utama kita kerana anak-anak lebih banyak di didik dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti ini. Semuanya bermula daripada kesedaran diri kita akan kepentingan kita sebagai ibu bapanya mendidik anak-anak menjadi yang soleh dan solehah. 



Kita juga jangan lupa akan pesanan baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis Riwayat Muslim)

Anak-anak yang kita miliki pada hari ini, adalah merupakan saham terbesar kita di alam barzakh kelak. Alangkah bahagianya kita, setelah kita kembali kepada Allah, maka pemergian kita di iringi dengan doa anak-anak yang soleh solehah. Tetapi ianya bukan berlaku dengan sekelip mata. Terletak di bahu kita lah mendidik mereka supaya senantiasa mendoakan kepada ibubapa, menjadi anak yang soleh solehah. Jika kita berjaya mendidik mereka, damailah kita dengan penuh ketenangan di alam barzakh kelak. Anak-anak adalah pinjaman daripada Allah buat kita, malah ia menjadi medan ujian bagi kita untuk melihat sama ada kita bertambah syukur dengan mendidiknya ke jalan yang lurus atau kita menjadi kufur dengan membawanya ke jalan yang bengkok.


Marilah sama-sama kita berazam dan bertekad untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang, yang berjaya mencorakkan anak-anak ini dengan didikan dan ajaran daripada Allah SWT. Mohon jualah kepada Allah, semoga kita semua tidak terleka, terlalai atau terabai akan tanggungjawab mengenalkan mereka kepada Allah, mendidik mereka akan hakikat kehidupan yang serba singkat ini seterusnya menyemaikan rasa cinta akan kekasih Allah, Muhammad Bin Abdullah, Nabi junjungan kita. Semoga si ulama kecil kami ini, menjadi saham kepada abi dan uminya untuk memasuki syurga yang di idamkan oleh para hamba Nya yang beriman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan