Setelah lebih 59 tahun kita
menghela nafas kemerdekaan, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih
terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara
kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan
negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan
sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah
mengungkap,”Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.”
Ternyatalah, remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan
bangsa.
Kecemerlangan dari segi
akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang
berkualiti dan mempunyai jati diri yang ampuh. Intelek merupakan faktor perdana
untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja
kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga
menuntut segala pengetahuan melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku ,
melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan
menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa
keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading
untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai
dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau
mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.”
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik
tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal
dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental
untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif,
remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa
putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja
negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut
mengamalkan pemakanan seimbang,menjaga kebersihan, bersenam, bersukan, beriadah
dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok,
kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, “Hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan
merupakan asset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan,
segala-galanya tidak lagi membawa makna. Rakyat sihat, negara maju. Remaja yang
sihat dan kuat baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Selain itu, remaja yang
berkualiti juga harus memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita
harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Lantarannya ibu bapa dan pihak sekolah memainkan
peranan yang penting untuk mendidik remaja sebagai insan yang berakhlak mulia
dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral,
remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat
sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumahkebajikan orang tua dan
kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta
terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang kedangkalan keimanan
akan mencetuskan kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti
harus bersahsiah mulia, berinsaniah dan berbudi bahasa dan berkasih sayang agar
dapat melahirkan masyarakat sakinat dan madani pada suatu hari nanti.
Sementelahan pula, remaja yang berkualiti dan
mempunyai jati diri perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan
negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani
berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang
terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang
gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan
daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan
berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus
memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka
melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin
yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks
ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan,
kepimpinanatau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika
berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa
lepas kelak.
Intihanya, “Pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara.” Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui
kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial. Hanya
remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita
tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala
aspirasi negara hanya berada awang-awangan dan tidak dapat menjadi realiti.
Oleh itu remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta
melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya menjurus ke arah
cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan