9 Zulhijjah adalah merupakan
waktu kemuncak bagi ibadah haji. Di mana pada waktu ini seluruh umat islam
berkumpul di padang Arafah bermunajat, berdoa, membaca al quran dan
melaksanakan amal ibadah sunnah yang lain. Bagi kaum muslimin yang tidak
berkesempatan menunaikan haji, dituntut untuk menunaikan puasa sunat hari
arafah. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :
"Puasa hari Arafah (9
Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan yang akan datang"
(Hadis Riwayat Muslim)
Hari raya aidil adha
menuntut kita untuk merasai makna sebuah pengorbanan. Bagi yang mengerjakan
ibadah haji, berkorban wang, harta serta berkorban meninggalkan keluarga demi
menjadi tetamu mulia Allah Azza Wa Jalla. Bagi yang berkemampuan melaksanakan
ibadah korban, juga berkorban wang, harta dan tenaga bagi mencari redha Allah
Rabbul Jalil. Kesemuanya ini adalah menuntut supaya kita memaknai erti sebuah
pengorbanan.
Menyingkap kembali sejarah,
bagaimana kita melihat Nabi Allah Ibrahim telah mendapat perintah dari Nya
supaya menyembelihkan anaknya yang tercinta Nabi Allah Ismail. Sebelum itu,
kita juga tahu bagaimana susah payahnya Nabi Allah Ibrahim berusaha mendapatkan
zuriat, akhirnya setelah mendapat zuriat, diperintahkan pula oleh Allah untuk
menyembelihkan zuriatnya. Maka dari sini, kita pelajari satu perkara dari kisah
ini. Kita dapat pelajari bagaimana untuk kita menanamkan ketaatan kita,
kepatuhan kita serta kejituan kita untuk melaksanakan segala titah perintah Nya
hingga sanggup mengenepikan kepentingan duniawi. Hari ini, kita lihat angka RM
10 itu sangat besar nilainya di tabung-tabung masjid, tetapi apabila kita yakin
pada yang Maha Memberi Rezeki, maka tidak ada lagi ragu ragu untuk bersedekah.
Tetapi sekiranya kita berdolak dalik terkenang kepentingan dunia yang lain,
maka hati kita akan ragu ragu bersedekah di jalan Nya.
Satu lagi perkara yang boleh
kita pelajari ialah bagaimana kita melihat ketenangan anaknya Nabi Allah
Ismail. Tenangnya Nabi Ismail sebaik saja dimaklumkan oleh bapanya Nabi Allah
Ibrahim akan mimpi tentang perintah Allah untuk menyembelihkannya. Lalu reaksi
yang diberikan oleh Nabi Ismail dengan penuh ketenangan, beliau meminta supaya
ayahandanya melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla.
Sungguh, ketenangan serta keredhaan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ismail ini
tidak dapat dicapai tanpa keimanan dan ketaqwaan yang kukuh kepada Allah.
Berkorban apa sahaja demi meninggikan syiar agama Allah. Hari ini, berapa ramai
yang benar-benar tenang melaksanakan ibadah khususnya solat. Terkadang, dek
kerana kesibukkan urusan dunia, kita tergesa-gesa menunaikan solat seperti
melepaskan batuk di tangga. Asalkan solat, sudah mencukupi bagi kita. Padahal,
di waktu kita solat itulah ruang untuk kita berbicara dengan tuhan, memuji dan
memuja Allah Rabbul Izzati. Maka lebih baik sekiranya kita melaksanakan ibadah
kepada Allah dengan hati yang tenang, tidak diganggu oleh urusan dunia yang
lain. Menyahut seruan azan apabila berkumandang juga adalah antara pengorbanan
kita meninggalkan kepentingan dunia, semata-mata untuk mendahului Allah Azza Wa
Jalla.
Hakikatnya hari ini, ramai
dikalangan kita berkorban beratur berjam lamanya semata-mata untuk medapatkan
tiket perlawanan bola tetapi gagal hadir solat subuh berjemaah di masjid dan
surau. Ramainya dikalangan kita pada hari ini, sanggup menghabiskan ratusan
bahkan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan alat telekomunikasi yang canggih,
tidak kurang pula ada yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit hanya untuk
mendapatkan pakaian berfesyen terkini. Semuanya ini juga dinamakan pengorbanan,
namun pengorbanan untuk memenangkan hawa nafsu semata-mata. Sedih melihat akan reality
hari ini. Pengorbanan sebenar adalah apabila kita dengan penuh ketaatan
setianya kita pada Allah, mengabdikan diri kita, memohon serta berlindung
dengan Nya dari segala bentuk mudharat diatas muka bumi ini. Pengorbanan juga
selalu disalahertikan apabila ada yang sanggup membelakangkan ibu dan ayah demi
cinta pada seseorang. Malah lebih malang lagi, ada yang sanggup menghina,
mencaci serta memaki ibu bapanya kerana dihalang untuk bercinta dengan pilihan
hatinya. Dimanakah kita meletakkan erti dan nilai sesuatu pengorbanan tersebut.
Marilah kita semua
bermuhasabah kembali, sejauh mana telah kita korbankan pada agama. Sedalam
manakah kita menghayati erti nilai pengorbanan. Kita hari ini banyak terkorban
dek kerana nafsu semata-mata. Berkorban wang ringgit habis dibelanjakan hanya
untuk cantik berseri. Berkorban tenaga habis dikerahkan untuk menyertai konsert
serta program atau majlis yang lara dan sia-sia. Berkorban keluarga, membiarkan
anak isteri kita keluar ke rumah dengan berpakaian tidak patuh syariah. Kita
seringkali membiarkan anak-anak kita berkawan bebas antara lelaki dan
perempuan. Kita banyak berkorban hanya kerana memuaskan nafsu durjana.
Periksalah kembali diri kita serta anak isteri kita supaya kita menyalurkan
pengorbanan tersebut ke arah mardhatillah, kearah keredhaan Allah Azza Wa
Jalla. Imbaslah kembali kisah kesucian pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan
anaknya Nabi Allah Ismail. Renungkan jauh-jauh dan bandingkanlah dengan keadaan
kita sekarang. Semoga kita semua sekurang-kurangnya dapat memperbetulkan
kesilapan kita hari ini sebelum dipersoal kelak oleh Allah.