Tanggal 31 Ogos 1957, adalah
tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan keamanan dan
kemakmuran hidup. Pada tarikh ini, negara kita telah di isytiharkan secara
rasminya sebagai sebuah negara yang berdaulat, bebas serta merdeka dari segala
cengkaman penjajahan. Setelah hampir 446 tahun kita dijajah, diserang dan di
pijak di bumi sendiri, akhirnya kita sudah merdeka, sudah mampu berdikari
sendiri tanpa bantuan kuasa besar dunia yang lain. Dalam keriangan kita
melaungkan kalimah keramat merdeka, disana telah tumpahnya darah ramai pahlawan
yang tak didendang namun jasa bakti mereka tetap akan dikenang, tetap akan
terpahat di lembaran sejarah.
Sejarah Malaysia bermula
sejak zaman Kesultanan Melayu lagi. Angkara perebutan kuasa, sifat hasad sesama bangsa, semuanya ini adalah punca keruntuhan pentadbiran kesultanan melayu
terulung. Ini semua sejarah yang telah dilakarkan oleh orang terdahulu sebagai
iktibar dan peringatan pada orang sekarang supaya lebih matang dalam tindakan
dan lebih bersatu bila diganggu. Pada kita, di zaman milenia ini, sudah tiada
apa yang harus diperjuangkan. Semuanya telah kita miliki, keamanan,
kesejahteraan hidup, ekonomi yang baik, sosial yang terpelihara, semuanya
dirasakan sudah cukup dan tiada apa lagi yang harus diperjuangkan.
Sebenarnya, meskipun negara
kita menyambut ulangtahun kemerdekaan setiap tahun, di raikan dengan pelbagai
program untuk memupuk semangat cintakan negara. Hakikatnya kita masih dibelenggu
oleh bentuk jajahan yang baharu. Sedar atau tidak, yang dilaungkan merdeka itu
hanya semata-mata bebas dari cengkaman penjajah lama namun tidak pada jajahan
era moden ini. Jajahan moden yang dimaksudkan ini ialah berbentuk serangan yang
menyebabkan keruntuhan akhlak moral dikalangan remaja, hilangnya sifat
perikemanusiaan antara kita dan semakin hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam
diri kita. Kita boleh nilai sendiri bagaimana saban hari kita mendengar kes
dadah sudah menular dikalangan para pelajar sekolah. Aktiviti haram seperti
rempit, seks bebas dan perjudian menjadi aktiviti biasa dikalangan para dewasa
dan kanak-kanak.
Kejadian bunuh membunuh di
khalayak awam kerap kali dilaporkan. Orang politik pula dengan cara mereka,
bergaduh, berpekik seperti budak kecil di dalam Dewan Rakyat. Orang agamawan
pula tidak habis-habis berbalah pada perkara-perkara tertentu sedangkan ada hal
yang lebih besar dan rumit yang perlu diselesaikan. Inikah makna merdeka ? Ya,
barangkali kita sudah bebas dari dijajah oleh kuasa dunia namun kita tidak
dapat lari dari dijajah oleh penjajahan moden yang menyerang sikap kita menjadi
semakin hilang nilai-nilai manusiawi. Anak-anak gadis kita sudah tidak segan
silu dan malu berdua-duaan di tempat awam melakukan perkara yang tidak senonoh.
Asalkan nafsu puas, semuanya dianggap seronok. Tidak kurang juga, industri
perfileman dan drama, telah banyak menerbitkan filem dan drama yang langsung
tidak membina minda. Cintan-cintun sudah menjadi perkara biasa dikalangan para
pelajar sekolah hasil didikan dan tarbiah dari filem dan drama yang tidak
membina minda langsung.
Lambakkan filem atau drama
cinta, mengkhayalkan generasi muda dan akhirnya kita sangat bimbang,
benda-benda inilah yang akan menghanyutkan mereka ke lembah kehancuran dan
kebinasaan. Turut mempromosikannya ialah syarikat televisyen yang banyak
menyiarkan program-program tv yang melalaikan masyarakat. Fenomena ini jika
dianggap remeh, kelak ianya akan memakan diri, melahirkan sebuah bangsa yang
dikhayalkan oleh hiburan semata-mata yang akhirnya manusia, perlahan demi
perlahan akan mula melupakan Tuhan. Tambahan pula, dunia tanpa sempadan,
pelbagai berita akan muncul sehingga membuka ruang dan peluang untuk kita
mengumpat, mengeji dan lebih berbahaya, berkongsi perkara yang tidak tahu
kesahihannya. Takut kelak ianya akan menjadi fitnah.
Inilah diantara beberapa
bentuk penjajahan moden secara halus yang mungkin kita sendiri tidak perasan.
Semua bentuk penjajahan ini bertujuan melalaikan kita daripada mengingati
Allah, merosakkan dan meruntuhkan perpaduan yang sekian lama terjalin dan
bertujuan untuk menghancurkan masa depan generasi muda yang menjadi harapan
negara. Jika kita katakan kita sudah merdeka, ya kita sememangnya sudah merdeka
tetapi tidak bermakna perjuangan kita telah selesai. Masih banyak lagi
perjuangan yang belum kita selesaikan. Kita harus memperjuangkan nasib masa
anak muda kita dengan menapis segala macam filem dan drama yang merosakkan
akal. Kita harus memperjuangkan keselamatan anak muda kita daripada terjebak
dengan dadah dan sebagainya. Kita juga harus berjuang memperbetulkan sikap
orang politik dan agamawan yang suka berbalah, bergaduh tidak tentu pasal.
Semuanya ini adalah perjuangan kita bersama. Sedarlah kita bahawa perjuangan
ini belum selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan