Khamis, 31 Ogos 2017

IBRAH SEBUAH PENGORBANAN

9 Zulhijjah adalah merupakan waktu kemuncak bagi ibadah haji. Di mana pada waktu ini seluruh umat islam berkumpul di padang Arafah bermunajat, berdoa, membaca al quran dan melaksanakan amal ibadah sunnah yang lain. Bagi kaum muslimin yang tidak berkesempatan menunaikan haji, dituntut untuk menunaikan puasa sunat hari arafah. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :

"Puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan yang akan datang"

(Hadis Riwayat Muslim)


Hari raya aidil adha menuntut kita untuk merasai makna sebuah pengorbanan. Bagi yang mengerjakan ibadah haji, berkorban wang, harta serta berkorban meninggalkan keluarga demi menjadi tetamu mulia Allah Azza Wa Jalla. Bagi yang berkemampuan melaksanakan ibadah korban, juga berkorban wang, harta dan tenaga bagi mencari redha Allah Rabbul Jalil. Kesemuanya ini adalah menuntut supaya kita memaknai erti sebuah pengorbanan.


Menyingkap kembali sejarah, bagaimana kita melihat Nabi Allah Ibrahim telah mendapat perintah dari Nya supaya menyembelihkan anaknya yang tercinta Nabi Allah Ismail. Sebelum itu, kita juga tahu bagaimana susah payahnya Nabi Allah Ibrahim berusaha mendapatkan zuriat, akhirnya setelah mendapat zuriat, diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelihkan zuriatnya. Maka dari sini, kita pelajari satu perkara dari kisah ini. Kita dapat pelajari bagaimana untuk kita menanamkan ketaatan kita, kepatuhan kita serta kejituan kita untuk melaksanakan segala titah perintah Nya hingga sanggup mengenepikan kepentingan duniawi. Hari ini, kita lihat angka RM 10 itu sangat besar nilainya di tabung-tabung masjid, tetapi apabila kita yakin pada yang Maha Memberi Rezeki, maka tidak ada lagi ragu ragu untuk bersedekah. Tetapi sekiranya kita berdolak dalik terkenang kepentingan dunia yang lain, maka hati kita akan ragu ragu bersedekah di jalan Nya.





Satu lagi perkara yang boleh kita pelajari ialah bagaimana kita melihat ketenangan anaknya Nabi Allah Ismail. Tenangnya Nabi Ismail sebaik saja dimaklumkan oleh bapanya Nabi Allah Ibrahim akan mimpi tentang perintah Allah untuk menyembelihkannya. Lalu reaksi yang diberikan oleh Nabi Ismail dengan penuh ketenangan, beliau meminta supaya ayahandanya melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Sungguh, ketenangan serta keredhaan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ismail ini tidak dapat dicapai tanpa keimanan dan ketaqwaan yang kukuh kepada Allah. Berkorban apa sahaja demi meninggikan syiar agama Allah. Hari ini, berapa ramai yang benar-benar tenang melaksanakan ibadah khususnya solat. Terkadang, dek kerana kesibukkan urusan dunia, kita tergesa-gesa menunaikan solat seperti melepaskan batuk di tangga. Asalkan solat, sudah mencukupi bagi kita. Padahal, di waktu kita solat itulah ruang untuk kita berbicara dengan tuhan, memuji dan memuja Allah Rabbul Izzati. Maka lebih baik sekiranya kita melaksanakan ibadah kepada Allah dengan hati yang tenang, tidak diganggu oleh urusan dunia yang lain. Menyahut seruan azan apabila berkumandang juga adalah antara pengorbanan kita meninggalkan kepentingan dunia, semata-mata untuk mendahului Allah Azza Wa Jalla.


Hakikatnya hari ini, ramai dikalangan kita berkorban beratur berjam lamanya semata-mata untuk medapatkan tiket perlawanan bola tetapi gagal hadir solat subuh berjemaah di masjid dan surau. Ramainya dikalangan kita pada hari ini, sanggup menghabiskan ratusan bahkan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan alat telekomunikasi yang canggih, tidak kurang pula ada yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit hanya untuk mendapatkan pakaian berfesyen terkini. Semuanya ini juga dinamakan pengorbanan, namun pengorbanan untuk memenangkan hawa nafsu semata-mata. Sedih melihat akan reality hari ini. Pengorbanan sebenar adalah apabila kita dengan penuh ketaatan setianya kita pada Allah, mengabdikan diri kita, memohon serta berlindung dengan Nya dari segala bentuk mudharat diatas muka bumi ini. Pengorbanan juga selalu disalahertikan apabila ada yang sanggup membelakangkan ibu dan ayah demi cinta pada seseorang. Malah lebih malang lagi, ada yang sanggup menghina, mencaci serta memaki ibu bapanya kerana dihalang untuk bercinta dengan pilihan hatinya. Dimanakah kita meletakkan erti dan nilai sesuatu pengorbanan tersebut.



Marilah kita semua bermuhasabah kembali, sejauh mana telah kita korbankan pada agama. Sedalam manakah kita menghayati erti nilai pengorbanan. Kita hari ini banyak terkorban dek kerana nafsu semata-mata. Berkorban wang ringgit habis dibelanjakan hanya untuk cantik berseri. Berkorban tenaga habis dikerahkan untuk menyertai konsert serta program atau majlis yang lara dan sia-sia. Berkorban keluarga, membiarkan anak isteri kita keluar ke rumah dengan berpakaian tidak patuh syariah. Kita seringkali membiarkan anak-anak kita berkawan bebas antara lelaki dan perempuan. Kita banyak berkorban hanya kerana memuaskan nafsu durjana. Periksalah kembali diri kita serta anak isteri kita supaya kita menyalurkan pengorbanan tersebut ke arah mardhatillah, kearah keredhaan Allah Azza Wa Jalla. Imbaslah kembali kisah kesucian pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail. Renungkan jauh-jauh dan bandingkanlah dengan keadaan kita sekarang. Semoga kita semua sekurang-kurangnya dapat memperbetulkan kesilapan kita hari ini sebelum dipersoal kelak oleh Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan