Jumaat, 1 September 2017

PUISI : HIMPUNAN ARAFAH

Himpunan ini
Menjadi bukti serta dalil bahawa
Manusia itu sama darjatnya
Yang kaya yang miskin
Yang tua mahupun yang muda
Semuanya berhimpun atas nama
Cinta, kasih dan sayang


Himpunan ini
Menjadi lambang kekuatan serta perpaduan
Menafikan sikap rasis menolak sikap permusuhan
Meletakkan nilai cinta mendahului segala kepentingan
Melahirkan hati yang tunduk mensucikan jiwa yang tawadhuk






Himpunan ini
Memuja serta memuji Tuhan sekalian alam
Dia lah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi
Dia lah yang mentadbir sunnah alam semulajadi ini
Dia lah yang Maha Agung lagi Maha Perkasa
Dial ah Rabb, tiada yang disembah melainkan pada Nya


Himpunan ini
Kami berhimpun dan berkumpul di sini
Dengan tujuan mengharapkan keampunan dari Mu
Ya Rabb, Tuhan yang telah mempertemukan Adam dan Hawa
Ya Rabb, Tuhan yang telah mempersuakan Ibrahim dan Ismail
Ampunilah hamba Mu yang serba kekurangan ini
Rahmatilah hidup kami yang bakal menghadap Mu kelak




Himpunan ini
Akan memperlihatkan pada seluruh dunia
Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan
Islam adalah agama yang menepis kebencian
Membawa kasih sayang menyemai cinta abadi
Membajai dengan perpaduan menuai dengan keredhaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan