Khamis, 21 September 2017

HIJRAH MENYATUKAN UMMAH

Sejarah kalendar hijrah telah diasaskan oleh khalifah kedua islam iaitu Umar Al Khattab. Sepanjang tempoh pemerintahan Umar Al Khattab, telah banyak berlaku transformasi pentadbiran islam antaranya termasuklah penciptaan kalendar hijrah. Hijrah adalah suatu kalimah yang merujuk kepada makna berubah. Perubahan itu tidak akan berlaku sekiranya kita masih belum mempunyai kesedaran. Bermula dari langkah kesedaran maka akan lahirlah niat serta azam untuk berubah menjadi yang lebih baik dari semalam. Peristiwa hijrah senantiasa mengingatkan kita akan erti perpaduan,permuafakatan dan persefahaman. Perpaduan adalah nilai pengajaran terbesar dalam peristiwa hijrah. Perpaduan adalah satu perkara yang sangat rumit untuk kita bicarakan kerana masing-masing sudah tentu mempunyai kepentingan masing-masing. Dan kerana perkara inilah menjadikan kita susah untuk bersatu padu.


Menyingkap kembali peristiwa hijrah, bagaimana kita lihat perpaduan yang telah disemai oleh baginda Nabi SAW, menyatukan dua kaum terbesar ketika itu iaitu kaum muhajirin dan ansar. Sehinggakan diceritakan betapa murah nya hati kaum ansar sehingga sampai satu tahap untuk memberikan isteri mereka kepada kaum muhajirin sebagai memulakan hidup baru di Madinah. Sikap murah hati ini menjadi lambang bahwa betapa kuatnya perpaduan dikalangan kaum ansar dan muhajirin. Kita juga dapat melihat bagaimana kekuatan yang sedia ada pada umat islam ketika itu, telah dapat meghasilkan sejarah penuh gemilang iaitu disebut sejarah “Fathul Makkah” atau pembukaan kota mekah. Ianya terjadi setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan mempersatukan kaum ansar dan muhajirin.



Di zaman milenia ini, pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi. Percanggahan pendapat, perbezaan ideologi dan keegoaan kita adalah antara punca terbesar mengapa kita sangat sukar untuk membentuk perpaduan dikalangan ummah. Malah bertambah malang lagi, terdapat segelintir dari golongan agamawan yang suka mencetuskan perbalahan pada perkara-perkara yang remeh-temeh sedangkan, negara kita ini masih banyak isu atau soal yang lebih besar daripada itu. Perbalahan pada perkara yang sia-sia ini boleh membawa ummah kepada perpecahan dan pergaduhan besar. Lalu, hijrah yang bagaimana yang kita mahukan ? Sekiranya hijrah ini hanya disambut dengan mendengar kisah-kisah terdahulu, maka sia-sialah hidup ini. Kita seharusnya menghayati ibrah atau pengajaran dan kita perlu mengaplikasikan apa yang dapat kita pelajari dari peristiwa hijrah ini.




Hijrah mendidik kita untuk bersatu hati, berpegang teguh pada khazanah agung islam iaitu Al Quran dan As Sunnah. Hijrah bukanlah sekadar sambutan berarak beramai-ramai, memberikan anugerah itu dan ini. Hijrah, suatu peristiwa yang menjadi titik tolak kepada peneguhan ummah islam. Maka marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di tahun baru hijrah ini, berazam dan berniat menjadi hamba Allah yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Hijrah mengajak kita semua untuk belajar bersatu hati, berlapang dada dalam menerima perbezaan dan berkorbanlah demi melihat islam itu tertegak. Sedarlah, perjuangan islam bermula dari air mata darah orang terdahulu. Kisah Sumayyah, Bilal Bin Rabbah dan lain-lainnya terakam dalam sejarah agung islam hasil daripada penghijrahan mereka memilih memeluk islam. Maka kita yang telah sekian lama menjadi islam ini, jangan kita bertelagah. Meskipun kita berbeza pendapat, kita akan tetap terus bersahabat. Meskipun kita berbeza falsafah, kita akan tetap berukhwah. Semuanya bermula dari kita yang mahukan perubahan melihat islam bersatu padu membela ummah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan