Ahad, 3 September 2017

ROHINGYA BERMANDI DARAH

Beberapa episod kekejaman terhadap etnik Rohingya ini telah tersebar luas di mata antarabangsa. Episod demi episod di paparkan pada kita namun dunia terus diam membisu seolah-olah meredhai diatas kekejaman yang telah berlaku. Bertambah malang, episod keganasan dan kekejaman ini telah berlaku di bumi Myanmar dimana terdapat seorang tokoh demokrasi yang sangat disanjung dunia iaitu pemegang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi. Ketokohan beliau disanjung dunia diatas perjuangannya dalam memajukan demokrasi di negaranya tanpa kekerasan rejim tentera. Atas perjuangan mulianya itulah beliau diberikan penghargaan sebagai pemegang nobel keamanan. Namun dilihat tidak berfungsi membela etnik minoriti ini.


Sepanjang pemerhatian dan penyelidikan yang dilaksanakan, punca utama etnik Rohingya ini diseksa adalah kerana ianya usaha kerajaan Myanmar dalam menhapuskan etnik Rohingya di Rakhine. Maka pelbagai sekatan undang-undang dilaksanakan. Antara undang-undang yang dikenakan pada mereka ialah etnik ini dilarang untuk berzuriat, tidak dibenarkan mendapat taraf kerakyatan negara Myanmar disebabkan etnik ini dianggap pendatang asing yang berpindah ke sana. Secara logiknya, undang-undang yang dikenakan pada etnik Rohingya ini adalah bertujuan untuk memberi tekanan pada umat islam di sana dan bertujuan untuk menghapuskan sedikit demi sedikit penganut agama islam. Pembantaian etnik ini bukanlah sesuatu isu yang baru malah berdekad lamanya mereka ini di zalimi. 



Ekoran kezaliman dan penindasan yang berlaku ini, maka mereka tidak dapat membuat banyak pilihan bagi meneruskan hidup kecuali dengan cara berpindah ke negara lain. Atas alasan mereka enggan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, maka kerajaan Myanmar telah melancarkan beberapa episod pengusiran etnik ini dengan bermacam bentuk kezaliman. Anak gadis diratah dirogol. Anak-anak kecil tidak berdosa dibunuh tanpa belas kasihan. Ada diantara mereka yang dibakar hidup-hidup, rumah mereka diletupkan dan pelbagai lagi aksi ngeri kekejaman terakam di bumi Rakhine, Myanmar. Etnik Rohingya ini tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang manusia. Hak pendidikan dinafikan. Anak-anak mereka tidak dibenarkan ke sekolah melainkan atas usaha sendiri. Apatah lagi dalam bab kerakyatan, tidak pernah diberi muka.


Atas rasa kebencian, rasis warna kulit dan bangsa, darah mereka ini dihalalkan. Krisis ini menjadi lebih teruk apabila pada tahun 2015, sebilangan daripada mereka terpaksa menaiki bot meredah lautan mencari tempat perlindungan. Syukur alhamdulillah, Malaysia adalah antara negara yang memberikan bantuan perlindungan selain negara Indonesia dan Turki. Nasib etnik Rohingya ini masih kabur dan seperti masih tidak ada jalan penyelesaian lagi. Dendam kesumat ini entah bagaimana kesudahannya. PBB yang juga menjadi harapan suara dunia terus diam berbisu. Sehingga tergamak membakar manusia hidup hidup, rejim ini tidak layak digelar manusia lagi. Kerana manusia mesti ada timbang rasa dan bersifat kemanusiaan. Malangnya keganasan ini menjadikan mereka seperti binatang bertuhankan Dajjal.



Walaubagaimana pun, isu Rohingya ini kita harus sedar dan percaya, pembelaan terhadap mereka bukan semata-mata atas nama agama, malah jauh daripada itu ialah atas nama kemanusiaan. Barangkali kerana mereka "islam" mereka diseksa, namun kerana kita semua manusia, kita semua mesti bangkit menunjukkan ketidaksukaan kita pada keganasan yang telah mereka lakarkan di bumi Rakhine. Kita harus protes dan membuka mata dunia bahwa tidak ada manusia yang layak dilayan seperti binatang hanya kerana berbeza agama, warna kulit dan bangsa. Keperitan etnik Rohingya di sana mungkin tidak dapat kita rasai tetapi setidak-tidaknya gerakkanlah hati kita, menadah tangan memanjatkan doa agar mereka yang menzalimi mendapat balasan yang setimpal. Isu etnik Rohingya ini jika ingin dilihat dari sudut kerangka yang lebih luas adalah sangat rumit bagi kita memahaminya. Namun ini bukanlah alasan untuk kita tidak peduli akan nasib saudara-saudara kita di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan