Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna
kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita dan
inilah waktu yang terbaik untuk meluahkan setinggi tinggi rasa terima
kasih,penghargaan,dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak menyumbang
jasa dan bakti kepada agama,bangsa,dan negara. Pepatah Melayu ada berkata,
“Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”,menunjukkan
pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna
kepada kita semua. Sememangnya tugas sebagai seorang guru bukanlah satu tugas
yang mudah. Tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah
maka guru sebagai penjana transformasi pendidikan perlu memikul semua
perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Selain itu, guru
juga mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah
anak-anak muridnya.
Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang menimbulkan
masalah disiplin malah guru guru juga terpaksa berhadapan dengan segelintir ibu
bapa yang menuding jari ke arah guru apabila timbul sebarang masalah. Guru
jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke
arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan.
Guru- guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda.
Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengenang dan menghargai
jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Guru
merupakan insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat
mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka
mendidik kita amatlah besar nilainya.
Seharusnya jasa itu dikenang sepanjang hayat. Guru tidak
pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca, menulis dan mengira. Guru
juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah
menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan
patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka.
Hakikatnya, guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk
rajin belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah yang
kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang sangat
berdedikasi semasa mengajar kita. Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan
terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar.
Jasamu sungguh bererti kepada kami semua. Disebalik pembangunan negara yang
maju dan jaya, tanpa kita sedari ianya bermula dari penat lelah seorang guru.