Isnin, 9 September 2019

ISLAM, SENI & REKREASI

Islam itu sebenarnya bukan hanya kepercayaan agama sahaja tetapi meliputi semua lingkungan hidup. Jikalau kita betul-betul menghayati semua nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama Islam, tidak syak lagi kita boleh mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Dalam menghadapi arus dunia yang penuh cabaran ini, kita masyarakat Islam hendaklah sentiasa bergerak mengikut masa. Masyarakat itu sendiri tidak statik dan al-Quran sendiri menerangkan bahawa masyarakat akan sentiasa menghadapi perubahan. Umat Islam itu sendiri digesa supaya mengubah keadaan dirinya kepada keadaan yang lebih baik sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah ar Raad, sebahagian daripada ayat yang ke 11, yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan mereka sendiri.”

Oleh yang demikian kita masyarakat Islam hendaklah bersedia menghadapi perubahan dan menyesuaikan diri supaya dapat terus berjaya. Kita hendaklah membuktikan bahawa anggapan barat yang selalu mengaitkan Islam itu dengan keganasan, pelampau, kemunduran serta kemiskinan itu sebagai tidak benar. Apa yang kita fahami mengenai rekreasi itu ialah selalunya melibatkan aktiviti atau kegiatan sampingan. Bidang rekreasi meliputi berbagai-bagai aktiviti yang selalu dilakukan oleh anggota masyarakat pada masa lapang seperti bersukan, bermain, mendengar muzik, melukis, bersiar-siar, bercuti dan sebagainya. Dalam hidup bermasyarakat, rekreasi dianggap sebagai sesuatu yang penting dan kepentingannya itu bersaingan dengan bekerja. Kedua-dua ini tidak bertentangan tetapi saling melengkapi.



Dalam perkembangan rekreasi di kalangan masyarakat kita di Malaysia, banyak perkara yang harus dipertimbangkan, terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan kesan-kesan buruk rekreasi yang dapat merosakkan seseorang. Begitu juga rekreasi yang tidak mempertimbangkan tentang nilai-nilai budaya seperti moral, etika, maruah masyarakat dan negara adalah dapat dianggap bertentangan dengan kehendak masyarakat. Begitu juga rekreasi yang bertentangan dengan kehendak-kehendak agama hendaklah dikawal. Kita tidak mahu amalan rekreasi yang bertentangan dengan agama dibawa masuk dan dijadikan amalan di negara kita.

Setiap individu seharusnya berusaha membina sebuah masyarakat Malaysia yang sepenuhnya bermoral dan beretika serta maju dalam semua bidang sama ada politik, sosial, kejiwaan, psikologi dan juga kebudayaan. Semuanya ini terletak kepada sikap warganegara Malaysia untuk membina dan mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta mendukung nilai etika yang tertinggi. Kita juga harus menyedari bahawa pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada sikap yang positif dan moral yang tinggi yang dimiliki oleh rakyatnya.

Jika dilihat kepada perkembangan masyarakat masakini, bidang seni dan rekreasi yang paling diminati dan berkembang di negara kita ialah seni muzik. Seni muzik juga adalah merupakan salah satu cabang kebudayaan. Muzik juga dapat meninggikan pemikiran sesuatu bangsa serta merubah sikap hidup ke arah pencapaian peradaban yang bererti. Muzik bukan sahaja alat penghibur tetapi juga sebagai pengantara pembelajaran yang mempunyai kuasa yang tersendiri hingga boleh menukar emosi manusia menjadi sedih, gembira, terharu dan sebagainya. Selain itu seni muzik juga menyalurkan nilai dan berbagai mesej yang boleh memberi kesan positif kepada pembangunan masyarakat.



Sejarah muzik di negara kita mempunyai latarbelakang yang lama dan meluas. Lagu-lagu tradisi berbentuk asli, dondang sayang, keroncong, zapin, inang dan seumpamanya telah melalui evolusi dalam masyarakat melayu selama beratus-ratus tahun. Proses evolusi muzik ini juga adalah sama dengan proses evolusi kesusasteraan dan seni tari serta seni ukir. Ianya bergabung dan selari bergerak dalam ruang lingkup perkembangan masyarakat Melayu keseluruhannya. Di abad ini, khususnya selepas kemerdekaan ianya bergabung menjadi perkembangan muzik masyarakat Malaysia. Seni muzik adalah satu bidang kesenian yang kreatif. Ianya mengandungi unsur-unsur nilai budaya, falsafah dan daya pemikiran serta nilai semasa bangsa Malaysia. Tetapi sejauh manakah seni muzik kita sekarang ini mencerminkan budaya bangsa kita? Apakah yang dimaksudkan dengan “muzik Malaysia” atau sudahkah wujud muzik yang boleh kita anggap sebagai muzik Malaysia yang berupaya menanamkan nilai-nilai murni yang kita harap-harapkan?

Kuasa muzik dan lagu sebenarnya adalah amat kuat dan menyeluruh. Dari lagu kasih sayang boleh ditimbulkan berbagai kesan seperti kasih sayang anak terhadap ibu dan bapa. Kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak, kasih sayang di antara remaja, malah kasih dan rasa bangga terhadap bangsa dan negara. Dengan gubahan yang menarik, senikata yang menusuk perasaan, lagu dapat digerakkan dengan begitu kukuh. Sehingga setiap negara mempunyai lagu kebangsaannya sendiri. Setiap generasi mempunyai corak lagu dan iramanya sendiri seperti muzik dan lagu-lagu enam puluhan, dan corak muzik serta lagu masa kini.

Atas kesedaran inilah maka amalan rekreasi memainkan peranan penting dalam membentuk dan menentukan perlakuan-perlakuan anggota masyarakat. Dalam masyarakat yang membenarkan pelbagai jenis dan bentuk rekreasi, kesannya kepada masyarakat tidak dapat dielakkan. Oleh itu bagi menentukan pertumbuhan masyarakat bersesuaian dengan agama, adat resam dan norma-norma yang baik, maka perkembangan dan pertumbuhan rekreasi itu hendaklah ditentu dan dikawal dengan rapi, umpamanya pengaruh rekreasi kepada kanak-kanak. Kepentingan dalam memahami dan menghargai aktiviti rekreasi yang berfaedah dan berguna itu patut didedahkan kepada seseorang itu semasa kanak-kanak lagi dengan merancang dan menentukan penggunaan masa untuk rekreasi Ketika zaman kanak-kanak, selalunya anasir-anasir yang boleh mudah meresap jika perancangan masa rekreasi itu tidak dilakukan dengan baik.



Bertolak dari sini, apakah pula ciri-ciri dan keistimewaan rekreasi dan juga seni yang terdapat dinegara kita? Apakah pula ciri dan corak amalan seni dan rekreasi rakyat Malaysia pada masa akan datang?. Di sinilah penting dan perlunya kefahaman terhadap rekreasi dalam memainkan peranan ke arah membangunkan seni dan rekreasi yang berwawasan dan berteraskan kepada agama dan budaya bangsa. Sekiranya arah dan landasan ini disemaikan, perkembangan seni dan amalan rekreasi di negara kita bukan sahaja dapat terus membangun dengan sihat dan membantu pembangunan masyarakat. Tetapi ia juga akan menyumbang kepada kesejahteraan negara dalam menghadapi cabaran abad akan datang.

Ahad, 1 September 2019

PENDIDIKAN ALAF BARU


Dalam menghadapi cabaran alaf baru, umat Islam haruslah merancangkan agendanya yang lebih bercorak futuristic, iaitu berdasarkan kepada perkembangan dan pembangunan yang bakal berlaku pada alaf baru itu. Menjelang akhir-akhir abad ini pun, kita dapat melihat bahawa cabaran baru yang dihadapi oleh umat Islam ialah dalam bentuk cabaran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta persaingan ekonomi.
Dalam bidang pendidikan umpamanya, Dr. Yusuf al-Qaradawi amat tepat sekali ketika memetik kritikan yang dibuat oleh Imam al-Ghazali terhadap masyarakat pada zamannya. Imam al-Ghazali menurut petikan itu mengkritik masyarakatnya kerana memberi tumpuan kepada pengajian agama semata-mata, sehingga pada ketika itu hanya terdapat seorang sahaja ahli perubatan, malah ahli perubatan itu ialah seorang bukan Islam.
Orang-orang Islam terpaksa mendapatkan bantuan perubatan dari doktor ini, dan dalam mendapatkan nasihat keagamaan seperti sama ada seorang itu boleh meneruskan ibadat puasanya ketika sakit atau tidak, maka doktor inilah juga yang memberikan nasihatnya, walaupun beliau bukan Islam.
Kritikan Imam Al-Ghazali ini merupakan satu tahap kemodenan berfikir secara Islam yang dicetuskan oleh beliau yang melihat kejumudan masyarakatnya untuk berfikir secara dinamik dan memahami konsep ilmu dan sains dalam Islam.

Al-Qaradawi menyebut bahawa kritikan ini amat bersesuaian hingga kini, kerana beliau sendiri dapat melihat sebahagian pelajar Islam yang mempunyai potensi yang baik yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di pusat-pusat pengajian tinggi di dunia Islam dan di luarnya, ada yang bertindak meninggalkan bangku pelajaran untuk menumpukan tenaga sepenuhnya kepada aktiviti dakwah melalui pertubuhan tertentu yang memerlukan mereka mengembara ke merata-merata pelusuk dunia.
Saya tidak fikir bahawa Imam Al-Ghazali dan Al-Qaradawi ingin menafikan kepentingan pengajian dan pendidikan agama. Mereka berdua tentu lebih memahami kepentingan pendidikan dan pengajian agama. Pada saya mereka telah memberi panduan yang amat berharga kepada umat Islam, bahawa pengajian asasi agama yang merupakan satu kemestian kepada orang Islam haruslah disejajarkan dengan pendidikan profesionalisma dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh realiti kehidupan manusia di dunia ini.
Maka kalau kita membicarakan isu ini dalam konteks alaf baru, yang tentunya menghadapi cabaran yang lebih hebat dalam bidang ilmu pengetahuan dari zaman Imam Al-Ghazali, malah zaman kita sekarang ini pun, tentulah kita lebih perlu melipat gandakan usaha dalam menyusun agenda pendidikan kita yang lebih dinamik dan maju lagi dari kemajuan yang telah kita capai sekarang.
Kita memerlukan ahli teknokrat dan teknologi Islam, ahli profesional dan pengamal yang aktif di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan moden, bukan hanya untuk memajukan diri dan masyarakat pada era baru, tetapi dapat berkhidmat dan bekerja untuk memberi sumbangan kepada umat dan manusia keseluruhannya yang sekali gus dapat memartabatkan agama dan umat kita.

Dalam konteks ini juga kita memerlukan pelajar-pelajar Islam yang bercita-cita tinggi, yang sentiasa mempunyai azam dan kemahuan untuk menjadi terkemuka pada masa hadapan dalam membina diri dan keluarga serta umatnya bagi mengatasi cabaran abad baru nanti. Pelajar Islam tidak seharusnya merasa tersinggung atau rendah diri sekiranya diberi peringatan bahawa pencapaian mereka dalam pelajaran pada masa kini masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Kenyataan memang membuktikan bahawa tahap pencapaian pelajar Islam agak terkebelakang dan tidak memberangsangkan. Malah di sesetengah negara Islam, kadar peratusan pelajar Islam yang mendapat pendidikan tinggi amatlah rendah.
Kita seharusnya berbangga dengan bilangan pelajar Islam di negara kita yang mencapai bilangan yang agak tinggi di peringkat pengajian tinggi, malah pelajar-pelajar Islam yang melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara telah berjaya mencipta nama dan sekali gus mengharumkan nama negara dengan kejayaan mereka yang baik. Harapan inilah juga yang amat dicita-citakan terhadap para pelajar kita di dalam negara.
Umat Islam kini seharusnya dapat memahami semangat kritikan yang dibuat oleh Imam Al-Ghazali itu, iaitu memahami Islam dan pendidikannya secara menyeluruh dan holistik. Pendidikan dan pelajaran Islam tidak bererti hanya pendidikan keagamaan yang tidak dihubungkan dengan bidang ilmu yang lain yang diciptakan oleh akal dan pemikiran manusia.
Dalam menghadapi perubahan dan perkembangan pesat ilmu pengetahuan dan teknologi manusia pada zaman baru ini, mungkin umat Islam dapat menyusun semula dasar keutamaan mereka dalam bidang pendidikan untuk masa hadapan. Konsep penggabungan dan kesepaduan ilmu antara ilmu akli dan naqli, atau ilmu wahyu dan ilmu ciptaan manusia, haruslah diberikan keutamaan berdasarkan konsep Imam Al-Ghazali sendiri.
Masyarakat Islam juga tentunya tidak boleh mengabaikan pendidikan ilmu ketuhanan dan kerohanian, atau bidang yang dikenali sekarang sebagai bidang pengajian Islam. Namun dalam masa yang sama kita juga tidak mahu masyarakat Islam ketinggalan dalam bidang ilmu keduniaan dan profesional yang dapat mengangkat martabat dan kehidupan masyarakat kita di dalam dunia yang penuh persaingan ini.
Dalam meningkatkan pengajian fardu ain dan tuntutannya yang merupakan kemestian bagi setiap individu, maka penumpuan juga haruslah diberikan kepada bidang pelajaran yang lebih luas. Bidang pengajian profesional lainnya juga haruslah dilihat sebagai satu bidang pengajian yang dituntut oleh agama. Buktinya Imam Al-Ghazali merasa tidak puas hati kerana orang Islam yang sakit mendapatkan nasihat dari doktor bukan Islam dalam hal-hal yang berhubungan dengan isu amalan keagamaan bagi para pesakit. Sepatutnya perkara ini harus dibincang dan diberikan nasihat oleh doktor Islam yang lebih mengetahui tentang ajaran agama.


Dalam konteks ini saya berpandangan bahawa proses peningkatan pelajaran bagi sekolah-sekolah agama di negara kita, terutamanya yang sedang ditadbirkan oleh rakyat, amatlah tepat pada masa dan ketikanya. Kita mempunyai bilangan pelajar yang ramai di sekolah-sekolah tersebut. Mereka merupakan pelajar-pelajar cemerlang dan mempunyai potensi yang baik pada masa akan datang. Mereka tentunya memerlukan program yang konkrit bagi membentuk mereka menjadi insan yang dapat memberikan sumbangan ke arah pembangunan umat yang lebih baik dari sekarang.
Ribuan pelajar yang tidak berdosa itu seharusnya mendapat pembelaan yang sebaik-baiknya, tanpa diganggu gugat. Mereka merupakan generasi baru yang masa depan dan potensi mereka berada di dalam tangan kita pada masa ini. Kitalah yang seharusnya dapat berbincang dan berfikir dengan ikhlas ke manakah mereka ini hendak di bawa dan nasib bagaimanakah yang hendak kita bentukkan bagi mereka.
Soal pendidikan adalah merupakan soal besar yang perlu ditangani dengan penuh rasional dan amanah. Pendidikan adalah merupakan satu pelaburan besar untuk masa hadapan umat dan bangsa kita. Ia tidak harus dijadikan soal emosi dan sentimen, kerana korbannya bukanlah harta benda , tetapi manusia dan anak-anak kita.
Kita tentu tidak mahu melihat apa yang dikritikkan oleh Imam Al-Ghazali pada zamannya itu kembali menjadi kenyataan sekali lagi bagi umat Islam zaman kini, terutamanya kerana zaman kita adalah lebih canggih dan lebih banyak cabaran dan persaingannya.Dalam menghadapi cabaran alaf baru, umat Islam haruslah merancangkan agendanya yang lebih bercorak futuristic, iaitu berdasarkan kepada perkembangan dan pembangunan yang bakal berlaku pada alaf baru itu. Menjelang akhir-akhir abad ini pun, kita dapat melihat bahawa cabaran baru yang dihadapi oleh umat Islam ialah dalam bentuk cabaran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta persaingan ekonomi.


Khamis, 15 Ogos 2019

ISLAM & SEKSUAL REMAJA


Islam sebagaimana yang difahami merupakan satu gaya hidup yang lengkap dengan pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan ajarannya. Oleh yang demikian, umat Islam sudah semestinyalah tidak akan teraba-raba dalam mengharungi alam yang fana ini dalam keadaan yang tidak pasti atau dalam keraguan. Ini termasuklah isu yang berkaitan dengan seksualiti yang merupakan aspek kehidupan yang amat peribadi bagi seseorang individu itu. Islam sentiasa cuba memberi panduan untuk mereka agar tidak timbul rasa bersalah di kemudian hari.
Remaja pula merupakan satu kelompok masyarakat yang amat besar nilainya bagi umat Islam. Mereka adalah bakal pemimpin dan pendakwah yang akan meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa mereka. Sebagai pemimpin dan pembela di masa yang akan datang, mereka itu wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri mereka, para remaja juga hendaklah dididik dan ditunjuk ajar tentang pelbagai perkara yang baik. Mereka juga hendaklah diasuh untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri sendiri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang baik serta kemahiran-kemahiran tertentu.

Era globalisasi kini telah mendedahkan para remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang luas ini adalah tidak terhad, termasuklah aktiviti kehidupan peribadi mereka yang menyangkut aktiviti seksualiti. Ini merupakan satu isu kerana para remaja pada era ini lebih terdedah dengan implikasi berkaitan aktiviti seksual. Pada asasnya, aktiviti seksual remaja kini berlaku akibat daripada aktiviti gaya hidup bersosial yang terlalu bebas dan tiada had. Kajian klinikal di Amerika mendapati bahawa golongan remaja dan belia yang berusia antara 17 dan 30 tahun adalah golongan yang paling ramai dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Trend ini dijangka akan berterusan memandangkan remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya menjadikan mereka sebagai golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak diamalkan, para remaja akan terus menjadi kumpulan utama dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks dan juga kumpulan teramai yang menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam masyarakat.
Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang mengutamakan amalan kesihatan dan pencegahan jangkitan penyakit. Trend semasa menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit merbahaya berlaku akibat daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan jangkitan oleh bakteria, virus dan kulat juga disebarkan oleh aktiviti gaya hidup yang tidak sihat ini. Sebagai contohnya, penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan HIV yang mengakibatkan AIDS. Ketagihan alkohol pula boleh menyebabkan penyakit kongenital, sindrom otak organik dan lain-lain. Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan penyakit kelamin seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia, herpes dan sebagainya, termasuklah AIDS. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, obesity, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.
Di seluruh dunia, amalan gaya hidup seks bebas dan tidak sihat telah menjadi punca utama pelbagai penyakit jangkitan seks seperti yang telah disebutkan di atas. Dan kini, insiden ini amat ketara pula di kalangan remaja. Menurut anggaran WHO atau World Health Organization, setiap tahun, setiap seorang daripada 20 orang remaja akan dijangkiti penyakit kelamin. Dan daripada 333 juta kes baru penyakit jangkitan kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan belia berusia bawah 25 tahun. Jangkitan syphilis akan meningkat ke tahap tertinggi bagi golongan berusia antara 15 dan 30 tahun berbanding kumpulan umur lain. Setiap tahun, purata lebih daripada separuh kes baru HIV adalah di kalangan belia berusia antara 15 dan 24 tahun.


Trend ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk melainkan amalan gaya hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya sudah menyediakan garis panduan tersendiri sebagai asas kepada amalan gaya hidup yang sihat ini terutamanya dalam mencegah penyakit jangkitan kelamin. Dalam al Quran, surah Al Isra’, ayat 32 bermaksud :
‘dan janganlah kamu hampiri zina, kerana ia adalah seburuk-buruk perbuatan, yang membawa kepada kejahatan’.
Daripada ayat ini, dengan tegas Allah memerintahkan umat Islam supaya menjauhkan diri daripada perzinaan, apatah lagi melakukannya. Ayat ini juga melarang manusia mendekati sebarang punca yang boleh membawa kepada terjadinya zina. Mereka ditegah sama sekali melibatkan diri dengan perkara-perkara yang mencetuskan zina seperti menonton filem atau membaca majalah lucah, bercerita tentang sesuatu yang lucah, menjual atau membeli barangan berunsur kelucahan, bercampur gaul dengan bebas antara lelaki dan perempuan, memberi isyarat berunsur seks dan sebagainya. Semua faktor ini mendorong kepada perlakuan seks yang tidak sihat. Lebih baiklah menjauhi semua perkara ini sebelum terjadinya perzinaan.
Pendekatan yang diberikan oleh Islam ini lebih bersifat behavioristic dan praktikal serta menjurus kepada kaedah pencegahan. Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan diri mereka terjebak ke kancah perzinaan dan kemaksiatan yang jika terjadi akan membawa kepada pelbagai implikasi buruk yang mungkin akan melibatkan perbelanjaan, usaha dan tenaga yang banyak bagi tujuan rawatan dan perubatan. Malah, kadang kala nyawa pula yang akan menjadi pertaruhannya.
Remaja pula sebagai satu kelompok yang kurang matang (walaupun waras) sering gagal menilai implikasi tersebut. Apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah keseronokan tanpa menilai risiko dan kerugian yang akan dialami kemudian. Berfikirlah, apakah mereka sekadar ingin menikmati keseronokan yang sementara sifatnya tetapi akhirnya terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan mungkin nyawa. Amalkanlah gaya hidup sihat sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.

Isnin, 8 Julai 2019

SIFAT SOMBONG : UMPAMA API YANG MEMAKAN DIRI


Sifat sombong atau takabbur merupakan salah satu sifat mazmumah yang bukan sahaja merosakkan diri seseorang tetapi juga membawa kemudaratan yang amat besar kepada ummah seluruhnya. Kemudaratan ini mungkin tidak kita sedari tetapi apabila ia sudah sampai kemuncaknya barulah kita menyedari betapa hebatnya sifat keji ini memusnahkan diri kita. Kita tanyalah diri sendiri. Sebagai hamba, apalah yang kita ada untuk bersifat sombong? Layakkah kita untuk menunjukkan kehebatan, kekusaan dan kekuatan diri? Adakah kedudukan, harta dan pangkat yang juga sebenarnya bukan miliki mutlak kita, memberikan kita ruang untuk berbuat demikian?


Walau apa pun yang kita jadikan alasan untuk mewajarkan segala tindakan, kita perlu kembali ke dalam diri dan menginsafi kebesaran Allah s.w.t. Hisablah kedudukan diri kita di sisi-Nya. Nilailah keagungan-Nya berbanding kekerdilan diri sendiri. Takutilah amaran-Nya terhadap manusia yang bersifat sombong dan takabbur. Sebagaimana yang kita maklumi, setiap larangan keras Allah, pasti ada alasan atau sebabnya. Demikian jugalah sifat sombong dan takabbur. Antara sebabnya termasuklah hanya Allah sahaja yang memiliki kekuasaan dan keagungan. Oleh yang demikian, hanya Dia sahajalah yang berhak menyatakan kebesaran-Nya. Sebaliknya, manusia yang terlalu kerdil dan lemah, perlu menginsafi realiti ini berdasarkan asal kejadian mereka sendiri. Dalam satu ayat Allah s.w.t. menjelaskan :

“Manusia tidak memerhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata.” (Surah Yaasin 36:77)



Sifat takabbur ini akan memberikan kesan yang negatif terhadap hubungan sesama anggota masyarakat. Disebabkan sifat yang buruk inilah banyak masalah interaksi yang akan timbul. Ini kerana, orang yang takabbur gemar memandang rendah terhadap kedudukan atau kemampuan orang lain. Sebaliknya, ia sentiasa berbangga dengan diri sendiri kerana menganggap dirinya lebih sempurna daripada orang lain. Pertelingkahan juga mungkin kerap berlaku disebabkan orang yang takabbur ini lebih cenderung untuk mempamerkan kelebihannya dan merendah-rendahkan atau menghina orang lain.

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kemajuan sesebuah masyarakat bergantung sepenuhnya pada kemurniaan akhlak dan peribadi anggotanya. Jika terdapat segelintir anggota masyarakat yang bersifat takabbur umpamanya dari sudut material, sudah tentulah kekayaan dan keselesaan hidup tidak dapat dikecapi secara adil oleh semua. Contohnya seperti Qarun yang bukan sahaja terlalu takabbur dengan harta yang dimiliki tetapi juga tidak sanggup untuk mengagihkan kekayaan kepada orang lain melalui zakat dan cara-cara yang lain yang dianjurkan oleh Nabi Musa a.s.

Selain semua sebab yang telah disebutkan, sifat takabbur juga boleh membinasakan diri seseorang, bukan sahaja di dunia bahkan lebih-lebih lagi di akhirat iaitu pada saat-saat ia memerlukan pertolongan Allah s.w.t. Pada saat-saat itu, ia akan benar-benar berasa kecewa dan menyesali dirinya sendiri terutama apabila melihat orang lain beramai-ramai memasuki syurga Allah s.w.t. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah SAW menegaskan :

“Sesiapa yang tersemat dalam hatinya sifat takabbur walau sekecil zarah sekalipun, ia tidak akan memasuki syurga.” (Muslim)



Rasulullah SAW menunjukkan banyak teladan berhubung soal ini. Baginda sudi untuk menunggang keldai – yang merupakan kenderaan orang biasa. Baginda juga sedia memenuhi undangan pembantu rumah. Bahkan Baginda juga mahu duduk bersama-sama orang miskin atau fakir selain bersalaman dengan semua orang tanpa mengira status; fakir miskin, kanak-kanak, hamba, orang berkulit hitam dan sebagainya. Bahkan dalam peperangan Khandak umpamanya, Baginda menyertai sahabat-sahabat untuk menggali parit sehingga tubuh Baginda terpalit debu dan tanah.

Sebagaimana yang dikatakan, sifat tawaduk yang sungguh mulia ini diteladani oleh sahabat-sahabat, tabi’in, salihin dan sebagainya. Sebagai contoh ialah `Umar ibn `Abdil `Aziz. Pada suatu malam, seorang tetamu menziarahinya di rumah. Seperti biasa, `Umar akan mencatat perkara-perkara yang penting selepas solat Isyak. Manakala tetamunya pula duduk tidak jauh darinya. Lampu pelita pula berkedip-kedip, hampir padam. Melihat lampu pelita itu, tetamu tersebut pun berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin! Saya akan bangun mengisi minyak pelita.” `Umar pun menjawab, “Bukanlah daripada sifat peri kemanusiaan sekiranya tenaga tetamu digunakan.”

Tetamu tersebut pun bertanya lagi, “Perlukah saya kejutkan pembantu rumah?” `Umar menjawab, “Jangan kerana dia baru sahaja tidur.” `Umar seterusnya mengisi minyak pelita dengan sendirinya. Tetamu `Umar berkata, “Wahai Amir al- Mu’minin, tuan sendiri yang mengisi minyak pelita ini?” Jawab `Umar, “Ketika aku bangun untuk mengisi minyak di dalam pelita, aku ialah `Umar dan apabila aku kembali duduk, aku masih juga `Umar. Sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang yang tawaduk.”

Untuk menjadi mukmin sejati, kita amat perlu menghindari sifat takabbur ini. Sehubungan itu, kita hendaklah sentiasa menilai dan meneliti peribadi sendiri. Sekiranya kita memiliki walau sedikit perasaan takabbur, segeralah berusaha menghapuskannya. Bermuhasabahlah. Adakah kita gemar orang lain memuji-muji diri dan kehebatan kita. Sebaliknya adakah pula kita berasa benci jika orang lain mengkritik dan menegur kelemahan kita? Adakah juga kita mahukan supaya orang lain sentiasa menganggap bahawa kita ini sempurna?” Lalu kita dengan mudah menyebut-nyebut kelemahan dan kekurangan orang lain? Ketahuilah bahawa sifat yang amat buruk ini akan menjauhkan diri kita daripada rahmat Allah. Bahkan kita juga akan dijauhi oleh orang lain kerana tidak menyenangi sifat buruk kita itu.



Fikirkanlah juga akibat bersifat takabbur. Renungkanlah kesudahan kita hidup di dunia ini sekiranya kita berasa hebat dengan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Sesungguhnya, tiada manusia pun di dunia ini yang berhak mengakui kehebatan, kemuliaan dan kekuatannya. Janganlah kita berbangga dengan apa yang kita miliki – kedudukan, keturunan, kemewahan dan sebagainya – sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk menentukan kedudukan kita di akhirat nanti. Janganlah juga kita memandang hina orang lain, meskipun pada pandangan kita, orang tersebut perlu diperlakukan sedemikian. Tanyalah diri sendiri. Siapakah kita untuk berbuat demikian? Insaflah. Kita bukanlah sesiapa di dunia ini. Kita juga seperti orang lain. Perantau di bumi Allah yang mencari bekalan terbaik untuk dibawa pulang. Jangan sesekali takabbur dengan semua yang dimiliki hatta iman sekalipun. Dalam masa yang sama, janganlah memandang hina orang yang melakukan kesilapan atau dosa sehingga melukakan hati orang tersebut dengan kata-kata yang kesat.

Ingatlah bahawa sebagai manusia, kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagai insan yang tawaduk, kita hendaklah berusaha mengingatkan orang yang melakukan kesilapan itu dan bersungguh-sungguh menyedarkannya. Itulah sebaik-baik jalan. Renungkanlah firman Allah iaitu sebagai jawapan bagi pertanyaan Nabi Musa a.s., “Siapakah makhluk yang sangat Engkau benci?” Allah berfirman, “Wahai Musa, orang yang sombong hatinya, kasar lidahnya, lemah keyakinannya dan bakhil tangannya.” Memanglah benar kesombongan tidak ubah seperti api. Semakin besar nyalaannya, semakin hebat kemusnahannya. Padamkanlah ia sepenuh daya sebelum diri kita benar-benar dimusnahkannya.

Selasa, 25 Jun 2019

ANCAMAN PEMIKIRAN MODEN


Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 108 :
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepada-Nya), maka hidayah itu berguna untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Aku pula bukanlah menjadi penjaga terhadap (amalan) kamu.”
Ayat di atas adalah perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk menyeru semua manusia baik orang Islam atau bukan Islam daripada pelbagai bangsa, status sosial dan ekonomi. Rasulullah SAW diperintah oleh Allah SWT agar memberitahu dan memperingatkan sekalian manusia bahawa sesungguhnya keimanan dan keyakinan seseorang kepada Allah SWT baik yang bersifat mutlak dan bersifat  anjal (fleksibel) akan memberi faedah kepada diri mereka sendiri baik di dunia mahu pun di akhirat. Bagitu juga halnya Nabi Muhammad SAW diperintah oleh Allah SWT untuk memberitahu kepada semua manusia bahawa sesiapa yang sesat dan menyimpang daripada prinsip-prinsip syariat yang telah Allah SWT tetapkan maka kemungkaran dan kesesatan mereka itu akan menimpa diri mereka. Beritahukanlah juga kepada mereka bahawa Engkau tidak akan menanggung atau terkesan oleh perbuatan taat serta perbuatan sesat mereka. 


Antara yang tergolong mengingkari Allah SWT hari ini adalah tindakan individu atau kumpulan dari kalangan manusia yang berpegang kepada aliran pemikiran yang hanya tertumpu kepada penjanaan akal, logik dan buah-buah fikiran bersifat eksperimental tanpa disatukan dengan teras Islam iaitu akidah, fiqah dan tazkiyatun nafs. Tindakan yang berlandaskan hukum akal semata-mata ditolak oleh Islam. Sesungguhnya Islam tertakluk dengan implimentasi dan gabungan akal (akliah) dengan wahyu (naqliah). Akal dengan segala hujahannya adalah lemah dan tertolak dengan apa yang ditetapkan oleh dalil-dalil naqliah secara mutlak jika ianya tidak menepati kehendak nas atau bercanggah dengannya.
Islam tidak pernah memisahkan antara dunia dengan akhirat atau antara sains dengan agama. Kesemuanya saling kuat menguatkan antara satu dengan yang lain. Kesemuanya berperanan dan kesemuanya penting. Umpama tujuan hidup adalah untuk akhirat namun dunia adalah penting sebagai arena ujian. Sains penting kerana ia adalah kajian yang sistematik dengan menggunakan akal logik. Tetapi logik akal yang sempurna tidak akan menolak adanya Pencipta dan alam roh. Akal yang sihat akan mengakui bahawa akal mempunyai batasan-batasan yang tertentu seperti tidak dikurniakan kebolehan untuk menanggapi perkara-perkara ghaib.
Fahaman sekular adalah aliran pemikiran yang melahirkan fahaman humanisme (yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia serta tidak mementingkan nilai-nilai lain), modenisme (segala yang baharu adalah dianggap lebih baik), empiricism (teori atau pengetahuan yang berdasarkan panca indera sahaja yang dianggap wujud), feminisme (gerakan atau faham yang menuntut persamaan hak wanita dengan kaum lelaki) dan relativisme (tiada nilai mutlak bagi menghukum sesuatu perbuatan) yang semuanya adalah pemikiran-pemikiran yang membawa kepada kesesatan yang nyata. Sekularisme adalah kesesatan lahir dari dunia barat dalam mengamalkan agama mereka sendiri yang menular dalam pemikiran umat Islam  hari ini dalam pelbagai aspek kehidupan. Sekularisme  merujuk kepada sifat keduniaan yang memisahkan langsung alam rohani atau akhirat. Ia juga boleh difahami sebagai suatu pemikiran yang memisahkan roh dan jasad. 


Satu lagi fahaman besar yang sesat adalah fahaman Liberalisme. Liberalisme ialah aliran pemikiran yang bertujuan meningkatkan batas kebebasan yang diberikan kepada individu tanpa sekatan atau dengan sekatan paling sedikit dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi, politik, perundangan dan sosial (kebebasan moral). Liberalisme mempunyai gagasan pemikiran bahawa individu lebih penting daripada masyarakat, masyarakat wujud untuk individu dan individu bebas daripada nilai-nilai agama. Aliran liberal juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kelahiran negara demokrasi Eropah yang melaungkan cogankata “kebebasan, persaudaraan dan persamaan”.
Sekularisme dan liberalisme berkaitan antara satu sama lain. Sekularisme menyebabkan lahirnya Liberalisme dalam hal negara, politik, ekonomi dan nilai etika. Fakta-fakta yang ada memberi banyak bukti bahawa kebebasan cara fikir sesat ini tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat.  Kebebasan yang berlebihan kepada individu tertentu pada masa yang sama menyekat kebebasan individu lain serta menghancurkan kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat. Fahaman liberal atau liberalisme itu sendiri kini telah menjadi alat untuk memusnahkan insan, nilai manusiawi dan nilai-nilai baik agama-agama. Kelompok liberalis berjuang bagi menghapuskan halangan-halangan tabi’i antara lelaki dengan wanita seperti rasa malu kerana pada mereka sifat malu adalah satu sifat yang negatif, tidak baik dan warisan manusia purba.
Justeru, marilah kita memahami bahawa hari ini kita sedang dibelenggu oleh cara berfikir yang bercanggah dengan Islam. Dalam apa pun juga, kita boleh melihat bahawa tindakan, suara dan pendapat mereka sering berlegar dalam isu-isu kemanusiaan yang kononnya memperjuangkan hak manusia. Umat Islam amat dilarang mengikut cara berfikir seperti cara berfikir mereka dan hendaklah kita menolaknya secara total.


Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 153 :
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agma Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu dari jalan Allah. Itulah perintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”.
Sesungguhnya, penolakan terhadap pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam ini perlu dibuat dengan kaedah tidak meredhai cara fikir, perbuatan dan program anjuran mereka. Individu Muslim tidak boleh menyokong apatah lagi mengambil bahagian dalam mendukung kumpulan ini. Dalam masa yang sama, setiap Muslim hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengenal Allah SAW, pengetahuan-pengetahuan berkaitan ilmu akidah, fiqah serta tazkiyatun nafs yang merupakan ilmu fardu ain kepada kita untuk mendalaminya.
Untuk memastikan Islam dan syariatnya menjadi perisai dalam gelodakan pelbagai pemikiran sesat pada hari ini, umat Islam perlu mempertingkatkan kesabaran dan keimanan kepada Allah SWT dengan sentiasa bersyukur. Sesungguhnya sabar itu adalah taat dalam melaksanakan amal kebaikan, menjauhi kemungkaran dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Umat Islam tidak boleh hanya menyalahkan, menghina dan mencerca pihak-pihak tertentu. Tetapi umat Islam perlu berhadapan dengan segala cabaran yang berlaku pada hari ini dengan kefahaman sebenar tentang agama Islam, memperbanyakkan berdoa, berusaha serta bekerja dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada-Nya.


Rabu, 19 Jun 2019

ANTARA AKAL & WAHYU


Antara anugerah agung terhadap manusia adalah diciptakan sebagai makhluk yang berakal. Disebabkan keistimewaan akal yang dimiliki oleh manusia ini, Islam meletakkan ‘hifz al-Aql’ iaitu memelihara akal sebagai salah satu maqasid syariah (objektif syarak). Apa sahaja perkara yang boleh merosakkan fungsi akal seperti meminum minuman yang memabukkan adalah haram.
Melalui wasilah akal yang dimilikinya, manusia mampu terbang tinggi di udara, mahupun menyelam jauh ke dasar lautan, bahkan berupaya menundukkan haiwan liar di hutan belantara. Disebabkan anugerah akal ini, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.
Walau sehebat mana pun akal yang dianugerahkan, manusia seharusnya sedar bahawa akal bukan segala-galanya. Dalam ertikata lain, keterbatasan akal harus diakui terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia seperti hikmah-hikmah dalam sesetengah perintah dan larangan Allah kepada umat manusia, persoalan hari akhirat dan seumpama dengannya. Justeru, kekurangan akal ditampung oleh kesempurnaan wahyu. Persoalan yang mungkin akan timbul ialah, apabila sesuatu perintah wahyu tidak dapat dicernakan oleh akal, bagaimanakah sikap yang seharusnya diambil oleh seorang muslim? 


Barangkali sebahagian ibadah-ibadah rutin yang dilakukan dalam kehidupan seharian dapat dijelaskan hikmahnya dengan mudah, contohnya solat lima waktu yang dilakukan setiap hari adalah bertujuan untuk mengingati Allah. Demikian juga dengan ibadah puasa, selain untuk memupuk sifat taqwa, puasa mendidik manusia supaya bersikap lebih prihatin terhadap golongan yang miskin. Tujuan yang sama juga dilihat melalui  kewajipan berzakat, di mana umat Islam yang kaya berkongsi sedikit kesenangan dari harta yang diperolehinya dengan orang-orang yang layak menerimanya. Walau bagaimanapun,  dalam ibadah haji, kemungkinan timbul persoalan, kenapa perlu bermusafir ke Mekah dengan perbelanjaan yang begitu tinggi serta tempoh masa yang lama, semata-mata untuk menyatakan pengabdian kepada Allah? Tidak cukupkah ibadah haji dilakukan sahaja di tanah air masing-masing sebagaimana ibadah-ibadah yang lain? Di sinilah manusia tidak boleh mencari jawapan semata-mata dengan akalnya, tetapi harus tunduk kepada perintah wahyu.
Demikian juga dengan sikap seorang Muslim apabila berdepan dengan larangan-larangan Allah yang kemungkinannya dilihat bertentangan dengan inspirasi akal dan kebebasan manusia. Contohnya larangan melakukan hubungan seks sesama jenis sama ada melibatkan lelaki sesama lelaki mahupun wanita sesama mereka, walaupun atas kemahuan dan kerelaan masing-masing. Tidakkah larangan ini menafikan hak dan kebebasan manusia untuk membuat pilihan secara bebas? Situasi ini menuntut manusia tanpa teragak-agak mendahulukan perintah wahyu berbanding meraikan pertimbangan akal.
Pengharaman daging khinzir bagi umat Islam seringkali dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Secara umumnya hujah-hujah yang dikemukakan bagi mewajarkan pengharaman ini ialah kerana terdapat virus yang berpotensi mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya kepada manusia. Persoalan yang mungkin timbul ialah, seandainya teknologi moden berjaya menyingkirkan semua jenis virus yang terdapat didalamnya, adakah status daging babi berubah menjadi halal?  Penilaian akal sahaja mungkin boleh mewajarkan keharusannya, tetapi wahyu tetap melarangnya sekalipun daging babi diproses sehingga menyamai daging lembu. 

Berdasarkan sebahagian contoh yang dinyatakan, seringkali terdapat segolongan manusia yang mendahulukan peranan akal berbanding perintah wahyu. Sesungguhnya cara berfikir sebegini adalah salah dan boleh menjerumuskan manusia ke kancah kesesatan. Ini adalah kerana apa yang kelihatannya baik pada neraca akal, tidak semestinya baik pada pertimbangan wahyu, begitu juga sebaliknya.
Manusia hendaklah  mengambil inspirasi dan iktibar dari kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang diuji dengan perintah Allah yang dilihat sangat tidak masuk akal, iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail ‘alaihissala,  tetapi sebagai seorang hamba Allah yang taat, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam tanpa teragak-agak berusaha melaksanakan perintah Allah, dengan kerelaan dan kerjasama yang penuh dari Nabi Ismail ‘alaihissalam. Natijah ketaatan mereka dalam menyahut perintah Allah, Nabi Ismail ‘alaihissalam digantikan dengan seekor Kibash.
Justeru, dalam mendepani suara-suara sumbang yang menyeru supaya manusia bebas beraspirasi dengan akalnya, umat Islam seharusnya sedar bahawa akal tanpa suluhan wahyu bakal menjahanamkan manusia dan sifat kemanusiaan. Seorang Muslim yang sedar, hendaklah meletakkan neraca pertimbangan yang jelas dalam mindanya bahawa akal tidak boleh diberikan sepenuh peranan dalam menentukan nilai-nilai hidup seorang manusia. Sebaliknya, akal memerlukan suluhan wahyu bagi memandunya membuat keputusan dan menentukan tindakan agar tidak tersesat dari landasan kebenaran yang digariskan oleh Islam.


Jumaat, 14 Jun 2019

PUISI : BIAR TAKDIR BERBICARA


Setia aku mencoret rasa,
Lembaran ditatap penuh setia,
Pena terus menari keasyikkan,
Menelusuri bait-bait kisah suka dan duka


Garis masa sempurna sudah,
Walaupun dinoktah rasa gundah,
Meskipun hati terjerat langkah
Hanya berserah pada yang Maha Indah 




Lembaran baru akan dibuka,
Menanti pena mengukir makna,
Juga erti setiap perkara.
Pena digenggam,  menjadi statik,
Jiwa bungkam, dijentik-jentik


Biar takdir berbicara,
Biar masa bersuara,
Andai esok itu bahagia,
Atau masih bermuram durja.


Lembaran akan tetap ditutup,
Namun harapan tiada redup,
Selagi aku masih hidup.
Selagi itu aku terus berharap


Sabtu, 23 Mac 2019

PUISI : PENJARA DERITA


Atas penderitaan ini 

Aku terpenjara
Terbius kaku terhembus sayu
Meronta ronta menangis syahdu
Seakan akan esok telah pun tiada
Untuk aku berdiri melihat semula dunia
Membawa diri ke segenap pelusuk hati
Untuk aku sembunyikan rasa duka di jiwa


Entah mengapa kerasnya hatiku ini

Untuk melepaskan ikatan yang tiada gantinya
Sesak di dada bergoncak jiwa
Bibir terpahat hati yang setia
Betapa sukar lafaz untukku kata
Betapa susah hati ini untukku cerita
Betapa perit jiwa untuk aku menerimanya 




Oh Tuhan 

Tuhan yang tidak pernah pekak 
Yang sentiasa mendengar doa hamba Nya
Atas kelemahan ini
Aku bersandar pada takdirMu
Aku berserah pada perancangan Mu
Melepaskan resah meleraikan gelisah
Agar hati ku kembali di pandu
Agar jiwa ku terus berseteru


Entah bila akanku keluar dari penjara derita ini

Mungkin esok ataupun lusa
Belum tentu langkah ini bisa di atur
Belum pasti kembali terlakar senyuman gembira
Selagi yang terdaya, sebagai insan biasa
Akan ku akur pada takdir Mu
Akan ku pasrah dengan ketentuan Mu 
Ya Rabb…