Selasa, 25 Jun 2019

ANCAMAN PEMIKIRAN MODEN


Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 108 :
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepada-Nya), maka hidayah itu berguna untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Aku pula bukanlah menjadi penjaga terhadap (amalan) kamu.”
Ayat di atas adalah perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk menyeru semua manusia baik orang Islam atau bukan Islam daripada pelbagai bangsa, status sosial dan ekonomi. Rasulullah SAW diperintah oleh Allah SWT agar memberitahu dan memperingatkan sekalian manusia bahawa sesungguhnya keimanan dan keyakinan seseorang kepada Allah SWT baik yang bersifat mutlak dan bersifat  anjal (fleksibel) akan memberi faedah kepada diri mereka sendiri baik di dunia mahu pun di akhirat. Bagitu juga halnya Nabi Muhammad SAW diperintah oleh Allah SWT untuk memberitahu kepada semua manusia bahawa sesiapa yang sesat dan menyimpang daripada prinsip-prinsip syariat yang telah Allah SWT tetapkan maka kemungkaran dan kesesatan mereka itu akan menimpa diri mereka. Beritahukanlah juga kepada mereka bahawa Engkau tidak akan menanggung atau terkesan oleh perbuatan taat serta perbuatan sesat mereka. 


Antara yang tergolong mengingkari Allah SWT hari ini adalah tindakan individu atau kumpulan dari kalangan manusia yang berpegang kepada aliran pemikiran yang hanya tertumpu kepada penjanaan akal, logik dan buah-buah fikiran bersifat eksperimental tanpa disatukan dengan teras Islam iaitu akidah, fiqah dan tazkiyatun nafs. Tindakan yang berlandaskan hukum akal semata-mata ditolak oleh Islam. Sesungguhnya Islam tertakluk dengan implimentasi dan gabungan akal (akliah) dengan wahyu (naqliah). Akal dengan segala hujahannya adalah lemah dan tertolak dengan apa yang ditetapkan oleh dalil-dalil naqliah secara mutlak jika ianya tidak menepati kehendak nas atau bercanggah dengannya.
Islam tidak pernah memisahkan antara dunia dengan akhirat atau antara sains dengan agama. Kesemuanya saling kuat menguatkan antara satu dengan yang lain. Kesemuanya berperanan dan kesemuanya penting. Umpama tujuan hidup adalah untuk akhirat namun dunia adalah penting sebagai arena ujian. Sains penting kerana ia adalah kajian yang sistematik dengan menggunakan akal logik. Tetapi logik akal yang sempurna tidak akan menolak adanya Pencipta dan alam roh. Akal yang sihat akan mengakui bahawa akal mempunyai batasan-batasan yang tertentu seperti tidak dikurniakan kebolehan untuk menanggapi perkara-perkara ghaib.
Fahaman sekular adalah aliran pemikiran yang melahirkan fahaman humanisme (yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia serta tidak mementingkan nilai-nilai lain), modenisme (segala yang baharu adalah dianggap lebih baik), empiricism (teori atau pengetahuan yang berdasarkan panca indera sahaja yang dianggap wujud), feminisme (gerakan atau faham yang menuntut persamaan hak wanita dengan kaum lelaki) dan relativisme (tiada nilai mutlak bagi menghukum sesuatu perbuatan) yang semuanya adalah pemikiran-pemikiran yang membawa kepada kesesatan yang nyata. Sekularisme adalah kesesatan lahir dari dunia barat dalam mengamalkan agama mereka sendiri yang menular dalam pemikiran umat Islam  hari ini dalam pelbagai aspek kehidupan. Sekularisme  merujuk kepada sifat keduniaan yang memisahkan langsung alam rohani atau akhirat. Ia juga boleh difahami sebagai suatu pemikiran yang memisahkan roh dan jasad. 


Satu lagi fahaman besar yang sesat adalah fahaman Liberalisme. Liberalisme ialah aliran pemikiran yang bertujuan meningkatkan batas kebebasan yang diberikan kepada individu tanpa sekatan atau dengan sekatan paling sedikit dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi, politik, perundangan dan sosial (kebebasan moral). Liberalisme mempunyai gagasan pemikiran bahawa individu lebih penting daripada masyarakat, masyarakat wujud untuk individu dan individu bebas daripada nilai-nilai agama. Aliran liberal juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kelahiran negara demokrasi Eropah yang melaungkan cogankata “kebebasan, persaudaraan dan persamaan”.
Sekularisme dan liberalisme berkaitan antara satu sama lain. Sekularisme menyebabkan lahirnya Liberalisme dalam hal negara, politik, ekonomi dan nilai etika. Fakta-fakta yang ada memberi banyak bukti bahawa kebebasan cara fikir sesat ini tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat.  Kebebasan yang berlebihan kepada individu tertentu pada masa yang sama menyekat kebebasan individu lain serta menghancurkan kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat. Fahaman liberal atau liberalisme itu sendiri kini telah menjadi alat untuk memusnahkan insan, nilai manusiawi dan nilai-nilai baik agama-agama. Kelompok liberalis berjuang bagi menghapuskan halangan-halangan tabi’i antara lelaki dengan wanita seperti rasa malu kerana pada mereka sifat malu adalah satu sifat yang negatif, tidak baik dan warisan manusia purba.
Justeru, marilah kita memahami bahawa hari ini kita sedang dibelenggu oleh cara berfikir yang bercanggah dengan Islam. Dalam apa pun juga, kita boleh melihat bahawa tindakan, suara dan pendapat mereka sering berlegar dalam isu-isu kemanusiaan yang kononnya memperjuangkan hak manusia. Umat Islam amat dilarang mengikut cara berfikir seperti cara berfikir mereka dan hendaklah kita menolaknya secara total.


Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 153 :
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agma Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu dari jalan Allah. Itulah perintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”.
Sesungguhnya, penolakan terhadap pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam ini perlu dibuat dengan kaedah tidak meredhai cara fikir, perbuatan dan program anjuran mereka. Individu Muslim tidak boleh menyokong apatah lagi mengambil bahagian dalam mendukung kumpulan ini. Dalam masa yang sama, setiap Muslim hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengenal Allah SAW, pengetahuan-pengetahuan berkaitan ilmu akidah, fiqah serta tazkiyatun nafs yang merupakan ilmu fardu ain kepada kita untuk mendalaminya.
Untuk memastikan Islam dan syariatnya menjadi perisai dalam gelodakan pelbagai pemikiran sesat pada hari ini, umat Islam perlu mempertingkatkan kesabaran dan keimanan kepada Allah SWT dengan sentiasa bersyukur. Sesungguhnya sabar itu adalah taat dalam melaksanakan amal kebaikan, menjauhi kemungkaran dan menerima segala ketentuan Allah SWT. Umat Islam tidak boleh hanya menyalahkan, menghina dan mencerca pihak-pihak tertentu. Tetapi umat Islam perlu berhadapan dengan segala cabaran yang berlaku pada hari ini dengan kefahaman sebenar tentang agama Islam, memperbanyakkan berdoa, berusaha serta bekerja dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada-Nya.


Rabu, 19 Jun 2019

ANTARA AKAL & WAHYU


Antara anugerah agung terhadap manusia adalah diciptakan sebagai makhluk yang berakal. Disebabkan keistimewaan akal yang dimiliki oleh manusia ini, Islam meletakkan ‘hifz al-Aql’ iaitu memelihara akal sebagai salah satu maqasid syariah (objektif syarak). Apa sahaja perkara yang boleh merosakkan fungsi akal seperti meminum minuman yang memabukkan adalah haram.
Melalui wasilah akal yang dimilikinya, manusia mampu terbang tinggi di udara, mahupun menyelam jauh ke dasar lautan, bahkan berupaya menundukkan haiwan liar di hutan belantara. Disebabkan anugerah akal ini, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.
Walau sehebat mana pun akal yang dianugerahkan, manusia seharusnya sedar bahawa akal bukan segala-galanya. Dalam ertikata lain, keterbatasan akal harus diakui terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia seperti hikmah-hikmah dalam sesetengah perintah dan larangan Allah kepada umat manusia, persoalan hari akhirat dan seumpama dengannya. Justeru, kekurangan akal ditampung oleh kesempurnaan wahyu. Persoalan yang mungkin akan timbul ialah, apabila sesuatu perintah wahyu tidak dapat dicernakan oleh akal, bagaimanakah sikap yang seharusnya diambil oleh seorang muslim? 


Barangkali sebahagian ibadah-ibadah rutin yang dilakukan dalam kehidupan seharian dapat dijelaskan hikmahnya dengan mudah, contohnya solat lima waktu yang dilakukan setiap hari adalah bertujuan untuk mengingati Allah. Demikian juga dengan ibadah puasa, selain untuk memupuk sifat taqwa, puasa mendidik manusia supaya bersikap lebih prihatin terhadap golongan yang miskin. Tujuan yang sama juga dilihat melalui  kewajipan berzakat, di mana umat Islam yang kaya berkongsi sedikit kesenangan dari harta yang diperolehinya dengan orang-orang yang layak menerimanya. Walau bagaimanapun,  dalam ibadah haji, kemungkinan timbul persoalan, kenapa perlu bermusafir ke Mekah dengan perbelanjaan yang begitu tinggi serta tempoh masa yang lama, semata-mata untuk menyatakan pengabdian kepada Allah? Tidak cukupkah ibadah haji dilakukan sahaja di tanah air masing-masing sebagaimana ibadah-ibadah yang lain? Di sinilah manusia tidak boleh mencari jawapan semata-mata dengan akalnya, tetapi harus tunduk kepada perintah wahyu.
Demikian juga dengan sikap seorang Muslim apabila berdepan dengan larangan-larangan Allah yang kemungkinannya dilihat bertentangan dengan inspirasi akal dan kebebasan manusia. Contohnya larangan melakukan hubungan seks sesama jenis sama ada melibatkan lelaki sesama lelaki mahupun wanita sesama mereka, walaupun atas kemahuan dan kerelaan masing-masing. Tidakkah larangan ini menafikan hak dan kebebasan manusia untuk membuat pilihan secara bebas? Situasi ini menuntut manusia tanpa teragak-agak mendahulukan perintah wahyu berbanding meraikan pertimbangan akal.
Pengharaman daging khinzir bagi umat Islam seringkali dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Secara umumnya hujah-hujah yang dikemukakan bagi mewajarkan pengharaman ini ialah kerana terdapat virus yang berpotensi mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya kepada manusia. Persoalan yang mungkin timbul ialah, seandainya teknologi moden berjaya menyingkirkan semua jenis virus yang terdapat didalamnya, adakah status daging babi berubah menjadi halal?  Penilaian akal sahaja mungkin boleh mewajarkan keharusannya, tetapi wahyu tetap melarangnya sekalipun daging babi diproses sehingga menyamai daging lembu. 

Berdasarkan sebahagian contoh yang dinyatakan, seringkali terdapat segolongan manusia yang mendahulukan peranan akal berbanding perintah wahyu. Sesungguhnya cara berfikir sebegini adalah salah dan boleh menjerumuskan manusia ke kancah kesesatan. Ini adalah kerana apa yang kelihatannya baik pada neraca akal, tidak semestinya baik pada pertimbangan wahyu, begitu juga sebaliknya.
Manusia hendaklah  mengambil inspirasi dan iktibar dari kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang diuji dengan perintah Allah yang dilihat sangat tidak masuk akal, iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail ‘alaihissala,  tetapi sebagai seorang hamba Allah yang taat, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam tanpa teragak-agak berusaha melaksanakan perintah Allah, dengan kerelaan dan kerjasama yang penuh dari Nabi Ismail ‘alaihissalam. Natijah ketaatan mereka dalam menyahut perintah Allah, Nabi Ismail ‘alaihissalam digantikan dengan seekor Kibash.
Justeru, dalam mendepani suara-suara sumbang yang menyeru supaya manusia bebas beraspirasi dengan akalnya, umat Islam seharusnya sedar bahawa akal tanpa suluhan wahyu bakal menjahanamkan manusia dan sifat kemanusiaan. Seorang Muslim yang sedar, hendaklah meletakkan neraca pertimbangan yang jelas dalam mindanya bahawa akal tidak boleh diberikan sepenuh peranan dalam menentukan nilai-nilai hidup seorang manusia. Sebaliknya, akal memerlukan suluhan wahyu bagi memandunya membuat keputusan dan menentukan tindakan agar tidak tersesat dari landasan kebenaran yang digariskan oleh Islam.


Jumaat, 14 Jun 2019

PUISI : BIAR TAKDIR BERBICARA


Setia aku mencoret rasa,
Lembaran ditatap penuh setia,
Pena terus menari keasyikkan,
Menelusuri bait-bait kisah suka dan duka


Garis masa sempurna sudah,
Walaupun dinoktah rasa gundah,
Meskipun hati terjerat langkah
Hanya berserah pada yang Maha Indah 




Lembaran baru akan dibuka,
Menanti pena mengukir makna,
Juga erti setiap perkara.
Pena digenggam,  menjadi statik,
Jiwa bungkam, dijentik-jentik


Biar takdir berbicara,
Biar masa bersuara,
Andai esok itu bahagia,
Atau masih bermuram durja.


Lembaran akan tetap ditutup,
Namun harapan tiada redup,
Selagi aku masih hidup.
Selagi itu aku terus berharap