Menurut Nong Darol Mahmada, seorang ahli
Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia pernah melontarkan pandangan beliau
berkenaan ayat-ayat Al Quran yang membahaskan isu faraid perlu disemak dan
ditafsirkan semula. Ini kerana beliau berpandangan pada zaman sekarang hukum
boleh berubah kerana kaum wanita lebih pandai atau bijak berbanding kaum
lelaki.
Azra Azyumardi, juga seorang tokoh JIL
juga berpandangan hukum faraid berkaitan harta pewarisan adalah persoalan
kebudayaan. Menurut beliau, Al Quran diturunkan dalam keadaan masyarakat
tertentu. Maka hukum faraid yang tercatat di dalam kalam suci itu terpakai
mengikut kesesuaian bangsa Arab tersebut.
Beberapa pandangan terpesong ini semakin
menjadi pegangan dan fahaman dikalangan masyarakat kita. Apatah lagi sejak
akhir ini timbul perbalahan berkenaan pertikaian hak pewaris yang menjadi isu
hangat juga diperbincangkan di laman medsos. Kefahaman yang salah dan
menyimpang ini harus dibetulkan dengan baik agar syariat hukum faraid ini tidak
terfitnah dengan fahaman salah ini.
Pertamanya, setiap sesuatu pensyariatan
itu, sama ada kita suka atau pun tidak, menyebelahi kita atau pun menyanggah
dengan diri kita, ianya suatu yang baik dan sempurna. Tidak ada cacat celanya.
Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :
" Pada hari ini telah Ku sempurnakan
untuk kamu agamamu, dan telah Ku sempurnakan nikmat Ku, dan telah Ku redha Islam
agama bagimu"
Berdasarkan firman Allah, jelas bagi kita
bahwa syariat Islam telah disempurnakan oleh Allah dengan selayaknya. Maka
bukanlah tugas kita untuk mempertikaikan sesuatu hukum mengikut kebebasan akal
berfikir. Meskipun akal itu fungsinya untuk berfikir, namun sedarlah kita akal
itu mempunyai keterbatasan yang dicipta oleh Nya.
Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily dalam isu
pembahagian faraid antara lelaki dan wanita, beliau berpandangan bahawa ayat 11
daripada surah An Nisa adalah peruntukkan agama bagi membenarkan wanita juga
berhak menerimanya. Jadi, tidak timbul lah isu penindasan atau diskriminasi
terhadap gender wanita kerana kedua-duanya layak mendapatkannya.
Cumanya, apabila timbulnya soal
pembahagian, maka menurut Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily selayaknya pembahagian
tersebut diagihkan diatas kebijaksanaan Allah yang merentasi akal manusia.
Selayaknya Allah membahagi-bahagikan faraid tersebut mengikut sifat Nya yang
Maha Mengetahui. Mustahil bagi Allah yang memiliki segala sifat dan zat
kesempurnaan berkehendak untuk menindas hamba Nya dikalangan wanita.
Sememangnya layak golongan lelaki
menerima dua bahagian berbanding wanita mendapat satu bahagian kerana menjadi
tanggungjawab bagi yang bergelar lelaki menanggung nafkah terhadap isteri dan
anak-anaknya. Bahkan sekalipun si lelaki telah berkahwin dan mempunyai anak,
tidak sama sekali menggugurkan kewajipan beliau terhadap ibubapanya. Firman
Allah dalam surah An Nisa' ayat 34 yang bermaksud :
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin
kepada kaum wanita. Kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah
menafkahkan sebahagian dari harta mereka."
Demikian Allah diatas kebijaksanaan dan
pengetahuan Nya, telah mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Segala
peraturan yang disyariatkan tersebut telah pun memiliki kesempurnaan dan adalah
menjadi tanggungjawab kita untuk mencari hikmah dan bukannya mencetuskan
keraguan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan