Khamis, 3 September 2020

TAWASSUL ANTARA SYARIAT & LARANGAN

Perkataan tawassul adalah berasal daripada bahasa arab. Dari sudut bahasa, tawassul membawa makna mendekatkan diri. Dari sudut istilah pula, tawassul membawa makna menjadikan sesuatu amalan itu sebagai perantara atau asbab (penyebab) untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla. 

Terdapat pandangan lain mengatakan bahawa tawassul adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat Allah yang Maha Suci dan juga amal soleh yang dilakukan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah dibenarkan oleh syarak tanpa khilaf.



Dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang panjang, diceritakan tentang perihal Uwais al Qarani, Rasulullah SAW berkata kepada Saidina Umar yang bermaksud :

"Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais al Qarani) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah".

Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW telah menyifatkan Uwais al Qarani sebagai seorang yang soleh dek kerana ketaatan nya kepada ibunya yang telah uzur. Oleh itu, hadis ini menjadi sandaran dalil bahawa boleh bertawassul dengan bentuk memohon doa daripada orang soleh yang masih hidup. Dan cara bertawassul dengan orang soleh yang masih hidup adalah dengan berdoa, bukannya mengagungkan jasadnya.

Adapun bertawassul yang dilarang ada banyak bentuknya. Antaranya meminta pada berhala, patung, memuja makhluk sehingga lupa hakikatnya Allah yang lebih berkuasa atas segala sesuatu. Namun, dalam banyak bentuk tawassul yang dilarang ini, berlaku perbincangan yang sangat luas oleh ahli ilmu berkenaan bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.



Dalam Kitab Al Tawassul Baina Masyru'i wal Mamnu' yang dikarang oleh Syaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Al Juhani, beliau membahaskan secara mendalam penghujahan dan bantahan terhadap mereka yang berhujah boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara seruan. Misalnya, lafaz "Ya Syeikh..doakan untuk kami...". Golongan yang membenarkan tawassul dengan orang mati ini juga, mereka mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau menyeru di dalam majlis mereka.

Bentuk tawassul seperti menyeru di tanah perkuburan, menyeru di dalam majlis-majlis khusus sama sekali tidak diajar oleh Nabi apatah lagi diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW. Kita juga boleh melihat bagaimana perbuatan Umar al Khattab yang bertawassul kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya, daripada Anas RA berkata :

"Bahawa Umar al Khattab apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas bin Abdul Mutalib dengan doanya : " Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami  Sekarang kami bertawassul pula dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami".

Tawassul adalah suatu ibadah yang harus. Pada masa sama, ianya boleh berubah menjadi haram sekiranya kita telah melanggar prinsip akidah dengan cara batil, menyembah kubur, menyeru nama tok wali, tok syeikh dan sebagainya. Demikian gambaran ringkas dan umum tentang tawassul antara yang disyariatkan dan yang diharamkan oleh islam. Dalam soal akidah, kita haruslah menjaga dan peliharanya daripada terpesong sehingga membelakangkan kekuasaan dan keagungan Allah Azza Wa Jalla. Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua daripada melakukan kesyirikan kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan