Al quran dan hadis merupakan sumber
rujukan utama dalam agama Islam. Al quran secara mudah difahami, ianya adalah
perkataan Tuhan dalam memberikan panduan kehidupan yang lengkap sebagai seorang
manusia manakala hadis pula merupakan segala bentuk perkataan, perbuatan,
pengakuan dan sifat akhlak baginda Nabi SAW sebagai pengukuhan atau penghuraian
kepada sesuatu isi kandungan Al quran.
Untuk memahami ajaran Islam, umat Islam
wajib kembali merujuk kepada kandungan panduan di dalam Al quran dan hadis Nabi
SAW. Umat Islam dilarang sama sekali untuk mereka cipta sesuatu ibadah atau
ritual tertentu yang tidak ada sandaran pada agama Islam. Dalam hal ini,
baginda Nabi SAW tegas melarang sebarang amalan yang tidak ada sandaran pada
agama. Seperti dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Sesiapa yang mencipta (mengadakan)
sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini, bukan daripadanya, maka
ia ditolak"
Dalam kalangan sarjana Islam, terdapat 3
golongan asas yang terbentuk dalam usaha memahami isi kandungan Al quran dan
hadis. Golongan pertama, disebutkan sebagai Zahiri (literal). Golongan Zahiri
merupakan satu kelompok yang memahami Al quran dan hadis secara zahir sahaja
tanpa mengambil kira konteks dan rasional yang terkandung dalam teks tersebut.
Antara tokoh yang terkenal dikalangan
golongan literal ini adalah Ibnu Hazm. Sikap beliau yang literalis ini telah
menghasilkan pelbagai fatwa-fatwa ganjil seperti hukum status air kencing babi.
Dalam kitabnya al Ihkam fi Usul al Ahkam beliau menyatakan air kencing babi
tidak najis kerana tidak ada teks Al quran atau hadis yang menyebut secara
jelas tentang itu. Yang ada hanyalah air kencing manusia.
Golongan yang kedua adalah disebut
sebagai golongan Muattilah (Neo-Muktazilah). Golongan ini akan mendahulukan
keputusan pertimbangan akal berbanding teks Al quran dan hadis. Mereka hanya
memahamai roh agama berdasarkan akal fikiran mereka dan pada masa sama mereka
telah mengabaikan teks Al quran dan hadis. Golongan ini telah banyak
dipengaruhi oleh falsafah Yunani sehingga melihat agama tertakluk pada
kewarasan akal dalam berfikir.
Misalnya, dalam bab hukum riba, mereka
beranggapan pengharaman riba adalah sekiranya riba tersebut mempunyai unsur
zalim dan berganda-ganda. Maka, sekiranya nilai riba yang diberikan tidaklah
zalim dan tidak pula berganda nilainya, maka riba tersebut tidak haram
diamalkan. Pertimbangan akal telah mendahului teks Al quran dan hadis.
Golongan ketiga disebut sebagai
Wasatiyyah (Pertengahan). Pendekatan secara wasatiyyah atau pertengahan ini
digunakan oleh sarjana ahlu sunnah wal jamaah. Termasuklah 4 mazhab masyhur
dikalangan orang Islam iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan
Mazhab Hanbali. Kesemua para imam ini menggunakan pendekatan pertengahan antara
melihat teks (literal) dan konteks (rasional).
Oleh itu, kita dapat lihat beberapa
kelompok tertumbuh berdasarkan aliran pemikiran ini. Sebagai contoh, beberapa
gerakan Islamis seperti Hizbut Tahrir tergolong dalam golongan Zahiri, yang
hanya melihat secara zahir teks tanpa memahamai konteksnya. Ini menyebabkan
mereka memahami teks tanpa melihat kepada realiti semasa. Misalnya, mereka
mendakwa demokrasi adalah haram kerana ianya bukan sistem daripada Islam.
Walhal, adakah wujud teks Al quran atau hadis yang menolak semua perkara yang
datangnya selain dari Islam ? Sudah tentu tidak kerana baginda Nabi pernah
memakai cincin sebagai cop rasminya seperti mana baginda Nabi melihat kerajaan
Rom berbuat sedemikian.
Selain itu, gerakan perjuangan seperti
Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Indonesia, antara yang menilai
agama berdasarkan pertimbangan dan kewajaran pada akal hingga mengenepikan teks
Al quran dan hadis. Gerakan anti -hadis, mereka menolak sumber hadis kerana
pada sisi akal mereka, mustahil hadis boleh diingat dan dirakam beribu tahun
lamanya, 100% tanpa silap dan salah. Bagi mereka, sumber hadis masih terdapat
keraguan yang tidak boleh dipakai untuk sumber hukum.
Pendekatan yang lebih tepat adalah dengan kita bersikap wasatiyyah (pertengahan), tidak terlalu keras dalam melihat teks sehingga mengabaikan konteks (realiti), dan tidak pula terlalu longgar dalam melihat konteks hingga mengabaikan teks Al quran dan hadis. Penting sekali bagi kita untuk bersikap demikian agar ajaran Islam yang akan kita bawa sentiasa berada dalam rahmat dan redha Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.