Dakwah adalah pekerjaan warisan para Nabi
dan Rasul, membawa risalah menjunjung titah firman Nya, menyeru manusia tunduk
dan patuh akan arahan Nya. Kini, setelah hampir 1400 tahun lamanya baginda Nabi
meninggalkan kita, kita adalah penyambung warisan ini dan bukannya sebagai
pemula dakwah.
Dakwah bukanlah semudah bicara di pentas
forum agama, tidaklah seperti mudah bercakap dalam kuliah, namun lebih luas
dari itu ialah perjuangan dalam menegakkan kebenaran yang datangnya dari Tuhan.
Dakwah tidak akan menjadikan kita
mendabik dada bertahun lamanya kita berdakwah. Dakwah bukanlah bertujuan
menghitung ramai pengikut lelaki dan wanita, tidaklah pula untuk mengira jumlah
masjid dan surau yang telah kita hadiri, tetapi dakwah bertujuan untuk mengajak
manusia mengenali Tuhan dan Rasul, membezakan yang benar dan yang batil, yang
baik juga yang buruk, membawa mesej seruan tauhid menuju jalan Nya yang lurus.
Sekiranya angka tahun yang menjadi
perhitungan kita untuk mengatakan penat dan letih berdakwah, insaflah dengan
kisah Nabi Allah Nuh AS yang berdakwah hampir 900 tahun lamanya.
Sekiranya kita diuji dengan sekatan,
halangan untuk berdakwah dan menganggap ianya berat hingga membuatkan kita mahu
berhenti berdakwah, malu lah kita pada Rasulullah yang bukan sahaja di halau
dan dihalang bahkan ditawar wanita, harta dan pangkat asalkan mahu berhenti
berdakwah hingga ke tahap dirancang membunuh baginda Nabi.
Jadi, bertenanglah wahai para pendakwah.
Di tutup satu jalan, akan terbuka luas 1001 macam jalan lagi. Ditusuk dari
kanan, geraklah ke kiri. Digasak dari kiri, beralihlah ke kanan. Jangan pernah
berputus asa dalam dakwah. Kerana dakwah bukanlah kerja on off seperti
pekerjaan lain, sebaliknya ia urusan yang berterusan hingga kita dijemput
menemui sang pencipta kita.
Sekiranya kita ditanya, apakah pekerjaan
yang tiada pemula dan tiada akhirnya ? Maka jawapannya adalah dakwah. Tiada
istilah "pencen" dalam kamus hidup seorang pendakwah. Biar berbeza
cara dan platform berdakwah, tiada alasan untuk tidak berdakwah. Hanya kematian
yang dapat memisahkan kita dengan pekerjaan dakwah. Pangkat kedudukan bukan
syarat untuk berdakwah. Sekalipun terpaksa melepaskan jawatan, hattakan
kehilangan kuasa dan kedudukan, dakwah tidak pernah ada tamatnya.
Ketahuilah, dakwah bukanlah jalan untuk
sekadar sedap berceramah sambil dihulurkan sampul, bukanlah sekadar berlawak
jenaka di meja kuliah, dakwah tidak sekadar itu. Bahkan lebih besar lagi ialah
ketelusan kita dalam menyampaikan risalah Nya. Moga Allah pimpin hidup kita
semua menuju jalan Nya yang lurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan