Ahad, 28 Februari 2021

ALIRAN PEMIKIRAN MEMAHAMI AL QURAN & HADIS

 

Al quran dan hadis merupakan sumber rujukan utama dalam agama Islam. Al quran secara mudah difahami, ianya adalah perkataan Tuhan dalam memberikan panduan kehidupan yang lengkap sebagai seorang manusia manakala hadis pula merupakan segala bentuk perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat akhlak baginda Nabi SAW sebagai pengukuhan atau penghuraian kepada sesuatu isi kandungan Al quran.

Untuk memahami ajaran Islam, umat Islam wajib kembali merujuk kepada kandungan panduan di dalam Al quran dan hadis Nabi SAW. Umat Islam dilarang sama sekali untuk mereka cipta sesuatu ibadah atau ritual tertentu yang tidak ada sandaran pada agama Islam. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW tegas melarang sebarang amalan yang tidak ada sandaran pada agama. Seperti dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang mencipta (mengadakan) sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini, bukan daripadanya, maka ia ditolak"



Dalam kalangan sarjana Islam, terdapat 3 golongan asas yang terbentuk dalam usaha memahami isi kandungan Al quran dan hadis. Golongan pertama, disebutkan sebagai Zahiri (literal). Golongan Zahiri merupakan satu kelompok yang memahami Al quran dan hadis secara zahir sahaja tanpa mengambil kira konteks dan rasional yang terkandung dalam teks tersebut.

Antara tokoh yang terkenal dikalangan golongan literal ini adalah Ibnu Hazm. Sikap beliau yang literalis ini telah menghasilkan pelbagai fatwa-fatwa ganjil seperti hukum status air kencing babi. Dalam kitabnya al Ihkam fi Usul al Ahkam beliau menyatakan air kencing babi tidak najis kerana tidak ada teks Al quran atau hadis yang menyebut secara jelas tentang itu. Yang ada hanyalah air kencing manusia.

Golongan yang kedua adalah disebut sebagai golongan Muattilah (Neo-Muktazilah). Golongan ini akan mendahulukan keputusan pertimbangan akal berbanding teks Al quran dan hadis. Mereka hanya memahamai roh agama berdasarkan akal fikiran mereka dan pada masa sama mereka telah mengabaikan teks Al quran dan hadis. Golongan ini telah banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani sehingga melihat agama tertakluk pada kewarasan akal dalam berfikir.

Misalnya, dalam bab hukum riba, mereka beranggapan pengharaman riba adalah sekiranya riba tersebut mempunyai unsur zalim dan berganda-ganda. Maka, sekiranya nilai riba yang diberikan tidaklah zalim dan tidak pula berganda nilainya, maka riba tersebut tidak haram diamalkan. Pertimbangan akal telah mendahului teks Al quran dan hadis.

Golongan ketiga disebut sebagai Wasatiyyah (Pertengahan). Pendekatan secara wasatiyyah atau pertengahan ini digunakan oleh sarjana ahlu sunnah wal jamaah. Termasuklah 4 mazhab masyhur dikalangan orang Islam iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali. Kesemua para imam ini menggunakan pendekatan pertengahan antara melihat teks (literal) dan konteks (rasional).



Oleh itu, kita dapat lihat beberapa kelompok tertumbuh berdasarkan aliran pemikiran ini. Sebagai contoh, beberapa gerakan Islamis seperti Hizbut Tahrir tergolong dalam golongan Zahiri, yang hanya melihat secara zahir teks tanpa memahamai konteksnya. Ini menyebabkan mereka memahami teks tanpa melihat kepada realiti semasa. Misalnya, mereka mendakwa demokrasi adalah haram kerana ianya bukan sistem daripada Islam. Walhal, adakah wujud teks Al quran atau hadis yang menolak semua perkara yang datangnya selain dari Islam ? Sudah tentu tidak kerana baginda Nabi pernah memakai cincin sebagai cop rasminya seperti mana baginda Nabi melihat kerajaan Rom berbuat sedemikian.

Selain itu, gerakan perjuangan seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Indonesia, antara yang menilai agama berdasarkan pertimbangan dan kewajaran pada akal hingga mengenepikan teks Al quran dan hadis. Gerakan anti -hadis, mereka menolak sumber hadis kerana pada sisi akal mereka, mustahil hadis boleh diingat dan dirakam beribu tahun lamanya, 100% tanpa silap dan salah. Bagi mereka, sumber hadis masih terdapat keraguan yang tidak boleh dipakai untuk sumber hukum.

Pendekatan yang lebih tepat adalah dengan kita bersikap wasatiyyah (pertengahan), tidak terlalu keras dalam melihat teks sehingga mengabaikan konteks (realiti), dan tidak pula terlalu longgar dalam melihat konteks hingga mengabaikan teks Al quran dan hadis. Penting sekali bagi kita untuk bersikap demikian agar ajaran Islam yang akan kita bawa sentiasa berada dalam rahmat dan redha Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan