Kewujudan kuasa Barat dilihat telah
menguasai dunia yang mundur bertukar menjadi dunia yang bertamadun. Barat yang
sebelum ini ketinggalan jauh jika hendak dibandingkan dengan pencapaian umat
Islam terdahulu sehingga berjaya menguasai tamadun kebendaan dan mengungguli
dunia. Namun akibat daripada kecuaian umat Islam sendiri, maka barat telah
mendominasikan dunia dengan hasil peninggalan khazanah ilmu Islam yang hebat.
Ketika kita berbicara tentang soal kuasa
barat, kita akan mendapati terdapat 4 kelompok sikap umat Islam apabila
menyentuh isu barat ini. Pertama, adalah kelompok mereka yang menerima apa
sahaja yang datangnya dari barat dan menolak agama kerana menganggap agama
sebagai suatu penghalang kemajuan sesuatu tamadun. Misalnya, kita boleh lihat
bagaimana seorang tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau seringkali
menyeru umat Islam mencontohi barat dan meninggalkan keislaman yang dianggap
sebagai jumud. Beliau juga menyeru umat Islam untuk berfikiran seperti acuan
pemikiran barat. Apa sahaja yang betul dan elok di sisi barat, kita harus akui
dan sanjung tinggi pandangan barat. Kita mesti menilai sama seperti golongan
barat menilai. Agama hanyalah alat yang memandulkan akal.
Kelompok yang kedua pula ialah mereka
yang tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi pada masa sama mereka cuba
mentafsirkan dalil agama agar sesuai dengan kehidupan moden acuan barat. Apa
sahaja dalil agama yang bercanggah dengan ajaran dunia barat, maka mereka akan
mentakwilkan dalil tersebut sesuai dengan ajaran barat. Ini sepertimana yang
pernah ditulis oleh Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitab beliau al Marji'iyyat al
'Ulya fi al Islam : lil al Quran wa as Sunnah, mereka meminta agar Islam
berubah tetapi mereka tidak meminta perubahan di islamkan. Mereka juga dikenali
sebagai liberal.
Kelompok ketiga, adalah mereka yang
menolak apa sahaja yang datangnya dari barat malah menyifatkan apa sahaja yang
datangnya dari barat adalah kufur dan sesat. Kelompok ini seakan tidak tahu
membezakan antara sikap, kebudayaan dan nilai-nilai yang tidak bercanggah
dengan Islam. Lebih melampau lagi, ada yang mempertikaikan pemakaian tali
leher, makan menggunakan sudu garpu dan selainnya. Tidak kurang pula ada yang
menolak ilmu matematik, sains dan geografi kerana menganggap ianya berasal dari
ilmu berkiblatkan barat. Alasan mereka kerana semuanya dari barat. Sikap melampau memusuhi barat ini telah
membuatkan mereka lupa bahwa sebahagian besar ilmu yang ditolak itu asasnya
banyak diletakkan oleh para ilmuan Islam suatu ketika dulu. Kelompok ini juga
mungkin lupa bahawa Islam itu luas menerima apa saja kebaikan asalkan tidak
bercanggah dengan syarak. Kelompok ini boleh kita sebutkan sepeti Hizbut Tahrir
yang menolak keras demokrasi.
Kelompok keempat, adalah mereka yang
menapis apa sahaja yang datang dari barat dengan tapisan dan pertimbangan
Islam. Islam tidak pernah menegaskan ia memusuhi barat atau mana-mana blok di
dunia ini. Bukan semua yang datang dari barat perlu ditolak dan bukan semua
yang datang dari barat perlu diterima. Ia memerlukan kepada tapisan wahyu al
Quran dan as Sunnah. Dalam ketika kita memusuhi barat, kita harus akui bahawa
kadang kala apa yang menjadi sikap barat adalah juga sebahagian daripada
tuntutan Islam. Misalnya, amanah dalam pekerjaan, menepati masa, kebersihan dan
lain-lain. Berbanding negara Islam yang dilihat dicemari dengan gejala rasuah,
pecah amanah dan sebagainya.
Dalam keadaan terbuka dan penuh
kesedaran, marilah kita melihat dunia dengan tapisan secara adil tanpa menolak
agama. Apa sahaja kebaikan walau datangnya dari mana arah sekalipun, dari barat
atau timur, dari utara mahupun selatan, kita harus menilai diatas neraca agama
sesuai dengan firman Tuhan dan sabdaan kekasih Nya Nabi Muhammad SAW. Islam
tidak pernah melarang umatnya untuk mengambil manfaat sekalipun datangnya
daripada musuh. Sikap prasangka dan kejumudan kita terhadap dunia lain akan
membawa kita terus lenyap dalam fantasi dan mundur penuh penghinaan. Semoga
Allah meredhai kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan