Antara musibah yang kerapkali melanda
umat Islam adalah penyakit suka mengampu seseorang yang berpengaruh, sama ada
orang itu ahli politik, tokoh agama, para negarawan dan lain-lain. Sikap
mengampu ini adalah antara barah yang sudah menjadi kelaziman sebahagian orang
demi meraih keuntungan atau untuk kepentingan tertentu.
Mengampu dalam erti kata lain, suka
mendekati individu berpengaruh dan sentiasa mengadakan hubungan istimewa
terhadap individu tersebut dengan matlamat dan tujuan yang tertentu. Selain mengampu,
perkataan membodek juga sinonim dengan makna mengampu. Sikap sebegini adalah
tidak sihat jika kita ingin membangunkan umat. Hal ini kerana pengampu juga
boleh di ibaratkan sebagai duri dalam daging. Ada ketikanya, pengampu itu
sendiri akan membusukkan nama tokoh yang diampunya.
Kata Syaiban ar Ra'i kepada Harun ar
Rasyid : "Wahai amirul mukminin, andainya engkau bersahabat dengan
orang yang menjadikan engkau tidak berasa takut sehingga engkau berasa aman,
lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa
aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan." Tanya Harun ar
Rasyid : "Jelaskan maksudnya untukku". Jawab Syaiban : " Engkau
bertanggungjawab terhadap rakyat mu, takutlah Allah" lebih baik daripada
orang yang berkata : "Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa
kamu, kamulah kerabat Nabi !".
Apa yang boleh kita fahami daripada
kata-kata nasihat Syaiban ar Ra'i ini ialah betapa bahayanya lidah si pengampu
yang gemar mendekati dan mengekori kemana sahaja malah bercakap manis sentiasa.
Cakap-cakap manis ini boleh jadi racun satu hari kelak. Firman Allah SWT dalam
surah al Munafiqun ayat 4 yang bermaksud :
"Dan apabila engkau melihat mereka,
engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila
mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya
(kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka seperti batang-batang kayu yang
tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang
dikehendaki)"
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa
rupa paras yang elok, tutur kata yang manis, belum tentu benar dan betul.
Sebaliknya, boleh jadi sekadar mahu mengampu dan membodek semata-mata. Ayat ini
juga telah mencerminkan sifat yang dimiliki oleh golongan munafik. Kata Imam Qurtubi
menukilkan tafsiran Ibn Abbas mengatakan Abdullah bin Ubai itu adalah seorang
yang kacak dan memiliki tubuh yang tegap. Kata-katanya juga sangat hebat.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari &
Muslim, daripada Abu Musa al Asy'ari beliau berkata :
"Nabi SAW mendengar seorang lelaki
memuji atas seseorang dan dia berlebihan dalam memujinya, maka (Nabi) bersabda
:"Kamu telah membinasakan atau mematahkan belakang lelaki itu".
Pengampu atau pembodek, begitu gemar dan
suka mendekati orang-orang tertentu, memuji kiri kanan, menjaja cerita sana
sini, bergambar bersama, untuk cita-cita dan habuan yang di idamkan. Hasilnya,
apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang diampunya, semuanya betul, tepat dan
sentiasa "yess boss" malah mempertahankan apa jua kesalahan atau kekhilafan
tokoh yang diampunya. Pengampu atau pembodek tidak lebih dari seekor anjing
yang hanya gemar menyalak walhal nyalakannya itu dibenci oleh orang.
Sikap ini haruslah kita jauhi bersama.
Selain ianya boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian terhadap dirinya,
bahkan turut mengundang wujudkan kumpulan berpuak-puak dan fitnah sana sini
hasil daripada kata ampunya itu. Hidup lah diatas realiti dan usahlah menngampu
lagi. Juga kita perlu ingatkan diri kita untuk sentiasa tidak termasuk dalam
kalangan orang yang suka mengampu sahaja. Kepada Allah jualah tempat kita mohon
perlindungan. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan