Terorisme atau disebut sebagai pengganas,
gerakan militan adalah suatu ancaman global baharu seluruh dunia. Ancaman ini
bukan sahaja mendatangkan kekacauan seluruh dunia bahkan turut mengheret nama
Islam sebagai agama yang menganjurkan keganasan. Keadaan bertambah buruk lagi
apabila beberapa kumpulan militan yang menggunakan jenama Islam dan telah salah
memahami makna jihad, sekaligus menguatkan lagi sangkaan bahawa mungkin benar
Islam adalah agama terorisme.
Walhal, apabila kita bercakap tentang
"terorisme", adalah tidak adil hanya melihat pada Islam sedangkan
banyak lagi gerakan militan pengganas yang lain yang tidak ada kaitan dengan
Islam seperti kumpulan militan pelampau hindu LTTE, gerakan ektremis Buddha,
Bodu Bala Sena (BBS), golongan ektremis Kristian, The Covenant dan The Sword
dan banyak lagi. Kewujudan pelbagai nama gerakan pelampau ini yang terdiri
daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa, membuktikan bahawa terorisme
tidak mengenal agama dan bangsa.
Dalam kalangan umat Islam, kemunculan
golongan terorisme ini adalah bermula daripada episod salah faham dalam usaha
memaknai maksud "Negara Islam". Sejarah mencatatkan ekoran daripada
penyalah gunaan istilah negara Islam ini telah mengheret dunia Islam ke lembah
fitnah dengan menggunakan nama "DAISH" singkatan dari perkataan
Daulah Islamiyyah Iraq-Syam. Bertambah malang, erti dan maksud
"Jihad" terus dimanipulasikan demi menghalalkan aktiviti keganasan
mereka yang menunggang nama Islam.
Pada golongan pelampau Islam ini, mereka
mendefinisikan makna negara Islam ini sebagai sebuah negara yang melaksanakan
undang-undang yang utama iaitu Hudud, Qisas dan Ta'zir. Bagi mereka, mana-mana
negara yang di pimpin oleh orang Islam tetapi tidak mengamalkan undang-undang
utama Islam, maka negara tersebut adalah negara kufar, bukan negara Islam.
Malah disisi mereka, adalah haram dan berdosa besar beramal seperti apa yang
dibawa oleh undang-undang Barat.
Oleh itu, tidak hairan lah kita, mereka
tidak mengiktiraf Turki sebagai negara Islam hanya kerana tidak melaksanakan
hukum Allah. Walau pun Presiden Turki, Erdogan seorang Islam bahkan pengamalan
Islam nya yang sangat baik, tetap mereka tidak mengiktiraf Turki sebagai negara
Islam. Hanya semata-mata Erdogan berkiblatkan undang-undang selain hukum Allah.
Tradisi kumpulan pelampau Islam, Khawarij, sejak dahulu lagi sangat gemar
melaungkan hukum Allah sebagai ketetapan yang wajib dibuat dan bagi sesiapa
yang tidak laksanakan maka ia termasuk dalam pemerintahan kuffar.
Golongan pelampau ini muncul menjadi
radikal bermula daripada pemahaman agama yang keras dan salah. Mereka sangat
beriltizam dalam beribadah. Mereka sangat menjaga dan memelihara amal ibadah
mereka. Namun, melampaunya mereka dalam beribadah hingga membina rasa taksub
akan pendiriannya dan selain daripada mereka dituduh sebagai kafir dan darah
halal dibunuh. Sebaliknya, apa yang mereka fahami adalah sangat bertentangan
dengan syariat. Tindakan ganas mereka adalah berpandukan nafsu, bertuhankan
ketaksuban dan kejahilan.
Dalam Kitab Fathul Bari, Imam Ibn Hajar
al Asqalani berkata :
"Golongan pelampau dahulu (Khawarij)
digelar sebagai al Qurra' kerana kerajinan mereka membaca Al quran dan
beribadah. Kecuali mereka mentakwilkan Al quran dengan apa yang tidak
dimaksudkan dengannya. Taksub dengan pemikiran mereka dan berlebih-lebih dalam
zuhud, khusyuk dan selainnya."
Kesempitan dalam memberi makna negara
Islam, akhirnya menjerat diri menjadi pengganas. Definisi negara Islam perlu
dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Memakai undang-undang Barat sekalipun,
jika ianya tidak menyalahi tuntutan syariat, maka agama mengharuskan. Ini sama
seperti bagaimana baginda Nabi SAW memakai cincin untuk dijadikan sebagai cop
mohor, ia sebenarnya berasal dari pengamalan pemerintah Rom ketika itu, yang
tidak beragama Islam. Oleh itu, betapa penting dan mustahaknya kita beramal dan
berdiri teguh dengan berpandukan Al Quran dan Sunnah, menolak bid'ah dan
berhati-hati dengan tipu daya Iblis. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan