Khamis, 11 Mac 2021

ISRAK DAN MIKRAJ : SEJARAH YANG TERCIPTA & HIKMAH DISEBALIKNYA

 

Israk dan Mikraj merujuk kepada suatu peristiwa terpenting dan bersejarah bagi umat Islam. Ianya merupakan kisah penuh bersejarah yang telah mengheret umat manusia menguji kekuatan keimanan dengan mempercaya peristiwa agung ini. Peristiwa Israk dan Mikraj ini secara tidak langsung telah menjadi medan krisis keimanan dengan mempercayai perjalanan baginda Nabi dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid al Aqsa di bumi Palestin dengan hanya satu malam yang singkat kemudian Nabi diangkat menuju ke langit untuk bertemu Allah.

Israk membawa makna perjalanan Nabi SAW di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu hanya memakan masa sebahagian dari satu malam, perjalanan Nabi bermula dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid al Aqsa di bumi Palestin. Manakala Mikraj pula membawa maksud perjalanan baginda Nabi SAW dari alam dunia ke langit yang juga disebutkan sebagai "Sidaratul Muntaha", kemudian kembali semula ke Masjidil Haram.



Peristiwa agung ini telah dirakamkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam Al quran, menerusi surah al Israk ayat 1 yang bermaksud :

"Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Dari sudut penetapan tarikh peristiwa ini, para sarjana berbeza pandangan dalam menentukan tarikh bila yang terjadinya peristiwa ini. Menurut Imam an Nawawi dan juga Imam Qurtubi, peristiwa ini telah berlaku setelah 5 tahun baginda Nabi diangkat menjadi Rasul. Ada juga yang menyebut peristiwa ini berlaku pada tahun dimana Allah mengangkat baginda sebagai Nabi. Pendapat ini dipilih oleh Imam al Tabari. Juga terdapat pandangan yang masyhur dikalangan kita di Malaysia, ada yang menyebut peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke-10 dari kenabian. Walau apa pun, penentuan tarikh bukanlah perkara yang besar. Lebih dari itu ialah hikmah sebalik peristiwa agung ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini telah terjadi kepada baginda Nabi Muhammad SAW secaea sedar dan bukan berlaku melalui mimpi. Perkara ini turut ditegaskan oleh Imam Ibnu al Qayyim dalam kitab sirahnya Zad al Ma'ad, kata beliau :

"Ketika Rasulullah SAW kembali kepada kaumnnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah seolah-olah baginda melihatnya dengan mata kepalanya sendiri. Rasulullah SAW memberitahu ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun.  Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan."



Peristiwa agung ini telah menceritakan kepada kita bagaimana perjalanan Nabi ditemani oleh Jibril AS bertemu Allah SWT menerima wahyu dengan mewajibkan solat yang pada asalnya Allah memerintahkan sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya Nabi naik turun bertemu Allah untuk diminta pengurangan sehingga lah menjadi 5 waktu sahaja. Kisah perjalanan ini ada direkodkan di dalam beberapa hadis yang panjang lebar riwayat Imam Bukhari & Muslim.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, terdapat beberapa dakwaan amalan dan cerita palsu atau tidak benar yang seringkali berkumandang apabila tibanya tarikh Israk dan Mikraj. Antaranya dakwaan yang mengatakan digalakkan berpuasa sunat pada 27 Rejab kerana pada tarikh tersebut berlakunya. Walhal, kita semua tahu bahawa para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan tarikh peristiwa ini. Malah tidak ada sebarang petunjuk dari Al quran mahupun hadis berkaitan galakkan berpuasa sunat sempena Israk dan Mikraj. Juga terdapat beberapa kisah palsu seperti Nabi melihat dunia seperti dalam keadaan wanita yang telah tua, kisah sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka, dan banyak lagi kisah palsu dan tidak benar disabitkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj.

Hikmah terbesar yang boleh kita pelajari dalam peristiwa agung ini antaranya ialah setiap kesedihan dunia, Allah jualah tempat kita mengadu. Hal ini kerana sebelum terjadinya Israk dan Mikraj ini, baginda Nabi mengalami kesedihan yang mendalam dengan beberapa peristiwa sedih seperti kehilangan isteri tercinta Nabi, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Bahkan Nabi juga pada tahun yang sama, telah dicemuh dengan hebatnya dalam usaha dakwah baginda di Thaif. Ini memberi pengajaran kepada kita bahwa biarpun ramai orang yang ingin menghalang dakwah kita, merintih dan mengadu lah pada Allah yang tida pernah pekak dari mendengar dan tidak pernah buta dari melihat.



Selain itu, hikmah terbesar yang boleh kita pelajari ialah kepentingan ibadah solat fardhu. Kewajipan solat melebihi kewajipan ibadah yang lain. Hal ini kerana perintah solat diterima oleh Nabi SAW secara langsung daripada Allah sewaktu Nabi bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan. Ini membuktikan keistimewaan ibadah solat amatlah istimewa dan bermakna untuk kita sebaga hamba Nya mentaati. Peristiwa agung ini juga telah mengajar kita tentang kepentingan memberi salam dan sentiasa berdoa kebaikan. Hal ini kita boleh lihat di dalam hadis yang menceritakan tentang perjalanan Nabi menuju ke langit, baginda Nabi tidak pernah terlepas memberi salam kepada para Rasul dan Nabi yang telah baginda temui.

Sebagai muslim, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa ajaib tetapi sahih yang akan menguji keimanan kita, sama ada kita mahu yakin dan percaya dengan peristiwa ini ataupun sebaliknya kita mahu menolak dan tidak mempercayainya. Juga sebagai muslim, kita wajib memastikan kesahihan sesuatu penceritaan agar tidak menyebarkan cerita dan amalan palsu yang tidak ada asas dalam agama. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan