Agama Islam merupakan suatu panduan hidup
untuk dijadikan sebagai matlamat kehidupan dan bukannya untuk dijadikan sebagai
alat kepentingan diri. Malangnya, realiti yang ada pada hari ini menunjukkan
kebanyakan orang telah menyalah gunakan agama dengan menggunakan pelbagai
istilah dan slogan berbunyi islamik, walhal matlamatnya hanyalah untuk mencari
pengaruh, meraih kuasa dan pelbagai lagi habuan dunia.
Slogan yang dilihat begitu mendasari
Islam hanya akan tinggal menjadi sebuah kata-kata sekiranya kita gagal memahami
intipati Al quran dan As Sunnah. Lebih mendukacitakan lagi, slogan-slogan
islamik ini telah membuatkan diri dan kumpulannya sentiasa betul belaka. Inilah
akibat apabila agama mula dijadikan sebagai alat untuk kepentingan peribadi
tertentu. Islam di tampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan
bertujuan kerana kecintaan mereka terhadap Islam tetapi sebaliknya kerana untuk
mempengaruhi orang ramai.
Firman Allah SWT dalam surah al-Imran
ayat 103 yang bermaksud :
"Dan berpeganglah kamu semuanya
kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".
Berpegang teguh kepada Islam bermakna
beriman atau yakin sepenuhnya tanpa syak keraguan dengan segala intipati
kandungan ajaran agama Islam. Pegangan teguh ini hendaklah berteraskan kepada
Allah dan Rasul Nya, beramal dengan suruhan Nya juga beramal dengan sabdaan
nabi Nya. Tidak sekadar bermegah-megah dengan slogan islamiknya. Dalam kitab
Tafsir al Jami' Li Ahkam Al Quran, Imam al Qurtubi menyebut : "Janganlah
berpecah belah di dalam agama kamu seperti
berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka". Hal
ini kerana banyaknya kepentingan individu sehingga telah berpecah dengan cara
menunggang nama agama.
Penggunaan slogan Islamik ini bukanlah
sesuatu perkara yang baharu. Malah sebelum pada itu, sejarah tercatat dengan
slogan agama yang dibawa oleh golongan Khawirij dengan slogannya "Tiada
Hukum Melainkan Hukum Allah". Slogan sebegini amat bahaya dan telah
menumpahkan banyak darah sesama muslim. Al Khatib al Baghdadi dalam kitabnya
Tarikh Baghdad, beliau telah menukilkan jawapan Saidina Ali terhadap slogan
Khawarij ini dengan jawapannya, "Satu slogan yang benar, tetapi dengan
tujuan yang salah".
Coretan sejarah telah membuktikan sejak
dahulu lagi wujud pihak-pihak tertentu yang mencipta slogan Islamik kononnya
membangun bersama Islam, namun sebaliknya
bertujuan tidak betul dengan membangun membina tembok perpecahan,
dinding permusuhan dan mencetus kebencian hanya kerana tidak sealiran.
Slogan-slogan bermesej Islam sepatutnya menyatukan umat, mengharmonikan
masyarakat dan mendamaikan. Bukan sebaliknya.
Nabi SAW dengan tegas menggambarkan
kepada kita perumpamaan bagaimana sikap sesama muslim yang penuh dengan kasih
sayang. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Perumpamaan golongan yang beriman
pada sifat berkasih sayang, saling merahmati dan saling membantu adalah seperti
suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan
tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam"
Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk
mencari jalan berusaha menyatukan umat atas nama agama bukannya kepentingan
pihak tertentu. Ciptalah slogan yang menyatukan dan bukannya memecah belahkan.
Hidup berslogan tidaklah salah tetapi jangan sampai kita menunggang slogan
agama demi mencari pengaruh, meraih kuasa dan sebagainya. Renung lah firman
Allah SWT dalam surah al Anbiya' ayat 92 yang bermaksud :
"Sesungguhnya ini adalah umat kamu
umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu maka beribadahlah (kepada Ku)".
Dalam kitab Tafsir Al quran al Azhim
(Ibnu Katsir) , Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini beliau berkata : "Agama
kamu agama yang satu". Kata Imam Hasan al Basri pula ayat ini
bermaksud :"Sunnah kamu sunnah yang satu".
Ini menjelaskan pada kita semua bahawa
biarpun beribu slogan agama dicipta, matlamat dan tujuan kita hanyalah satu
iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjunjung tinggi sunah para
rasul Nya.
Oleh itu, marilah kita bermuhasabah
dengan tingkah laku kita agar diri kita tidak menjadi agen penunggang agama dan
tergolong dalam kalangan orang-orang yang melampaui batas. Sedarlah kita betapa
bahanya slogan yang berbaur Islamik tetapi tidak bertujuan dengan ajaran Islam
sebenar. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan