Persoalan
ini sebenarnya boleh mengundang salah faham dan prasangka buruk terhadap Tuhan
yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Jika jawapannya ya, semua orang
bukan muslim akan masuk ke neraka, maka akan timbul persepsi pada orang bukan
Islam bahawa Tuhan tidak pernah adil kerana ada juga orang bukan muslim yang
lebih baik akhlak dan peribadinya berbanding orang Islam.
Sebaliknya,
jika jawapannya tidak, bukan semua orang bukan Islam akan masuk ke neraka, maka
akan timbul pula persepsi pada orang muslim bahawa apa guna menjadi seorang
muslim jika bukan Islam pun boleh memasuki syurga. Tidak ada makna jika orang
bukan Islam pun boleh memasuki syurga walhal mereka itu telah melakukan
sebesar-besar dosa iaitu mensyirikan Allah SWT.
Hakikatnya,
kita akan mendapati kehidupan peribadi orang bukan Islam kadangkala lebih islam
berbanding orang Islam sendiri. Misalnya, di kebanyakan negara barat, ramai
dari kalangan orang barat yang menepati janji, jujur dalam pekerjaan, telus
dalam jual beli malah mereka juga ada ketikanya mendahului orang Islam dalam
usaha kempen kemanusiaan yang juga menjadi tuntutan dalam agama Islam.
Sebaliknya, kebanyakan orang Islam lebih gemar berebut kuasa politik, menjadi
perasuah, hidup dalam persekitaran yang kotor, menipu dalam perniagaan dan
lain-lain lagi.
Melihat
realiti ini, barangkali kita juga terfikir apakah orang bukan Islam yang baik
akhlaknya, yang jujur dan amanah, juga akan dihumban ke dalam neraka ? Logik
akal akan menyatakan bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka ini
sedangkan kehidupan mereka lebih islamik berbanding orang Islam sendiri. Firman
Allah SWT dalam surah al Fussilat ayat 46 yang bermaksud :
"Tidaklah
Tuhanmu itu zalim terhadap hamba Nya"
Ayat
ini menafikan Allah SWT sama sekali tidak pernah menzalimi para hamba Nya, baik
muslim ataupun bukan muslim. Keadilan Allah merentasi segala ilmu dan
pengetahuan kita. Dia lah yang menentukan takdir hidup para hamba Nya. Maka,
kita perlu jelas bahawa Allah tidak pernah bersikap zalim pada sesiapa pun
hamba Nya. Bahkan sifat rahmat kasih sayang Allah Azza Wa Jalla terhadap hamba
Nya lebih luas berbanding kemurkaan Nya. Ini sepertimana firman Allah dalam
surah al An'aam ayat 147 yang bermaksud :
"Maka
jika mereka mendustakan kamu, katakanlah : Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas;
dan seksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa"
Para
sarjana bersepakat dengan prinsip yang disebutkan di dalam Al quran bahawasanya
Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan kepada
mereka Rasul. Ini bermakna, sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang
benar dari seorang Rasul, tidak ditegakkan hujah kukuh sehingga tiada alasan
untuk meragui ajaran Allah, maka dirinya tidak akan diazabkan dan dihukum oleh
Allah. Firman Allah dalam surah al Israk ayat 15 yang bermaksud :
"Tiadalah
Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutus seorang Rasul".
Inilah
dalil yang boleh menyelamatkan orang bukan Islam yang tidak sampai hujah
hidayah kebenaran Islam kepada mereka. Begitu juga bagi orang Islam yang jahil dalam
beramal, sekiranya tidak sampai kepada mereka hujah kebenaran amalan dan
kepercayaan yang benar dalam sesuatu perkara, maka mereka juga tidak akan
dihukum oleh Allah.
Syeikh
al Sa'di dalam kitab tafsirnya menyebut :
"Allah
itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah
dengan pengutusan Rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai
kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab."
Kata
Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Tariq al Hijratain, beliau menyebut :
"Sesungguhnya
azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah
serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah
ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama;
kufur berpaling (enggan mendengar) dan
yang kedua; kufur keras kepala (degil). Adapun kufur kerana jahil tanpa
ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang
Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah Rasul".
Dapatlah
difahami bahwa Allah dengan penuh rahmat kasih sayang, tidak akan menzalimi
hamba Nya, tidak akan menghukum hamba Nya tanpa ditegakkan hujah kebenaran
Islam pada Nya. Sebaliknya, setelah ditegakkan hujah kebenaran Islam padanya,
tetapi tetap enggan berimam pada Allah juga, maka selayaknya lah mereka dihukum
oleh Allah kerana hujah kebenaran telah sampai kepada mereka.
Oleh
itu, menjadi tanggungjawab setiap orang Islam agar menyampaikan Islam kepada
mereka yang bukan Islam agar hujah dapat ditegakkan kepada mereka, selebihnya
urusan mereka dengan Allah, sama ada untuk menerima Islam ataupun sebaliknya
menolak Islam. Orang Islam harus memikirkan pula apakah pendekatan yang
realistik untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenar. Sedarlah, dakwah bukan
hak eksklusif para agamwan bahkan menjadi hak setiap yang bergelar muslim bagi
menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan