Isu LGBT bukanlah isu yang baharu
diperbincangkan. Pelbagai medium wacana dan liputan media disediakan untuk para
pakar dan ilmuan melontarkan luah rasa serta pandangan bagi menangani isu LGBT
ini. Malah terdapat sebahagian besar rakan-rakan kita daripada pelbagai NGO
melakukan program-program berbentuk pendidikan meningkatkan kesedaran dan
wacana ilmu terhadap isu ini.
Baru-baru ini, YB Dato Haji Ahmad Marzuk
Shaary, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) telah menyatakan komitmen
kerajaan untuk memperkasakan Akta RUU 355 bertujuan meningkatkan kadar hukuman
diatas kesalahan LGBT. Ini adalah suatu langkah baik yang perlu di perhalusi
supaya ianya selari dengan maqasid syariah. Pemerkasaan undang-undang juga
perlu bergerak diatas nilai keadilan. Sesuatu hukuman mestilah dijatuhkan
kerana perbuatan tersebut, bukan kerana membenci individu terbabit, hukumlah
dengan keadilan dan bukan dengan kebencian. Kerana dibimbangi sekiranya kita
membenci golongan ini akan mendorong kita untuk tidak berlaku adil.
Firman Allah SWT dalam surah al Maidah
ayat 8 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman,
hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana
Allah dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong
kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui"
Cuma, apa yang boleh kita lihat juga
selain memberika hukuman, soal pendidikan kesedaran juga amat diperlukan bagi
mencegah wujudnya lagi golongan seperti ini. Hukuman semata-mata tidaklah
dilihat efisyen sekiranya kita gagal memberikan pendidikan meningkatkan
kesedaran dalam diri manusia. Di awal isu LGBT ini hangat di wacanakan,
terdapat sebahagian tokoh ilmuan dan agamawan seperti Ustaz Ebit Liew, Dato Dr.
Zulikifli Mohamad Al Bakri, mengambil pendekatan mendekati golongan ini dan
memberikan mereka pendidikan.
Hukuman dan pendidikan dua perkara yang
harus diberi penekanan. Hukuman bertujuan sebagai pengajaran kepada pelaku dan
masyarakat keseluruhannya. Manakala pendidikan pula sebagai medium meningkatkan
kesedaran berhubung ajaran Islam yang sebenar. Hanya dengan ilmu dan iman lah
yang dapat membentengi diri kita daripada terjebak dengan maksiat. Oleh itu,
soal pendidikan juga sangat penting bermula dari institusi kekeluargaan hingga
ke peringkat global.
Malah, melalui pendidikan juga, para
ilmuwan perlu mengambil kesempatan untuk mengkaji golongan LGBT ini dari sudut
pandang dan fakta sains. Ini kerana sebahagian hujah golongan ini
mempertahankan hak diri mereka dengan memainkan isu ketidak stabilan hormon dan
perkara ini berkait rapat dengan kajian sains. Kita perlu sedar bahawa, untuk
menentang golongan LGBT ini tidak cukup sekadar memberikan hukuman. Lebih
daripada itu, para ilmuan dan juga agamawan perlu lebih proaktif melihat
kajian-kajian sains dan perkaitannya dengan ajaran Islam.
Hakikatnya, kita bukan sahaja berhadapan
dengan isu LGBT ini bahkan sebenarnya kita sedang berhadapan dengan agenda
perjuangan golongan liberal yang menuntut hak kebebasan khususnya untuk
golongan LGBT. Oleh itu, kita semua harus mempersiapkan diri bukan sahaja untuk
menghukum mereka yang tergelincir tetapi mesti mempersiapkan diri dengan ilmu
pengetahuan dan berbekalkan takwa, kita boleh menghadapi ancaman pemikiran ini.
Sekadar membaca ayat ancaman tidak mampu mengubat hati mereka yang terpesong.
Perlu diberikan sentuhan ilmu dan kefahaman.
Ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam
surah al Nahl ayat 125 yang bermaksud :
"Serulah (manusia) kepada jalan
Tuhanmu dengan hikmah dan tutur kata yang baik, dan berdebatlah dengan mereka
dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, yang lebih mengetahui siapa yang
sesat dari jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat
petunjuk"
Marilah sama-sama kita memberikan
dorongan, semangat dan harapan kepada mereka yang tersasar agar dapat kembali
ke jalan yang lurus, yang diredhai oleh Allah SWT. Hukuman tanda ketegasan.
Pendidikan tanda kemuliaan. Semoga kita semua memperolehi hidayah serta taufik
Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan