Bulan
Muharram merupakan bulan pertama dalam perkiraan kalendar tahun hijrah. Seperti
yang kita maklum, pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar
hijrah bukanlah dipilih kerana pada Muharram itu berlakunya peristiwa hijrah.
Ada pun peristiwa hijrah, tidak sama sekali berlaku pada bulan Muharram. Ini
berdasarkan kitab sirah yang masyhur, Ar Raheeq al Makhtum, karangan oleh
Safiyyurrahman al Mubarakfury, menyatakan bahawa peristiwa hijrah pertama umat
Islam ke Habsyah telah berlaku pada bulan Rejab tahun kelima kenabian. Manakala
hijrah kedua umat Islam ke Madinah telah berlaku pada awal bulan Rabiulawal.
Bulan
Muharram datang dengan kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Maka
terdapat perbezaan amalan dan fahaman yang berlaku antara Ahli Sunnah Wal
Jamaah dan Syiah. Persoalannya ? Siapakah Ahli Sunnah dan siapa pula yang
dimaksudkan dengan Syiah ?. Dalam sebuah hadis riwayat al Tirmizi, daripada
Abdullah bin 'Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Dan
akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke
dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya : Wahai
Rasulullah SAW, siapakah mereka ? Nabi SAW menjawab : Apa yang aku berada
diatasnya dan juga sahabat-sahabatku"
Secara
umumnya, mereka yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini adalah
mereka yang berada di atas jalan sunnah baginda Nabi SAW dan berpegang pada
jalan sahabat Nabi. Oleh itu, Ahli Sunnah bukan merujuk kepada sesuatu mazhab
tertentu bahkan semua yang berada di atas jalan sunnah Nabi dan para sahabat
termasuklah dalam kumpulan Ahli Sunnah. Biarpun berbeza mazhab dan fahaman,
selagi mana ianya masih dalam lingkungan jalan sunnah Nabi dan para sahabat,
maka ia diiktiraf sebagai golongan Ahli Sunnah.
Berkenaan
Syiah, pelbagai tafsiran dan definisi yang disebut oleh para ulama berdasarkan
zaman tertentu. Menurut al Imam al Shahrastani dalam kitabnya al Milal wa al
Nihal, Syiah adalah satu golongan yang cenderung kepada Ali bin Abi Talib. Namun
begitu, tafsiran ini adalah bersifat umum. Pelbagai lagi tafsiran para ulama
berkenaan Syiah berubah dari semasa ke semasa mengikut pada perubahan zaman
Syiah itu sendiri. Biarpun begitu, Syiah mempunyai satu sikap melampau iaitu
mengagungkan Ali bin Abi Talib dan mengkafirkan sebahagian sahabat Nabi SAW.
Bulan
Muharram adalah bulan haram. Sepertimana yang terkandung dalam al Quran,
menerusi surah al Tawbah ayat 36, Allah SWat berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya
bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang
terdapat dalam kitabullah (loh mahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi.
Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah
agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan
tersebut".
Empat
bulan yang haram tersebut adalah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Perkara ini telah dijelaskan lagi oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis
riwayat al Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Dalam
setahun itu ada 12 bulan dan antaranya termasuklah empat bulan haram. Tiga
bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram serta bulan
Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan Syaaban".
Disebabkan
Muharram merupakan bulan haram, Allah SWT menegah dan melarang kita daripada
melakukan sebarang perbuatan yang boleh menzalimi diri kita sendiri. Selain
itu, pada bulan-bulan haram itu, kita dilarang untuk berperang. Sebaliknya,
pada bulan Muharram, kita dituntut untuk memperbanyakan amal soleh seperti
berpuasa. Hal ini seperti yang disebut oleh baginda Nabi SAW, sebuah hadis
riwayat Abu Dawud, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Puasa
yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah al
Muharram, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah
solat malam (qiamulail)".
Berbeza
dengan Syiah, pada 10 Muharram, kita dapat lihat di beberapa negara Asia Barat,
mereka menyambut 10 Muharram (Hari Asyura') dengan memukul-mukul badan mereka
dengan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan
mendatangkan kecederaan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak
berdosa dan tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerasukan ajaran Syiah yang
menyimpang jauh landasan agama Islam yang sebenar.
Perayaan
hari Asyura' di sisi Syiah merupakan perayaan memperingati kesyahidan Saidina
Hussain yang terbunuh di Karbala. Pada hari Asyura', golongan Syiah akan berkabung
dan mengungkapkan kesedihan serta menzahirkan penyesalan oleh golongan at
Tawwabun. Golongan at Tawwabun ini adalah mereka yang telah bertindak menulis
sepucuk surat kononnya menjemput Saidina Hussain untuk dibaiah sebagai Imam,
walhal mereka sendiri telah membunuhnya pada 10 Muharram. Inilah kemunafikan
nyata oleh Syiah.
Menurut
tulisan Qadhi Nurullah Syustri, seorang ulama Syiah dalam kitabnya Majalis al
Mu'minin (kitab Syiah), beliau menyatakan bahawa :
"Kita
telah memanggil Saidina Hussain dengan memberikan janji akan taat setia
kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita
sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuhan sesama kita".
Pada
hari tersebut juga, golongan Syiah akan meratap, bersedih, memukul diri sendiri
bagi menzahirkan rasa sedih dan penyesalan mereka yang telah membunuh Saidina
Hussain. Sedangkan, agama Islam sangat melarang kita berbuat sedemikian rupa
walau seteruk mana pun kekecewaan kita. Larangan ini sepertimana dalam sebuah
hadis riwayat al Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Bukan
dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju
dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah".
Juga
dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Meratap
adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bilamana dia
meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan
kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api
neraka".
Berdasarkan
hadis-hadis tersebut, kita dapat fahami bahawa segala amalan dan ritual yang
dilakukan oleh Syiah adalah jauh terpesong dari ajaran agama Islam. Syiah
bukanlah mazhab bahkan ianya sudah menjadi agama yang baharu. Terdapat banyak
kepincangan dan penyelewengan oleh Syiah yang sudah pun terang lagi menyuluh,
telah bercanggah dengan al Quran dan sunnah Nabi SAW. Semoga Allah memberikan
kita petunjuk dan taufik Nya agar kita sentiasa berada di landasan agama Islam
yang sebenar.