Menurut
definisi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud
penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang
individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan
dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi,
perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun. Al Mausu'ah al Fiqhiyah al
Kuwaitiyyah, menyatakan bahawa rasuah membawa makna sebarang pemberian
bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kebenaran.
Integriti
merupakan satu elemen terpenting dalam memyerahkan sesuatu kuasa kepada
ahlinya. Biarpun ilmu menjadi ukuran untuk kelayakan, tetapi tidak semua mereka
yang berilmu itu mempunyai integriti serta telus dalam kepimpinannya. Oleh
kerana nilai integriti ini sangat besar dan memberi impak dalam urus tadbir
negara, maka sesiapa pun yang mencuba menyogok dengan keistimewaan tertentu, ia
tetap adalah sogokan rasuah.
Islam
sangat melarang umatnya untuk memberi apatah lagi menerima rasuah. Implikasi
memberi atau mengambil rasuah, bukan sahaja telah merendahkan maruah dan
martabatnya, bahkan dikeji dan dilaknat oleh Rasulullah SAW. Hal ini
sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, daripada Thauban RA, beliau
menyebut yang bermaksud :
"Rasulullah
SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat
penghubung antara kedua-duanya"
Ternyata,
pemberi, penerima dan perantara kedua-duanya dilaknat oleh Rasulullah SAW.
Perbuatan baginda Nabi SAW melaknat mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah
ini telah cukup bagi menunjukkan kepada kita bahawa betapa hina dan kotornya
perbuatan rasuah ini. Demikian juga Allah SWT begitu tegas dalam hal ini.
Perkara ini sepertimana dalam al Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al
Baqarah ayat 188 yang bermaksud :
"Dan
janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu
dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi
rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian
dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui
(salahnya)".
Syeikh
al-Sobuni dalam kitab Sofwah al Tafasir, beliau menyatakan bahawa :
"Janganlah
sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak
dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim".
Dr.
Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya al Halal wa al Haram fi al Islam, beliau pula
menyatakan :
"Termasuk
memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu
wang yang diberikan kepada penguasa atau pengawal, supaya penguasa atau
pengawal tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkan, atau hukum yang
merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya, atau
ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya".
Berdasarkan
firman Allah dan sabda baginda Nabi, diperhalusikan pula dengan perincian oleh
para sarjana dan alim ulama, dapat kita simpulkan bahawa rasuah adalah suatu
perbuatan yang terkutuk, buruk, jijik lagi kotor. Menggadaikan maruah demi
untuk kepentingan diri. Perkara ini semestinya menjadi musuh pada diri.
Bukannya menjadikan ia sebagai peluru bagi menutup kebenaran.
Rasuah
pada hari ini dilihat sudah menjadi normalisasi dikalangan kita. Ada yang
perasan dan ada juga yang tidak perasan. Lebih membimbangkan, apabila rasuah
diberikan dengan kaedah yang berhemah, dibaluti dengan frasa kata yang gah,
berdiri megah tanpa rasa bersalah. Pemberian tersebut tidak menzahirkan makna
sebenar rasuah namun pemberian itu sudah tentu mempunyai maksud dan tujuan yang
mendalam. Bukan sekadar memberi, tetapi mengharapkan balasan tertentu. Dalam
tidak sedar, kita telah pun membuka ruang untuk dimurkai oleh Allah dan Rasul
Nya.
Negara
kita telah mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun lamanya, namun najis rasuah
masih membelenggu diri kita. Biarpun pelbagai usaha dan langkah diambil dan
dibuat bagi membanteras jenayah rasuah, namun selagi diri sendiri tidak dapat
mendidik hati agar bertaqwa, maka selagi itulah manusia boleh terjerumus ke
lembah kehinaan dan hilang pedoman hidup. Kata kuncinya adalah taqwa. Kerana
ketaqwaan pada diri seseorang itu mampu menjadi benteng kepada nafsu serakah
durjana. Kepada sesiapa pun pelaku rasuah, jika tidak di dunia, di hadapan
Allah kelak pasti akan dihitungnya. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan