Kalender
Hijrah merupakan perkiraan hari mengikut bulan Islam yang diasaskan pada zaman
Khalifah Umar al Khattab r.a. Tahun baharu Hijrah merupakan detik bersejarah
yang sangat bermakna bagi umat Islam kerana bermulanya perkiraan tahun yang
sistematik. Sebelum ini, orang Arab hanya mempunyai kiraan bilangan bulan
sebanyak 12 bulan tanpa kiraan tahun.
Selepas
perbincangan demi perbincangan, Umar al-Khattab sepakat memilih tahun
penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Hijrah.
Bulan Muharam pula dipilih sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah.
Pemilihan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar Hijrah bertepatan dengan kelebihan
dan keistimewaan bulan tersebut.
Antara
kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam menurut nas al-Quran dan hadis
termasuklah:
MUHARAM:
BULAN HARAM DAN BULAN KEBAIKAN
Bulan
Muharam merupakan satu daripada empat bulan yang diharamkan seperti yang
disebutkan dalam al-Quran. Pada bulan ini, umat Islam diseru agar memperbanyak
amalan soleh.
Firman
Allah SAW yang bermaksud,
“Sesungguhnya
bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang
terdapat dalam kitabullah (lohmahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi.
Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah
agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan
tersebut”. (Surah al Tawbah 9:36)
Rasulullah
SAW menjelaskan berkenaan dengan empat bulan haram ini dalam sabda baginda yang
bermaksud,
“Dalam setahun itu ada 12 bulan dan antaranya
termasuklah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah,
Zulhijah dan Muharam serta bulan Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan
Syaaban”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Pada bulan haram ini, Allah SWT mengharamkan umat Islam berperang. Demikian juga pada bulan Muharam yang terdapat kelebihan untuk kita memperbanyak amalan soleh seperti berpuasa.
Hal
ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Puasa
yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah
al-Muharam, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah
solat malam (qiamulail).” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Terdapat
sebuah hadis yang menceritakan kegigihan Rasulullah SAW mengejar kelebihan hari
Asyura berbanding dengan hari yang lain. Ibn Abbas r.a. ketika ditanya tentang
puasa Asyura, beliau berkata,
“Aku
tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih
berbanding dengan hari yang lain melainkan hari ini, iaitu hari Asyura”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari).
Mengulas
hadis ini, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari berkata
bahawa “Ini menunjukkan bahawa puasa Asyura lebih afdal berbanding dengan hari
lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir daripada hadis riwayat Muslim pula
menyebut bahawa puasa pada hari Arafah lebih afdal berbanding dengan puasa pada
hari Asyura. Hikmahnya ialah puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Nabi Musa a.s.,
manakala puasa Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh hal yang
demikian, puasa Arafah lebih afdal”.
PUASA HARI ASYURA: DIAMPUNKAN DOSA SETAHUN YANG LALU
Dalam
sebuah yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a. bahawa seorang lelaki bertanya
kepada Rasulullah SAW tentang puasa Asyura, maka Baginda menjawab,
“Aku
berharap kepada Allah agar puasa ini dapat mengampunkan dosa setahun yang
berlalu.” (Hadis riwayat Muslim).
Menurut
Abdul Wahhab bin al-Khaffaf dalam kitab al-Siyam, “Qatadah berkata bahawa puasa
Asyura merupakan kafarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat
hartanya”.
Walau
bagaimanapun, bagi mereka yang ingin berpuasa sunat Asyura, disunatkan juga
berpuasa pada hari sebelum hari Asyura, iaitu hari Tasu‘a (hari kesembilan
Muharam) ataupun sehari selepasnya, iaitu hari ke-11 Muharam. Hal ini bertujuan
untuk membezakan dengan amalan orang Yahudi.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Berpuasalah
kalian pada hari Asyura dan bezakanlah dengan golongan Yahudi, iaitu
berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad).
Dalam
hadis yang lain, sepertimana dalam sebuah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada
hari kesembilan (Muharam)”. (Hadis riwayat Muslim).
Dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. mengatakan bahawa,
“Rasulullah
SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Mereka berkata,
‘Hari ini hari yang mulia kerana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya pada hari
ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu, Nabi Musa
a.s. berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran’. Rasulullah SAW bersabda,
‘Aku lebih utama daripada Musa berbanding dengan mereka’. Maka itu, Baginda pun
berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut”.
(Hadis riwayat al Bukhari dan Muslim).
Demikian beberapa kelebihan dan keistimewaan bulan Muharam dan hari Asyura (10 Muharam) yang disebut dalam nas al-Quran dan hadis. Adapun beberapa amalan khusus yang lain, seperti doa akhir tahun dan awal tahun, tiada dalil atau nas yang mengkhususkan amalan tersebut.
Oleh
hal yang demikian, tanpa kita mengkhususkan apa-apa, berdoalah pada bila-bila
masa dengan penuh yakin dan merendah diri memohon hanya kepada-Nya. Semoga
Allah SWT menjadikan tahun baharu ini sebagai satu peluang dan ruang bagi kita
untuk sentiasa istiqamah mengerjakan kebajikan, seterusnya mengharapkan
keredaan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan