Khamis, 19 Ogos 2021

MUHARRAM : ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH

 

Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam perkiraan kalendar tahun hijrah. Seperti yang kita maklum, pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar hijrah bukanlah dipilih kerana pada Muharram itu berlakunya peristiwa hijrah. Ada pun peristiwa hijrah, tidak sama sekali berlaku pada bulan Muharram. Ini berdasarkan kitab sirah yang masyhur, Ar Raheeq al Makhtum, karangan oleh Safiyyurrahman al Mubarakfury, menyatakan bahawa peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah telah berlaku pada bulan Rejab tahun kelima kenabian. Manakala hijrah kedua umat Islam ke Madinah telah berlaku pada awal bulan Rabiulawal.

Bulan Muharram datang dengan kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Maka terdapat perbezaan amalan dan fahaman yang berlaku antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Persoalannya ? Siapakah Ahli Sunnah dan siapa pula yang dimaksudkan dengan Syiah ?. Dalam sebuah hadis riwayat al Tirmizi, daripada Abdullah bin 'Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka ? Nabi SAW menjawab : Apa yang aku berada diatasnya dan juga sahabat-sahabatku"



Secara umumnya, mereka yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini adalah mereka yang berada di atas jalan sunnah baginda Nabi SAW dan berpegang pada jalan sahabat Nabi. Oleh itu, Ahli Sunnah bukan merujuk kepada sesuatu mazhab tertentu bahkan semua yang berada di atas jalan sunnah Nabi dan para sahabat termasuklah dalam kumpulan Ahli Sunnah. Biarpun berbeza mazhab dan fahaman, selagi mana ianya masih dalam lingkungan jalan sunnah Nabi dan para sahabat, maka ia diiktiraf sebagai golongan Ahli Sunnah.

Berkenaan Syiah, pelbagai tafsiran dan definisi yang disebut oleh para ulama berdasarkan zaman tertentu. Menurut al Imam al Shahrastani dalam kitabnya al Milal wa al Nihal, Syiah adalah satu golongan yang cenderung kepada Ali bin Abi Talib. Namun begitu, tafsiran ini adalah bersifat umum. Pelbagai lagi tafsiran para ulama berkenaan Syiah berubah dari semasa ke semasa mengikut pada perubahan zaman Syiah itu sendiri. Biarpun begitu, Syiah mempunyai satu sikap melampau iaitu mengagungkan Ali bin Abi Talib dan mengkafirkan sebahagian sahabat Nabi SAW.

Bulan Muharram adalah bulan haram. Sepertimana yang terkandung dalam al Quran, menerusi surah al Tawbah ayat 36, Allah SWat berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat dalam kitabullah (loh mahfuz) pada hari diciptakan langit dan bumi. Antaranya (bulan-bulan tersebut) termasuklah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian dalam bulan-bulan tersebut".

Empat bulan yang haram tersebut adalah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Perkara ini telah dijelaskan lagi oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Dalam setahun itu ada 12 bulan dan antaranya termasuklah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram serta bulan Rejab, iaitu antara Jamadilakhir dengan Syaaban".




Disebabkan Muharram merupakan bulan haram, Allah SWT menegah dan melarang kita daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh menzalimi diri kita sendiri. Selain itu, pada bulan-bulan haram itu, kita dilarang untuk berperang. Sebaliknya, pada bulan Muharram, kita dituntut untuk memperbanyakan amal soleh seperti berpuasa. Hal ini seperti yang disebut oleh baginda Nabi SAW, sebuah hadis riwayat Abu Dawud, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Puasa yang paling afdal setelah bulan Ramadan ialah puasa pada bulan Allah al Muharram, dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu ialah solat malam (qiamulail)".

Berbeza dengan Syiah, pada 10 Muharram, kita dapat lihat di beberapa negara Asia Barat, mereka menyambut 10 Muharram (Hari Asyura') dengan memukul-mukul badan mereka dengan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak berdosa dan tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerasukan ajaran Syiah yang menyimpang jauh landasan agama Islam yang sebenar.

Perayaan hari Asyura' di sisi Syiah merupakan perayaan memperingati kesyahidan Saidina Hussain yang terbunuh di Karbala. Pada hari Asyura', golongan Syiah akan berkabung dan mengungkapkan kesedihan serta menzahirkan penyesalan oleh golongan at Tawwabun. Golongan at Tawwabun ini adalah mereka yang telah bertindak menulis sepucuk surat kononnya menjemput Saidina Hussain untuk dibaiah sebagai Imam, walhal mereka sendiri telah membunuhnya pada 10 Muharram. Inilah kemunafikan nyata oleh Syiah.

Menurut tulisan Qadhi Nurullah Syustri, seorang ulama Syiah dalam kitabnya Majalis al Mu'minin (kitab Syiah), beliau menyatakan bahawa :

"Kita telah memanggil Saidina Hussain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuhan sesama kita".




Pada hari tersebut juga, golongan Syiah akan meratap, bersedih, memukul diri sendiri bagi menzahirkan rasa sedih dan penyesalan mereka yang telah membunuh Saidina Hussain. Sedangkan, agama Islam sangat melarang kita berbuat sedemikian rupa walau seteruk mana pun kekecewaan kita. Larangan ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah".

Juga dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Meratap adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bilamana dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api neraka".

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, kita dapat fahami bahawa segala amalan dan ritual yang dilakukan oleh Syiah adalah jauh terpesong dari ajaran agama Islam. Syiah bukanlah mazhab bahkan ianya sudah menjadi agama yang baharu. Terdapat banyak kepincangan dan penyelewengan oleh Syiah yang sudah pun terang lagi menyuluh, telah bercanggah dengan al Quran dan sunnah Nabi SAW. Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan taufik Nya agar kita sentiasa berada di landasan agama Islam yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan