Kehidupan
yang sementara ini merupakan suatu perjalanan menuju negeri yang abadi. Dalam
perjalanan yang tiada henti ini, sudah tentu segala perancangan untuk sampai ke
negeri abadi ini harus diteliti dengan bersungguh agar kita benar-benar sampai
ke sana dengan penuh kegembiraan dan keseronokan, bukan sebaliknya dengan
penyelasan dan penderitaan. Untuk menyelusuri perjalanan ini, kita akan banyak
bertemu dengan ranjau duri, dugaan dan cabaran yang seringkali kita anggap
sebagai ujian kehidupan.
Maka
untuk menuju negeri abadi dengan selamat, Allah Azza Wa Jalla telah menjadikan
al-Quran sebagai panduan perjalanan hidup bagi seluruh umat manusia yang mahu
mempedulikannya. Sebaliknya, bagi mereka yang sombong dan angkuh, pastinya akan
tersesat kerana berjalan meniti kehidupan yang sementara ini tanpa merujuk
al-Quran yang merupakan panduan seluruh umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 1 - 5 yang bermaksud :
"Alif
Lam Mim (1) Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya ; petunjuk bagi
mereka yang bertaqwa (2) (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib,
melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada
mereka (3) dan mereka yang beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepadamu
(Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka
yakin akan adanya hari akhirat (4) Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya
dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (5).
Perkataan
al-Quran berasal daripada bahasa Arab. Dari sudut bahasa, perkataan al-Quran
mempunyai beberapa maksud iaitu antaranya bermaksud mengumpulkan dan
menghimpunkan. Qiraah bermaksud menghimpun huruf-huruf al-Quran dan kata-kata
satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Al-Quran dari
pemahaman sudut istilah pula, al-Quran merupakan kitab yang diturunkan Allah
secara berperingkat (mutawatir) kepada baginda Nabi SAW yang berbentuk mukjizat,
melalui malaikat Jibril AS, dan membacanya pula mendapat pahala.
Al-Quran
merupakan kalam Allah untuk para hamba Nya sebagai suatu modul panduan bagi
melayari kehidupan yang sementara ini untuk menuju ke negeri abadi. Kitab
al-Quran tidak sama seperti terbitan buku, novel, majalah atau apa sahaja
bacaan lain. Padanya terdapat penceritaan dan penjelasan berkaitan Islam.
Selain itu, sebagai panduan umat manusia mengambil pelajaran dari umat
terdahulu, padanya juga terkandung cerita dan kisah umat-umat terdahulu yang
telah dihukum oleh Allah SWT. Juga padanya, terdapat ayat-ayat al-Quran yang
menjelaskan tentang ilmu sains, ilmu falak, yang turut merangkumi penceritaan
tentang kejadian langit dan bumi, kejadian manusia dan sebagainya.
Bagi
orang Islam, al-Quran merupakan buku perlembagaan yang tertinggi mengatasi
mana-mana buku peraturan di seantero dunia. Kitab ini diturunkan oleh Allah
melengkapkan pensyariatan Islam, merangkumi syariat-syariat Nabi yang terdahulu
dan padanyalah terletaknya kesempurnaan syariat agama Islam. Dengan turunnya
al-Quran, tidak ada lagi sebarang pembaharuan syariat sama ada dengan tujuan
pengurangan atau penambahan, al-Quran memuktamadkan segala kesempurnaan syariat
agama Allah ini dan seluruh umat manusia disuruh untuk mengikuti panduannya.
Sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 47, yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah
Kami turunkan (al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu"
Tujuan
utama dan terpenting al-Quran diturunkan adalah sebagai untuk panduan bagi umat
manusia. Padanya terkandung petunjuk menuju jalan yang benar, iaitu jalan yang
diredhai oleh Allah SWT. Ibarat seperti kompas, pada al-Quran itu terkandung
segala nasihat, peringatan, membawa khabar dan berita gembira, selain membawa
amaran berserta ancaman daripada Allah agar manusia sentiasa berwaspada dengan
kehidupan sementara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang
bermaksud :
"(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah"
Demikianlah
al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Umpama
kompas penunjuk arah yang benar tatkala kita berjalan di dalam kehidupan yang
sementara ini. Tanpa kompas menunjuk arah, tersesatlah kita di dalamnya. Begitu
juga dalam kehidupan ini. Meniti hidup di dunia ini tanpa berpegang pada
panduan al-Quran, pastinya kita akan bertemu dengan banyak simpang-siur
kesesatan yang menggelapkan perjalanan. Oleh yang demikian, al-Quran yang
dibaca oleh umat Islam ini bukan sekadar hiasan di dinding-dinding rumah, tidak
pula sekadar alat kecemasan memohon hajat dan kemahuan, apatah lagi dijadikan
hanya sebagai tangkal azimat kehidupan. Al-Quran jauh lebih penting sebagai
penyelamat kita menuju ke negeri abadi dengan selamat tanpa sesat.
Kehebatan
al-Quran bukan sahaja terbukti sebagai kompas kehidupan umat manusia, malah
keaslian bahasanya yang datangnya dari kalam Allah tidak dapat disaingi oleh
mana-mana bahasa puitis sedunia. Keaslian ungkapan yang luar biasa ini
membuktikan bahawa al-Quran bukanlah karangan atau penulisan mana-mana makhluk
Nya. Bukanlah seperti penulisan buku-buku novel dan sebagainya yang sebahagian
besarnya hanya terhad pada logik akal manusia. Ayat-ayat al-Quran bukanlah
dipetik dari ucapan mana-mana makhluk. Sebaliknya diungkap oleh Tuhan yang Maha
Bijaksana. Sejarah menceritakan sejak dahulu, terdapat beberapa cubaan untuk
mencipta surah menandingi surah yang terkandung dalam al-Quran namun gagal dan
tidak dapat menyainginya.
Sebelum
pada itu, Allah dengan kebijaksanaan Nya lebih awal menjelaskan kepada kita
bahawa tidak ada seorang pun yang dapat mencipta ayat setanding kalam Nya. Hal
ini sepertimana firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 88 yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk
membuat yang sama (dengan) al-Quran ini, mereka tidak akan mampu membuatnya,
walaupun mereka saling bantu-membantu".
Demikianlah
hakikat yang ada pada al-Quran. Sesungguhnya manusia itu telah diberi pilihan
dengan jelas dan nyata. Untuk melayari kehidupan ini, tidak ada perkara yang
boleh merisaukan kita selagimana kita benar-benar berjalan mengikuti kompas
kehidupan ini, iaitu al-Quran. Telah diberi jaminan oleh baginda Nabi SAW tidak
akan tersesat selamanya apabila kita benar-benar berpegang kepada al-Quran
disamping as-Sunnah. Sedar lah kita bahawa al-Quran bukan sekadar jampian
tetapi lebih bermakna, sebagai sebuah kompas kehidupan, menunjukkan arah yang
benar dan tepat bagi menuju kepada Allah. Semoga Allah merahmati dan mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan