Sesuatu
yang telah menjadi lumrah pada diri manusia itu akan merasai kesedihan, hiba,
pilu dan berdukacita diatas musibah yang menimpanya. Apa sahaja keadaan yang
menekan jiwa dan perasaan manusia, pastinya tidak dapat lari daripada perbuatan
menangis menitiskan airmata. Padanya itu adalah lumrah tabiat semulajadi
manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Dalam al-Quran, menerusi surah an-Nisa'
ayat 28, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan
manusia diciptakan dalam keadaan lemah"
Menurut
Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Thariqul Hijrataian, beliau menyatakan
bahawa kelemahan di sini merangkumi semuanya secara umum. Kelemahannya lebih
dari hal lain. Manusia lemah badan, lemah kekuatan, lemah keinginan, lemah ilmu
dan lemah kesabaran. Demikian apa yang dijelaskan oleh Imam Ibn Qayyim
berkaitan ayat ini. Beberapa ayat lagi yang menjelaskan bahawa manusia itu
sememangnya dalam kelemahan dan ketidakupayaan. Dalam firman Nya yang lain,
surah ar-Rum ayat 54 yang bermaksud :
"Allah
lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu)
setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah
kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki
dan Dia Maha Mengetahui Maha Berkuasa"
Ayat
ini jelas menunjukkan kelemahan pada manusia itu bukan sahaja tertakluk pada
rohani, juga pada fizikal manusia selari dengan peredaran masa yang datang dan
pergi. Pun begitu, manusia tidak dapat lari dari sebarang kelemahan lebih-lebih
lagi ketika berdepan dengan musibah kehilangan yang menyakitkan. Manusia secara
normalnya pasti akan merasai kesedihan dan kedukaan apabila kehilangan
seseorang yang pergi buat selamanya. Begitulah juga yang telah berlaku kepada
kehidupan baginda Nabi SAW.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA beliau berkata ketika
putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia baginda menangis
kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf RA kepada baginda :
"Dan
engaku pun menangis wahai Rasulullah ? Maka sabda Rasulullah SAW : 'Wahai anak
Auf, sungguhnya ia adalah rahmat.' Kemudian Rasulullah SAW bersabda :
'Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut
melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhnya kami
dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih".
Baginda
Nabi SAW juga adalah manusia biasa seperti kita yang tidak dapat lari daripada
perasaan sedih, duka dan hiba. Ini juga secara tidak langsung membuktikan
bahawa setiap insan itu sememangnya dalam keadaan lemah dan tidak punyai upaya
melainkan dengan izin dan kudrat dari Allah SWT. Sungguh pun Islam tidak
melarang kita untuk bersedih dan berdukacita diatas kehilangan insan yang
tersayang, namun perbuatan menangis hingga meratap, menampar pipi dan
seumpamanya adalah dilarang dan ditegah oleh Islam.
Dalam
sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Dua
perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah daripada perbuatan orang kafir,
mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat".
Dalam
hadith yang lain, riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas'ud RA, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Bukan
dari amalan kami mereka yang menampar pipi (ketika kematian) dan mengoyakkan pakaian
dan menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliah".
Menurut
Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, beliau
menyatakan bahawa :
"Dan
adapun menangis dengan meraung yakini mengangkat suara seperti bertempik
terlolong-lolong, meratap, menampar pipi, mengoyakkan pakaian, menggaruk akan
muka dan menarik-narik rambut, menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliah seperti
berkata matilah aku atau binasalah aku maka sekaliannya haram dengan sepakat
Ashab".
Berdasarkan
penjelasan ini, Islam sangat melarang umatnya dari bersikap melampau dalam
menzahirkan kesedihan dan kedukaan. Sehingga melakukan perbuatan orang Jahiliah
dahulu seperti menampar pipi, mengoyak pakaian dan sebagainya, ini telah
termasuk dalam maksud melampaui batas. Sekiranya bersikap dengan demikian, maka
ketahuilah bersabar adalah permulaan atas segala musibah yang melanda. Hal ini
sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA yang
bermaksud :
“Sungguhnya
Nabi SAW telah lalu kepada seorang perempuan yang sedang menangis atas anaknya
(yang mati). Maka Nabi SAW berkata baginya: Takutlah kamu akan Allah dan
bersabarlah. Kata perempuan itu: Dan apa engkau peduli dengan musibah yang
menimpa aku. Maka ketika Nabi SAW beredar seorang telah memberitahu perempuan
itu bahawasanya yang bercakap dengannya tadi ialah Rasulullah SAW. Perempuan
itu telah kematian anaknya (kerana itu dia jadi bersangatan perasaannya). Lalu
dia datang ke rumah Nabi SAW dan didapatinya tidak ada orang yang menunggu pada
pintunya. Kemudian berkata perempuan itu: Wahai Rasulullah. Aku tidak mengenali
akan engkau (meminta uzur). Maka sabdanya : Hanyalah sabar itu ketika permulaan
(datang musibah).”
Disaat
menghadapi musibah yang mendukacitakan ini, Baginda Nabi SAW telah mengajarkan
kepada kita doa yang boleh kita ungkapkan. Perkara ini sepertimana yang
terkandung dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Ummu Salamah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Jika
ada di antara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata : Sesungguhnya
kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya. Ya Allah aku
hanya menghitung pahala musibah ini di sisi Mu, maka berikanlah kepadaku pahala
itu dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik daripada musibah
ini"
Ungkapan
ini tidak terbatas pada soal kematian sahaja bahkan merangkumi semua maksud
musibah seperti kemalangan, rumah terbakar dan apa sahaja musibah yang
mendukacitakan. Kekuatan umat ini adalah pada doa yang ikhlas dan benar-benad
mengharapkan pada Allah SWT. Kehilangan seseorang yang pergi buat selamanya
pastinya akan meninggalkan kesan dan bekas yang mendalam pada hati ini. Oleh
yang demikian, agama Islam memberikan ruang pada kita untuk bersedih dan
berdukacita sebagai bukti kelemahan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT.
Inilah
apa yang diajarkan dan diperintahkan oleh Allah SWT ketika kita menghadapi
musibah kehilangan selamanya insan yang tersayang. Sesungguhnya, bersedih dan
berdukacita diatas kematian insan yang kita sayangi bukanlah sesuatu yang salah
dan menyalahi agama. Bahkan sifat sedih dan duka tersebut adalah lumrah dan
tabiat normal manusia. Pun begitu, janganlah biarkan kesedihan dan kedukaan
menguasai diri kita sehingga bertindak melampaui batas agama. Semoga Allah
merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan