Kecantikan
amat sinonim bagi kaum wanita walau dimana pun mereka berada. Baik di utara,
mahupun di selatan, wanita dan kecantikan adalah sesuatu yang begitu berharga
dan terpenting dalam kehidupan mereka. Biasa kita melihat perasaan hati atau
disebutkan sebagai "mood" kaum wanita boleh berubah hanya kerana
tudung yang tidak menjadi, jerawat yang tiba-tiba menjelma dan seumpamanya.
Berbeza pula dengan kaum lelaki. Sehelai baju yang tidak dicemari bau dan
kotoran, mampu di pakainya berhari-hari. Adakalanya jerawat tumbuh pun tidak
dipedulikannya.
Demikian
lah sifat kewanitaan yang tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan dan
keindahan. Bukanlah bermaksud kaum lelaki tidak mempedulikan kebersihan,
kecantikan dan sebagainya namun bagi kaum wanita itu adalah perkara terpenting
bagi mereka yang mampu menentukan baik buruknya pada hari tersebut. Kerana
fitrahnya wanita itu suka dan begitu teliti akan kecantikan, maka syariat Islam
yang berpaksikan kepada firman Allah serta kalam kekasih Nya, Nabi Muhammad SAW
datang membawa suruhan menutup aurat bagi memelihara dan melindungi kecantikan
seseorang wanita.
Pada
kecantikan seseorang wanita itu terdapat nilai harga diri dan maruah yang perlu
dijaga dan dipelihara. Aurat wanita bukanlah sesuatu alat untuk dipertonton,
ditayang dan diperlihatkan oleh mereka yang tidak layak untuk menatapnya. Pada
diri wanita itu punyai harga yang harus dibayar untuk menatap akan kecantikan
dan keindahan mereka. Oleh yang demikian, Allah dengan sifat penyayang Nya pada
kaum wanita memerintahkan agar kaum wanita menutupi aurat. Hal ini sepertimana
firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :
"Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat
pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka,
dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka"
Walau
pun sebahagian golongan liberalis mempertikaikan syariat memakai tudung ini
dengan mendakwa bahawa tiada ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa
kepala dan rambut wanita sebahagian dari aurat namun kita harus fahami bahawa
dalam surah an-Nur ayat 31 ini, Allah SWT menggunakan perkataan 'khimar'
atau 'khumur' yang membawa maksud penutup kepala. Meskipun penterjemahan
kepada perkataan "khimar" itu masih boleh dipertikaikan lagi
namun menafsirkan ayat al-Quran tanpa melalui displin ilmu yang betul maka kita
akan dapati banyak perkara yang bertembung dengan al-Quran. Ini kerana,
menguasai bahasa arab semata-mata tanpa mempunyai displin ilmu dalam penafsiran
akan menjadikan kita tersesat dari intipati kehendak syariat sebenar.
Adalah
tidak benar sama sekali apabila ada yang mendakwa syariat menutup aurat untuk
wanita berupa diskrimimasi gender semata-mata. Walhal, sejarah dunia
menunjukkan kepada kita bahawa kezaliman dan penindasan terhadap golongan
wanita telah berlaku sejak zaman Eropah dahulu. Di Prague, terdapat sebuah
muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan. Pada zaman Eropah dahulu,
kaum isteri kepada tentera yang pergi berperang bagi menentang tentera Islam di
Palestin suatu masa dahulu dipaksa untuk memakai cawat besi. Barangkali
pemakaian tersebut adalah kerana ketidak kepercayaan suami terhadap isterinya
ketika ditinggalkan. Lebih tragis, cawat besi yang dipakaikan itu dikunci. Hal
ini menyebabkan kesukaran untuk mereka bergerak dan amat menyeksakan.
Meskipun
hal tersebut sudah menjadi bahan sejarah, namun kepada mereka yang mengagungkan
dunia barat, kononnya dunia barat menjadi kiblat kepada perjuangan hak
kewanitaan, haruslah celik sejarah dan tidak terperangkap dengan kata dan
ungkapan propaganda mereka semata-mata. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang
mendakwa pemakaian menutup aurat dianggap kuno dan tidak maju. Malah,
sebahagiannya menganggap memakai tudung hanya bertujuan mengongkong kemajuan
para wanita. Dakwaan ini tidak seharusnya dikata dengan cakap lepas sahaja.
Harus dibuktikan dengan data dan kajian yang dibuat.
Satu
hal yang kita harus sedari ialah pemakaian tudung menutup aurat sama sekali
tidak menjadi penyebab kemunduran kaum wanita bersaing di dunia realiti. Betapa
ramai sahaja kaum wanita yang menutup aurat namun mampu bersaing dan meraih
kejayaan dalam bidang masing-masing. Misalnya, Zahra Lari, seorang atlet
peluncur ais UAE mampu tampil bersaing di pentas dunia dengan menutup aurat.
Dalam konteks Malaysia pula, tidak kurang hebat para wanita yang bertudung
bersaing dalam pelbagai arena. Seperti contoh, Mantan Timbalan Perdana Menteri
Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang juga merupakan wanita pertama Malaysia
dilantik sebagai orang nombor 2 negara. Mampu berdiri dengan gahnya sebagai
wanita yang menutup aurat. Selain itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku
Maimun Tuan Mat, juga merupakan seorang wanita bertudung menutup aurat.
Jelaslah
bagi kita betapa dangkalnya dakwaan sebahagian mereka yang beranggapan menutup
aurat dengan memakai itu adalah suatu kongkongan hidup mengekang kemajuan hidup
para wanita. Syariat menutup aurat khasnya kepada kaum wanita bukanlah suatu
bentuk kezaliman dan penindasan Tuhan kepada mereka. Jika dahulu, ketika di
zaman Arab Jahiliah, para wanita sama sekali tidak bernilai pada kaca mata kaum
lelaki. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak lebih dijadikan
sekadar tempat melempiaskan nafsu, dijadikan kuli tidak bermaruah, tidak
diberikan hak untuk berharta dan pelbagai lagi kezaliman yang menimpa kaum
wanita dahulu. Namun sebaik datangnya Islam dengan membawa rahmat,
menyelamatkan kaum wanita daripada di tindas, maruah dan harga diri
dipertahankan dengan turunnya syariat Allah ini.
Dunia
seharusnya mengiktiraf kaum wanita sebagai makhluk yang bermaruah dan harus
dipandang tinggi. Sepertimana Islam melalui syariatnya, melindungi maruah dan
harga diri wanita daripada dijadikan barang dagangan untuk ditayangkan
semata-mata. Kecantikan lahiriah yang juga merupakan anugerah Allah kepada
hamba Nya harus dijaga dengan penuh terhormat. Tidak boleh dijadikan bahan
tontonan tidak berbayar bahkan lebih daripada itu, Islam menegahnya dengan
bermaruah. Oleh demikian, sesuai dengan fitrah wanita yang penuh kelembutan dan
kehalusan budi, syariat Allah melengkapkan lagi makna maruah dan harga diri
seorang wanita. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan