Penceritaan
merupakan salah satu medium menarik untuk memupuk semangat umat manusia untuk
mempelajari sesuatu pelajaran. Oleh itu, konsep penceritaan seringkali
digunakan bagi menarik perhatian orang ramai bagi mempelajari sesuatu. Selain
itu, juga menjadi lumrah umat manusia untuk mudah tertarik dan takjub apabila
mendengar sesuatu perkhabaran atau cerita yang dapat menyentuh jantung hatinya.
Maka tidak hairanlah di dalam al-Quran, terdapat sebuah nama surah yang disebut
al-Qasas yang membawa maksud cerita-cerita.
Namun
begitu, bukanlah semua kisah atau cerita yang kita dengari itu datangnya dari
sumber agama yang autentik. Sebahagian kisah yang seringkali didengari dan
didendangkan kepada kita adalah bersumberkan daripada Israiliyyat. Menurut Imam
al-Tabari dalam kitab Jami' al-Bayan'an Takwil Aayi al-Quran, perkataan
"Israiliyyat" dari segi bahasa berasal daripada kata jamak Israil.
Perkataan Israil merupakan gelaran kepada Nabi Yaakub AS yang bermaksud hamba
Allah dan pilihan Nya dari kalangan para makhluk Nya. Ia berasal daripada
perkataan Ibrani dan terbina dua kalimah "Isra" bermaksud hamba dan
"Iil" bermaksud Allah.
Pengertian
dari sudut istilah pula, seperti yang telah dinyatakan oleh Imam al-Zahabi
dalam kitabnya al-Israiliyyat fi al-Tafsir wal Hadith, beliau
menyebutkan :
"Lafaz
Israiliyyat pada zahir adalah lafaz jamak (plural) lafaz mufradnya (singular)
'israiliyyah. Ia adalah kisah atau peristiwa yang disebutkan daripada sumber
isra'iliy, dinisbahkan kepada Isra'il iaitu Nabi Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim.
Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi lalu dikatakan 'Bani Isra'il"
Dalam
ungkapan yang lebih mudah, kisah Israliyyat ini adalah merujuk kepada cerita
atau kisah yang bersumberkan daripada Yahudi. Menurut sejarah, kisah
Israiliyyat bermula daripada interaksi orang-orang Yahudi dengan orang-orang
Arab sejak sebelum Islam muncul lagi. Orang Yahudi memiliki ilmu pengetahuan yang
diambil daripada ajaran kitab Taurat dan buku-buku agama yang lain. Orang Arab
seringkali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang ingin
mereka tahu khususnya perkara yang berhubung sejarah lama.
Malah,
pada zaman Nabi SAW, sebahagian sahabat baginda Nabi seperti Abu Hurairah RA
dan Ibnu Abbas RA, pernah bertanya kepada ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam
tentang beberapa perincian cerita terdahulu tetapi pertanyaan tersebut adalah
terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidam termasuk persoalan yang berkaitan
dengan akidah. Perkembangan kisah Israiliyyat ini terus melebarkan sayapnya
ketika pada zaman Tabi'iin apabila aktiviti periwayatan kisah Israiliyyat ini
menjadi lebih aktif disebabkan oleh kecenderungan masyarakat suka mendengar cerita-cerita
yang aneh.
Bertambah
aktif lagi, pada zaman seterusnya datanglah golongan Tabi' tabii'in,
periwayatan kisah Israiliyyat menjadi lebih berkembang luas dengan munculnya
golongan "al-Qussas" iaitu gelaran kepada mereka yang menjadi
penyampai-penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab. Kesannya, menurut Imam
Ibnu Khaldun dalam kitabnya, al-Mukaddimah, timbunan riwayat inilah yang
akhirnya mewarnai sebahagian tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan
sahaja kepada kitab-kitab Tafsir bil Ma'thur, (tafsir dengan ayat al-Quran dan
Hadith), bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir bil Ra'yi (tafsir dengan
pendapat dan ijtihad) dengan kadar yang berbeza-beza.
Secara
umumnya, kisah Israiliyyat seringkali dirujuk sebagai bahan yang bersifat
negatif, tidak sahih atau sukar untuk diterima akan kesahihannya. Tanggapan ini
sebenarnya tidaklah tepat secara mutlak bagi menggambarkan pendirian Islam
terhadapnya kerana kisah Israiliyyat tidaklah datang dengan satu jenis sahaja
malah sekurang-kurangnya ia dibahagikan kepada tiga bahagian. Seperti yang
dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Muqaddimah fi
Usul al-Tafsir, beliau membahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, kisah
Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada dalam sumber Islam, al-Quran dan
al-Sunnah. Kedua, kisah Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan
al-Sunnah. Ketiga, kisah Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya.
Berkenaan
hukum meriwayatkan kisah Israiliyyat, para ulama berbeza pandangan dengan
terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, tidak harus meriwayatkannya.
Mereka berhujah dengan beberapa dalil antaranya dalam surah al-Maidah ayat 13,
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan
dikalangan puak Yahudi itu ada golongan yang suka mendengar berita-berita
bohong, dan suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang tidak hadie di
majlismu wahai Muhammad, mereka mengubah perkataan-perkataan (Taurat) dari
tempat-tempatnya"
Hujah
yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA
katanya : Ahli kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa Ibrani, lalu mereka
menghuraikannya kepada orang-orang Islam dalam bahasa Arab. Berkenaan hal
tersebut, Nabi SAW bersabda :
"Janganlah
kamu mempercayai ahli kitab dan jangan pula mendustai mereka, Katakanlah ! Kami
beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturun kepada kami.."
Bagi
pandangan kedua, mereka berpandangan harus bagi meriwayatkan kisah Israiliyyat.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 94, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"Dan
jika kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan
kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum
kamu"
Dalil
yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Sampaikanlah
daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Isra'il, tiada
salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka
hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka"
Demikianlah
perbezaan pandangan dikalangan para ulama berkenaan hukum meriwayatkan kisah
Israiliyyat. Meskipun kedua-dua pandangan ini mempunyai hujah dan alasan yang
sama kuat, kesimpulan mudah yang boleh kita jadikan sebagai panduan adalah
dengan memahami bahawa sebahagian kisah Israiliyyat, selari dengan apa yang
disebutkan dalam al-Quran dan Sunnah. Maka kisah seperti ini tidaklah menjadi
masalah bagi kita meriwayatkannya. Namun begitu, ada juga sebahagiannya
bercanggah dan menyanggahi maksud dan fakta al-Quran dan Sunnah, perkara ini
wajib ditolak. Oleh itu, sebagai umat yang bertanggungjawab, kita seharusnya
lebih teliti dan cermat dalam berkongsikan sesuatu kisah atau cerita agar tidak
termasuk dalam golongan tukang cerita yang kerjanya bohong dan berdusta. Semoga
Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan