Ajaran Islam yang ditegakkan
oleh Nabi Muhammad SAW untuk kesejahteraan sekalian alam. Sejarah telah
membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan baginda SAW atau lebih
dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai
kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan. Sistem politik, ekonomi
dan sosial masyarakat didapati tidak berfungsi dengan baik. Golongan lemah
sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa.
Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana sini. Anak-anak
dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan
diperalatkan. Apabila tertegaknya Islam, kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan,
keharmonian dan keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan. Persaudaraan
dapat dibina, wanita-wanita telah diberikan kedudukan dan golongan lemah juga
telah terbela. Misi inilah yang telah disebarkan oleh junjungan Nabi SAW semasa
menyampaikan misi dakwah kepada Herkules Maharaja Rom sepertimana yang
terkandung di dalam suratnya yang bermaksud terimalah Islam nescaya kamu selamat
dan sejahtera.
Islam adalah Agama
berteraskan konsep penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT berpandukan
ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dasar
utama yang diperjuangkan oleh Islam ialah mewujudkan kedamaian dan
kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan
bukanlah dari ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa
makna penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekalian alam. Perkataan
Islam berasal dari Bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat,
sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah SWT,
berbeza dengan agama-agama yang lain seperti Kristian, Yahudi dan Budha yang
meruju’ kepada individu, kaum atau pengasas ajaran tersebut. Sedangkan Agama
Islam adalah Agama yang meruju’ kepada nama yang diberikan oleh Allah SWT. Al-Quran
menjelaskan kepada kita bahawa para rasul dan Islam yang diperjuangkan tidak
pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh-musuhnya. Kitab-kitab suci
termasuk Al-Quran diingkari serta diperburukkan dengan pelbagai label.
Demikian juga dengan para
rasul-Nya yang di fitnah dengan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang
tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagainya. Fitnah dan pembohongan
jahat sekarang ini telah dilakukan pula oleh seorang ahli Parlimen Belanda
melalui filem ciptaannya “FITNA” yang memutarbelitkan beberapa ayat al-Quran
yang didakwa Islam menganjur keganasan.
Filem tersebut yang telah diedarkan ke seluruh dunia tidak lama dahulu
benar-benar fitnah dan propaganda jahat untuk memperburuk-burukkan Islam dan
memporak-perandakan ummah. Kita menyokong penuh bantahan dan tindakan memulau
barangan negara Belanda oleh negara-negara Islam di seluruh dunia.
Maka dengan secara tegas
seluruh pemimpin Islam sedunia menyatakan bantahan terhadap jenayah dan
kebiadaban ahli Parlimen Belanda tersebut, dengan menyeru seluruh umat Islam
memulau semua barangan dan perkhidmatan negara Belanda. Menerusi
saluran undang-undang, umat Islam di negara ini akan terus membantah dan
bertindak terhadap mana-mana individu dan pertubuhan lain yang sengaja
memfitnah dan memburukburukkan agama Islam yang amat mulia ini. Adalah satu
hakikat bahawa perpecahan ummah akan diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam
untuk melemahkan Islam dan ummah. Sesungguhnya munculnya beberapa fitnah dan
serangan terhadap Islam mutakhir ini adalah kerana runtuhnya perpaduan ummah.
Oleh kerana itulah Allah SWT melarang keras terhadap segala elemen perpecahan. Justeru
itu, marilah kita semua pihak di negara kita tanpa mengira fahaman, agar
bersatu padu atas satu matlamat perjuangan, iaitu untuk memelihara agama dan
negara dari dicerobohi oleh musuh dari dalam dan luar negara.