Sejak akhir- akhir ini, bencana
alam sering berlaku di dunia ini termasuk yang menimpa di negara kita Malaysia.
Bencana alam merupakan sebahagian daripada sunnah alam atau sunnah Allah yang
menciptakannya. Ia dijadikan sebagai pengimbang kepada kehidupan dan
kemusnahan. Hakikat ini diiyakan oleh teori kehidupan dan kemusnahan. Jika
dilihat dari segi luarannya, ramai yang beranggapan tragedi keruntuhan kren, tanah runtuh,
gempa bumi, jerebu dan taufan merupakan malapetaka yang tidak lain dan tidak
bukan hanya mengundang kemusnahan, kerugian dan kehilangan nyawa.
Namun sebagai seorang mukmin yang
dianugerahkan akal, kita harus menganalisisnya secara logik dan rasional
berlunaskan ajaran Islam dan berpaksikan keimanan kepada Allah. Persoalan yang
sering dilontarkan ialah mengapakah Allah seringkali menimpakan musibah kepada
orang Islam? Jika dalam konteks Tsunami di Acheh, sebuah wilayah serambi Mekah,
atau gempa bumi di Pakistan dan Kashmir, apakah kerana dosa umat Islam, atau
kenapa? Apakah mesej yang disampaikan oleh Allah? Apakah penduduk di negara
Islam lebih berdosa daripada tempat lain atau adakah ini kejadian rambang?
Hanya Allah yang Maha Mengetahui
hikmah sebenar di sebalik malapetaka tersebut. Fenomena alam yang telah terjadi
boleh ditafsirkan dengan pentafsiran yang banyak. Antaranya ialah merupakan
fenomena biasa yang Allah timpakan kepada umat manusia sama ada orang Islam
atau bukan Islam yang merupakan kemahuan mutlak Allah. Dalam konteks ini, kita
harus melihat bencana alam sebagai satu kekuasaan dan keagungan Allah yang
hampir sama dengan konsep hidup dan mati. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai
cara Allah menakutkan hambaNya yang bergelumang dengan dosa dan maksiat.
Tidak hairanlah jika malapetaka
yang berlaku juga melanda negara yang bukan Islam. Sebagai orang Islam, kita
menganggap ia sebagai musibah yang menguji tahap keimanan kita dan sejauh mana
kita sabar menghadapi bencana seumpama itu. Umat Islam hari ini, rata- rata
berada dalam gelombang kelalaian yang melampaui, maka dengan cara menurunkan
bencana ini, Allah akan menghidupkan kembali perasaan takut kepada Allah dan
menjalinkan ukhuwah sesama Islam. Justeru, kita dapati bagaimana datangnya
derma dan sumbangan yang melimpah ruah dari segenap lapisan masyarakat seantero
dunia.
Malapetaka yang melanda juga kita
boleh tafsirkan sebagai sebab dan akibat daripada perbuatan dosa dan
maksiat yang dilakukan oleh orang Islam mahupun bukan Islam. Limpahan nikmat
yang dicurahkan oleh Allah terhadap hamba Nya tidak terhitung banyaknya. Begitu
juga dengan bencana yang berlaku bukanlah kebencian Allah semata- mata bahkan
sebaliknya mengandungi rahsia dan rahmat yang tersembunyi. Kitalah yang
sepatutnya bersangka baik terhadap Allah dan akur mengiktiraf kuasa Qada dan
takdir Ilahi. Mengingkari hakikat ini hanyalah akan membuah penderitaan jiwa
yang tidak berkesudahan.
Oleh itu, celikkanlah mata hati
untuk kita membongkar sebab musabab yang mencetuskan bencana tersebut. Mungkin
ramai yang beranggapan bahawa malapetaka yang melanda adalah satu kemusnahan
harta dan jiwa. Apapun, itu semua adalah milik Allah. Menyorot kembali setiap
bencana yang berlaku, natijahnya banyak mayat yang bergelimpangan, bangunan dan
binaan semua disapu bersih tanpa belas kasihan seolah-olah menjadi padang jarak
padang tekukur. Hanya dengan taufan beberapa jam telah dapat menukarkan
kebanggaan manusia menjadi zaman batu.
Keagungan dan kecanggihan
teknologi Amerika Syarikat hanyalah propaganda semata- mata kerana kuasa Allah
mengatasi segalanya. Ramai yang kagum dengan negara tersebut tetapi bencana
taufan yangmelanda baru-baru ini membuka pekung Amerika Syarikat yang tidak
mampu bertindak dengan lebih cepat menangani hal tersebut. Walau setinggi
manapun kecanggihan sains dan teknologi, ilmu manusia yang ibarat hanya setitis
berbanding dengan lautan tidak mampu menandingi kuasa yang Maha Hebat. Oleh
itu, pengajarannya ialah bukan kita meninggalkan sains dan teknologi kerana ia
membawa kita menerokai ilmu Allah tetapi janganlah kita terlalu taksub dengan kecanggihan
sains teknologi sehingga kita melupakan terdapat Zat yang Maha Agung.
Kita sebagai umat Islam mesti
mempercayai akan tibanya Hari Kiamat yang membawa kepada kehancuran. Bencana
alam yang sering berlaku juga menandakan bahawa dunia ini telah pun lanjut usia
dan berada di ambang kemusnahan. Biar apa pun tafsiran di sebalik bencana alam,
namun dalam Islam ia adalah nyata sebagai satu bala yang menimpa manusia
sebagai ujian terhadap tahap keimanan dan kesabaran atau sebagai kifarat dosa
yang mengangkat darjat para Mukmin. Namun, yang paling utama, hikmahnya ialah
bahawa ia adalah amaran Allah tentang bagaimana kejahatan manusia sudah
mencecah tahap kemuncaknya. Kemarahan ini dihamburkan oleh Allah menerusi
bencana alam yang menimpa alam ini. Segala tafsiran saintifik berhubung kejadian
ini tidaklah bertentangan kerana Allah telah pun menyediakan fenomena alam
sesuai dengan kehendakNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan