Dari sudut hati kecil, saya mengharapkan
semua rakyat malaysia saling hormat menghormati waima berbeza fahaman, aliran,
mazhab dan agama. Keretakan hubungan harmoni yang bakal berlaku, diharapkan ia
dapat diselesaikan, bukan dibiarkan ia berlaku seterusnya membawa kepada
keruntuhan. Lebih parah lagi, keretakan itu dihalalkan atas nama agama,
sedangkan sifat agama itu adalah kedamaian, bukan perbalahan. Namun, keretakan
itu kelihatan makin menjadi-jadi. Contohnya, apabila diberitakan tentang
seorang lelaki yang beragama hindu yang agak tidak bersetuju dengan tindakan
sebuah sekolah yang melakukan ibadat sembelihan korban yang disyariatkan dalam
Islam secara terbuka. Agak sedih juga dengan komen dari lelaki yang beragama
hindu itu, kerana keretakan budaya saling hormat menghormati antara satu sama
lain semakin bertunas.
Mungkin hari ini beliau
mempertikaikan orang Islam menyembelih korban di tempat terbuka, di masa akan
datang, tidak hairan akan ada pula orang Islam yang mempertikaikan orang hindu
menyambut Thaipusam di Batu Caves secara terbuka. Jika keadaan ini berlaku,
wajah toleransi dan sikap hormat menghormati sesama rakyat Malaysia dalam
mengamalkan agama akan retak. Namun begitu, apabila difikirkan secara mendalam,
semata-mata menganggap lelaki hindu itu
sahaja salah dengan alasan beliau tidak hormati hak Muslim beragama juga satu
kesilapan. Ini kerana, banyak perkara provokasi atas nama agama Islam yang
dilakukan oleh sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat
Malaysia yang tidak beragama Islam.
Mereka bukan sekadar tidak
menghormati, malahan sanggup melakukan provokasi, seperti demonstrasi
sebilangan orang-orang Islam di Pulau Pinang ekoran ucapan Aidul Adha oleh
seorang pemimpin politik yang tidak beragama Islam dengan tanggapan bahawa ahli
politik itu hendak melakukan projek kristianisasi. Bukti yang mereka kemukakan
adalah huruf “t” pada tulisan kain rentang ucapan tersebut yang dianggap
sebagai salib. Tindakan mereka ini pada hakikatnya bukan mempamerkan imej yang
baik kepada Islam, tetapi semakin lahir perasaan kebencian sebilangan
non-muslim terhadap Islam. Kebencian mereka, bukan kerana mereka melihat
hakikat ajaran Islam, tetapi kebodohan sebilangan Muslim yang menggunakan agama
untuk provokasi dangkal. Masyarakat kita gemar mempolitikkan isu agama.
Di Malaysia, banyak isu-isu
melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham
agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia
tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik.
Sebelum ini, di Malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan
Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub.
Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang sahih
diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak
beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan,
disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya.
Begitu juga, di Malaysia
pernah dibisingkan dengan isu larangan
mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di
salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan
hidayah kepada Ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari
sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana,
dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada
Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. Jika kita perhatikan balik,
semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana
yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di
Malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana
yang tidak harmoni.
Di Malaysia, sudut pandang
Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad,
pasti kita akan nampak perbezaan yang amat ketara. Seharusnya, Islam itu perlu
dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan
atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik,
sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan
yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama
Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap
sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan