Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa
mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh
setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui
kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah
menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak.Tiada
siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia
menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah
ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.
Maka hakikat ini mestilah difahami supaya
kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau
keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita
menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.
Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh
dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan
kesalahan itu. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah
menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya.
Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk
semua. Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak
yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Tujuan
Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu
sama lain.
Firman Allah::
Wahai manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil
merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik
keturunan. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu
bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah
ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa
kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini.
Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita
dunia dan akhirat.
Setelah kita faham dan beriman dengan
asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka
tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan
bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum
yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita
juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh
kita membantu keluarga di sudut harta. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong
menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat
tidak menzalimi puak yang lain.
Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam
peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan
apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam
satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada
mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah
namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika
ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan
kaum. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada
membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau
mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang
lain.
Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip
perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti
yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu
al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga
membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan
kaum kerabat atau bangsa. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya
termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip
Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa
jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip
persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka
ia diizinkan, bahkan terpuji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan