Haji bukan ibadah yang menjadikan
seseorang itu merasa malu jika tidak menunaikannya. Ia juga bukan ibadah
pelancongan untuk menunjukkan diri ke Baitullah, sebab dengan solatpun boleh
mengarahkan diri mengadap ka'abah. Pada hakikatnya ibadah haji mempunyai hikmah
dan falsafahnya yang tersendiri yang cukup dalam dan sangat bermakna dalam
kehidupan umat Islam.Ibadah Haji merupakan ibadah yang mengarahkan umat Islam
kepada sesuatu matlamat iaitu keredaan Allah; ibadah yang menuntut keikhlasan
dan pengorbanan seuntuhnya, baik dari segi raga mahupun harta bendanya; ibadah
yang menuntut kesatuan umat, bukan perpecahan, menyatukan diri dengan umat
Islam di seluruh dunia;
Haji juga ibadah yang menuntut
saling berinteraksi dalam usaha mendekatkan diri dalam kesatuan jama'ah muslimin
yang teguh. Nikmat kesatuan tujuan, matlamat dan ukhuwah ini hanya boleh
dirasai oleh mereka yang yakin dan ikhlas dalam mengerjakan ibadah haji, dan
faham dengan jelas konsep peribadatan dalam Islam. Umat Islam tidak hanya
semata-mata digalakkan untuk mengejar kebahagian di akhirat dengan bertawakal
tanpa usaha, tetapi ia juga wajib berusaha untuk mencari kebahgiaan di dunia
yang menjamin kebahgiaan di akhirat. Oleh sebab itu, ibadah haji diwajibkan ke
atas mereka yang mampu. Ibadah haji memberi makna orang Islam wajib berusaha
mencari kebahgiaan dunia dan akhirat.
Mereka yang ingin menyempurnakan
agama dengan menunaikan haji maka ia wajib mencari harta bagi membiayai
perjalanan ke tanah suci Mekah. Usaha yang paling minima ialah sehingga ia
mempunyai lebihan wang setelah digunakan untuk keperluan diri, keluarga dan
tanggungjawabnya dan juga setelah menunaikan zakat. Ini bermakna ibadah haji
mendorong umat Islam berusaha lebih kuat bagi menjamin kebahgiaan hidup dan
keselesaan beribadah dengan cara yang lebih sempurna. Iman bukan semata
pengakuan lidah tetapi juga disertai dengan amal. Ibadah haji merupakan ujian,
perngorbanan dan keikhlasan seorang muslim dalam mengukur keimanannya.
Setelah imannya teruji dengan
baik dengan melakukan solat dan sawm, pengorbanan harta seperti berzakat dan
bersedekah atau infaq fisabilillah maka datanglah ibadah haji yang mengandungi
kedua-dua sifat pengorbanan, yang menuntut umat islam mengorbankan jiwa raga
atau fizikal untuk berusaha mencari harta dan pengorbanan wang serta seluruh
kepentingannya yang lain untuk menunaikan haji. Ujian meninggalkan segala yang
berbentuk keduniaan merupakan sesuatu perkara yang menguji keikhlasan seseorang
dalam mengerjakan ibadah haji. Hasil keikhlasannya itu akan dapat dinikmati di dunia
dengan rasa puas apabila pemergiannya itu dapat merubah sikap dan amalannya ke
suatu tahap yang lebih baik dan mantap dalam kehidupannya. Itulah yang disebut
mendapat haji mabrur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan