Semakin banyak kenyataan terbuka
dari ahli agama yang berpaksikan politik seperti ini. Sewenang-wenang mengatakan pihak lain syirik, sesat, kafir, bodoh
dan sebagainya. Berpeluh masyarakat nak menilai mana betul mana salah.
Akhirnya masing-masing sekadar memihak kepada ustaz mana atau parti mana yang
mereka sokong. Bukan mengikut fakta fiqh atau dalil yang berasas. Orang Islam
tidak habis-habis sibuk bergaduh tentang perkara ranting atau ritual. Sibuk
mempertikai bab ritual siapa yang lebih bagus. Dengan budaya keterlaluan
menyokong dan menyembah susuk peribadi tokoh yang menjadi idola, maka para
penyokong semakin bersemangat untuk saling bermusuhan.
Fraksi fahaman agama ini sudah
sampai ke tahap sanggup bukan sahaja memaki secara berdepan, malah sanggup
berbunuhan. Musuh Islam pula sibuk mengkaji strategi dari alQuran dan terus
'attack' soal aktual untuk memusnahkannya melalui gerak saraf dari dalam.
Sampaikan hari ini seluruh umat Islam masih tidak perasan akan kepentingan dan
strategi pokok itu lalu mengabaikan aktual Islam itu sendiri. Lebih malang lagi
apabila kita tidak perasan pun yang kita ini hanya satu watak yang 'extra
cikai' dalam plot drama yang diarahkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa
bekerja keras menghancurkan Islam. Masing-masing saling membangga diri, merasa
lebih Islam dari yang lain disebabkan ilmu ritual mereka lebih hebat berbanding
yang lain.
Masalah akan selesai dengan
muzakarah dan pertemuan yang baik. Cubalah manfaatkan segala kuasa pendengaran
untuk capai solusi yang baik. Jika harus membenci, jangan membenci dengan
ketara, sisipkan ia sedikit sabar itu. Benci itu berpada pada, bukan untuk
dirinya. Menghukum mereka bagai kita pula yang tak berdosa. Itu bukan kuasa
hamba. Tangisilah diri apabila kita kurang kuasa untuk memaafkan mereka. Hanya
terlampau asyik pada marah akan buat kita terus leka. Ego akan melenyap bila benci ditutup perlahan-lahan. Pendam rasamu,
rendam katamu. Dunia teori sudah tamat bila masalah terjumpa di hadapan.
Kesabaran perlu diiringi dengan kebijaksanaan.
Hidup bukan mudah meng'kafir'kan
dan me'nerakakan' orang. Satu perbuatan melampau bila ambil tugas sebagai
tuhan! Beralah pada yang boleh. Bertegas pada yang tuntas. Akhlak muslim bukan seharian hidupnya menyumpah seranah. Oh dakwah.
Akhlak dan doa di mana pula? Terdapat perbezaan yang ketara antara tahu
dan sedar. Tahu dari akal dan sedar dari hati. Misal yang mudah - kebanyakan
manusia tahu dia hamba Allah, tetapi tak sedar dia hamba Allah. Tahu tidak
memadai, kena ada kesedaran baru menjadi. Hidupkan Islam dengan amali bukan
sekadar teori.