Dunia remaja memang dunia yang sukar difahami.
Dibandingkan dengan tahap perkembangan lain, remaja memiliki karektor yang unik
dan sensitif. Tentunya dalam batasan usia antara 10-24 tahun, remaja mengalami
proses peralihan dari kanak-kanak menuju alam dewasa. Perubahan hormon yang
terjadi memberikan pengaruh yang besar terhadap perubahan fizikal,
emosi serta sosial yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh persekitarannya.
Salah satu karektor remaja yang selalu menjadi masalah adalah proses pencarian
identiti diri. Remaja sentiasa dituntut oleh masyarakat untuk dapat menjelaskan
siapakah diri mereka, apakah peranan dan makna dirinya pada masyarakat.
Sedangkan dalam masa yang sama mereka memiliki keinginan untuk berbeza daripada
orang lain, sehingga akibat daripada itu mereka berusaha menampilkan diri
mereka agar menarik perhatian masyarakat. Kebingungan yang dialami oleh remaja
dalam menentukan siapakah diri mereka inilah sebenarnya merupakan punca
terjadinya penyimpangan dalam kehidupan remaja.
Sebenarnya terdapat banyak ciri yang
mengidentitikan seseorang atau sekelompok remaja itu sebagai ‘gila-gila
remaja’. Segolongan daripada mereka berseluar ketat, hidung dan telinga
bertindik (termasuk lelaki), tato penuh dilengan, model rambut yang mohawk
serta bergaya ala punk. Manakala sebahagian lain pula bergaya hip-hop, free style bahkan retro dengan
potongan rambut pendek seperti lelaki. Mereka ini mahu supaya masyarakat
melihat mereka sebagai remaja padahal hal itu belum tentu sesuai dengan jati
diri mereka. Kesilapan dalam menentukan langkah memberi kesan yang pelbagai
pada diri remaja hingga ada yang rela mengorbankan tubuhnya untuk diracuni oleh
berbagai jenis dadah termasuk pil estacy dan sebagainya. Awalnya hanya
sedikit-sedikit tetapi akhirnya terlebih dos. Namun itulah kata mereka bahawa
“gaya hidup seperti itu adalah gaya hidup remaja masa kini. Jangan sampai
ketinggalan zaman!”
Dengan itu potongan baju dan ‘style’ rambut
disesuaikan dengan mode terkini, bahkan gaya hidup selebriti ditiru. Free sex mewarnai kehidupan
mereka, check in hotel,
chalet atau mana-mana tempat yang dirasakan selesa melakukan projek. Demikianlah
kenyataannya kehidupan anak-anak remaja zaman sekarang. Semuanya adalah
refleksi kehidupan remaja yang mengaku mempunyai kehidupan moden. "It's my
life". Realiti yang jelas pada hari ini, isu golongan remaja ternyata
telah mendapat perhatian serius daripada masyarakat dunia dan secara
keseluruhannya kita semua sudah maklum akan kecelaruan hidup mereka yang
sebenarnya mahukan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka pertontonkan kepada
masyarakat bukanlah dalam ertikata kebebasan yang positif dan memberi manfaat
untuk semua atau pun diri mereka sendiri malah kebebasan itu merosakkan maruah
diri, bangsa, agama dan negara. Mereka sebenarnya terpenjara oleh hawa nafsu
yang dikawal ketat oleh warder-warder penjara berupa syaitan yang sentiasa
menjadi pujaan mereka.
Maka bagaimana dengan kesudahan remaja kita sekarang
ini? Jika diperhatikan, hakikatnya remaja yang ada di sekitar kita, keadaannya
masih jauh dari apa yang diharapkan. Hanya sebilangan kecil yang boleh
diletakkan harapan sedangkan sebahagian besarnya pula amat membimbangkan.
Kedapatannya mereka gagal berfikiran rasional sehingga terjebak dan ketagih
dengan pelbagai trend yang langsung tidak bermanfaat. Para remaja kita lemas dengan
kesenangan hidup dan tidak begitu gemar menghadapi cabaran. Hanya dengan
sedikit cubaan hidup yang melanda, mereka terus hilang pedoman, jiwa rasa
tertekan lantas terus memberontak. Tidak sedikit daripada para remaja seperti
ini hilang arah, terus lari dari rumah, membunuh diri dan sebagainya. Mereka
tidak biasa menghadapi situasi gawat seperti peperangan dan lain-lain. Oleh
sebab itu kehidupan mereka sentiasa inginkan keseronokan dan dilimpahi
kemewahan. Tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada mengikut arus
peredaran dunia semasa terutama sekali yang datang dari benua barat kerana
itulah yang dianggap paling sensasi dan bergaya.
Memang tidak dinafikan bahawa golongan remaja juga
sebenarnya berhak memilih cara hidup mereka sendiri terutama dalam mencari erti
kebebasan. Namun dalam hal ini, setiap kegiatan remaja mestilah diawasi biar
sesuai dengan situasi dan keadaan masyarakat setempat yang mempunyai adat dan
budaya. Kesimpulannya para remaja sekarang telah lupa siapakah diri
mereka? Mereka lupa bahawa mereka orang Islam! Mereka lupa bahawa mereka ada
agama! Mereka lupa bahawa mereka adalah generasi pelapis pemimpin akan datang.
Jika mereka rosak maka rosaklah generasi seterusnya. Remaja kita lupa
bersyukur! Akibat lupa dan alpa inilah mereka memilih gaya hidup bebas seperti
orang tidak beragama padahal setiap agama itu mengarahkan penganutnya ke arah
kebaikan. Cubalah kita fikirkan adakah kita harus membiarkan rakan-rakan remaja
kita seperti ini terus hanyut begitu sahaja. Atau dengan perkataan lain kita
biarkan apa jua pilihan mereka dan apa pun yang dilakukan oleh mereka, kerana
baik buruknya akan mereka tanggung sendiri. Sebenarnya dalam keadaan ini kita
juga menanggung dosa sekalipun kita tidak terlibat melakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan