Rabu, 7 Oktober 2015

HIJRAH MENUJU ALAF BARU

Awal Muharram sekali lagi menyingkap tirai dan mengimbau perjuangan agung Rasulullah s.a.w. menghadapi kebejatan jahiliah dan kemelut permasalahan yang tidak berkesudahan. Ia sekaligus membuka satu lembaran baru dalam sejarah kemerdekaan sejati bagi umat Islam daripada belenggu jahiliah dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini juga bermakna bahawa strategi dakwah yang teliti, penuh hikmah dan berhati-hati serta berasaskan perancangan yang rapi yang diterajui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika itu, telah berjaya memastikan Islam terus berkembang ke seluruh pelosok dunia sehingga hari Kiamat. Sesungguhnya persiapan rapi yang disempurnakan sebelum melancarkan slogan hijrah agung itu merupakan tindakan perdana yang penuh berwawasan, efisien dan berpandangan jauh. 

Setelah 1437 tahun lamanya peristiwa hijrah hakiki berlalu, kini umat islam hidup di dalam pelbagai cubaan dan dugaan yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi di saat dunia sedang menghadapi ledakan kemajuan yang tidak berhenti-henti. Paling mencabar, dakwah Islamiah hari ini memasuki era siber serta memerlukan kepakaran di dalam bidang sains komputer dan multimedia yang tinggi. Dunia tanpa sempadan, konsep langit terbuka, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik, munculnya penyakit-penyakit yang kronik, budaya-budaya Barat yang semakin banyak didedahkan kepada masyarakat dunia, penerokaan pelbagai jenis disiplin ilmu dan sebagainya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang mesti disahut oleh umat Islam hari ini. Umat Islam yang mengambil sikap tunggu dan lihat akan tertinggal jauh di belakang. 



Akhirnya mereka akan menjadi pengkagum kehebatan yang dicapai oleh orang lain. Dalam masa yang sama jika umat Islam ingin turut sama mengejar kehebatan tersebut, maka mereka perlulah mempersiapkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mestilah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja yang banyak demi kemajuan hidup mereka sendiri. Namun begitu, persoalannya berapa keratkah di kalangan kita yang sanggup berusaha bermati-matian untuk tujuan tersebut? Sebaliknya masih ramai lagi yang hanya duduk menghabiskan masa tanpa berusaha menuntut ilmu pada tahap yang sewajarnya. Jika direnung betapa hebatnya persiapan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersedia sebelum menjayakan hijrah dari Mekah ke Madinah suatu masa dahulu, maka sudah tentu kita akan menitiskan air mata mengenangkan hebatnya pengorbanan yang telah dilakukan. 

Kita bersyukur kerana hasil titik peluh, darah dan air mata merekalah, maka kita berpeluang untuk menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini. Barangkali tidak pernah terdetik di lubuk hati para sahabat r.a. ketika itu bahawa seruan dakwah yang mereka usahakan di celah-celah kezaliman kuffar Quraisy di tengah padang pasir dahulu kala, kini menjadi bahan perbincangan hebat antara ulama’ dengan penduduk dunia melalui internet. Bersama kecanggihan ini juga ayat-ayat al-Quran yang mereka hafaz di dalam dada dan menjadi amalan hidup dahulu, kini banyak yang hanya menjadi hiasan di dinding rumah-rumah umat Islam. Masjid yang menjadi tempat penyebaran ilmu dan bersyura dahulu, kini hanya menjadi bahan kebanggaan dan kemegahan binaan dan ukiran indah tetapi sepi daripada jemaah yang keluar masuk untuk beribadat dan beri’tikaf di dalamnya. 



Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat r.a. sebelum bermulanya misi hijrah ialah memberi kekuatan rohani dan jasmani. Perkara asas yang ditekankan oleh baginda ialah persoalan akidah. Sesungguhnya peristiwa hijrah yang dicatatkan sebagai proses terpenting dalam pembentukan sesebuah negara Islam pertama di Madinah, tidak dicapai dengan cakap-cakap mulut sahaja. Ia bukan hanya slogan retorik semata-mata. Ia juga bukan hasil daripada pemerasan kuasa ke atas kaum yang lemah, penipuan, taktik kotor, menindas sesuatu kumpulan atau kekerasan yang tidak berhati perut. Malah ia sebenarnya bertitik tolak berkat daripada kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang lahir dari hati yang murni dan pengorbanan para pencinta keadilan yang terdiri daripada para sahabat r.a. 

Umat Islam hari ini wajib mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju ke alaf baru. Dunia tidak akan menunggu sesuatu umat untuk sama-sama mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak disuruh duduk menunggu sehingga dijemput kematian lalu kita keluar daripada alam ini tanpa melakukan apa-apa perubahan. Sebaliknya kita disuruh dan diwajibkan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan di dunia sehingga ajal tiba. Cuma satu, kita dilarang daripada mengejar dunia sampai melupakan akhirat. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan