Sabtu, 6 Februari 2016

KECELARUAN IDENTITI REMAJA KINI

Isu identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan perilakunya tetapi dikaitkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan ada kaitan dengan potensi hari depan. Lebih jauh daripada itu, identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepimpinan dan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Ia menentukan sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat.  Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti sebahagian remaja kini. Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu-isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat. Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi yang menghimpit, sebahagian remaja terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri, terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik yang mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina-ilmu dan bina-negara dan lebih ekstrem lagi ialah terjebak dengan kegiatan black-metal yang menyesatkan.


Statistik remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan dan jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala AIDS/HIV semakin menakutkan. Apakah imej yang sedang melanda remaja kini akibat daripada ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan? Adakah mereka menjadi mangsa atau akibat daripada kealpaan kita tentang peranan mendidik, memberikan idea-idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara? Adakah kita gagal menterjemahkannya secara bijaksana dan strategik kepada mereka? Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan dalam konteks perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan. Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola dan diva yang bukan fitrah sifatnya, mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara. 





Amat tidak adil jika tanggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dalam masalah kecelaruan ini. Tetapi petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk kita membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas beberapa alasan. Antaranya ialah gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan. Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah. Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal-haram pelanggaran salah-benar dan maaruf-mungkar. Remaja hari ini dilihat seperti memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).


Banyak sebab mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah zaman yang amat kritikal dalam hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk. Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini antaranya kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan. Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak-anak. Ramai anak-anak yang mengalami keciciran sejak pada awal umur lagi. Akibatnya wujud lompang dalam hati dan minda anak-anak dan akhirnya anak-anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitar yang terdapat. 





Selain itu, sekolah banyak berperanan menyediakan anak-anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku. Berlakulah keciciran kedua di kalangan anak-anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam ialah dari kelahiran hari pertama hinggalah ke tahap akil baligh. Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik di tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula. Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja. Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Namun, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan yang ketara apa yang dididik di sekolah dan di rumah dengan apa yang ditampilkan oleh media cetak dan elektronik. Akhirnya konflik wujud di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.



Para remaja harus diberi bimbingan dan pedoman sejak awal umur lagi. Keterampilan keibubapaan amat dituntut dan kasih sayang, belaian dan tunjuk ajar menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kecelaruan akan berlaku sekiranya persekitaran negatif membentuk anak-anak terutama ketika peringkat pertumbuhan akliah, emosi, rohaniah dan jasmani sedang subur. Perkara asas yang harus disuburkan di kalangan remaja ialah jalinan komunikasi yang tinggi antara remaja dengan ibu bapa. Ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik, menjelaskan dengan sabar dan pendidik yang taat. Para remaja pula harus memiliki kesediaan dan keterbukaan untuk mendengar, berbincang, bertukar-tukar pandangan, bertanya dan cuba memahami bahawa ibu bapa atau guru adalah orang yang pernah melalui hidup seperti yang dilalui oleh remaja hari ini. Perbezaannya cuma zaman di mana ibu bapa dibesarkan dan zaman bagaimana remaja amat terdedah dengan pelbagai tarikan dan perkara-perkara yang merangsang nafsu-nafsi. 


Khamis, 4 Februari 2016

KEGAGALAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

Menuju tahun 2020,masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti  tiada penghujungnya. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam kalangan remaja kita terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan sebagainya. Namun demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi kekeluargaan. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak supaya mereka tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial. Kegagalan institusi kekeluargaan berpunca daripada kekurangan  ilmu tentang hidup berkeluarga dan pelbagai ilmu dalam perkahwinan. Kita sepatutnya mempersiapkan diri kita dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang terjadi dalam rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan berdiplomasi. Jika kita tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan faham yang berlaku akan menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya berlakulah penceraian. Hal ini menyebabkan anak-anak kita yang akan terkena tempias atas kekhilafan diri kita sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Anak-anak yang tertekan dengAn masalah penceraian tersebut akan mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri seperti melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kekurangan ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak.


Keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam diri remaja. 




Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan juga berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama. Hal ini demikian kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang bahagia. Institusi kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan goyah walaupun ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang tidak berpegang kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai melanda. Anak – anak yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka sukar menerima nasihat dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak sihat seperti merokok dan sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan.


Akhir sekali, keruntuhan institusi kekeluargaan berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini demikian kerana, dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan kelansungan hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pekerja kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk keluarga mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas untuk mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan sebagainya.  Pada usia remaja, mereka sering berasa iri hati apabila melihat rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak. Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. 




Untuk mengelakkan berlakunya kegagalan institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka. Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.

Rabu, 3 Februari 2016

SAMPAH DALAM MENCEMARKAN BAHASA

Melihat pada persekitaran kita, ternyata banyak "sampah" dan pencemaran dalam pertuturan dan bahasa yang digunakan. Masyarakat kita sudah tidak ada segan-silu mewujudkan istilah atau menggunakan bahasa yang begitu asing dari bahasa ibunda. Daya kreativiti yang ada disalah guna sehingga menghasilkan budaya berbahasa yang cacamerba sehingga kemudiannya merendahkan jati diri bangsa. Amat malang dan begitu ironi kerana ia diterima oleh banyak orang, terutama dalam kalangan anak muda.
Rupa-rupanya pencemaran bahasa yang berlaku bukanlah fenomena baharu dalam masyarakat kita, bukannya hanya mula berlaku pada era pascamodenisme mahupun modenisme. Tetapi, sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Barangkali disebabkan latar belakang Melaka sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat, maka begitu banyak bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan pada ketika itu. Dikatakan sekitar 84 buah bahasa digunakan. Apabila pelbagai bahasa "berkampung" di satu tempat, maka berlakulah percampuran bahasa semasa penduduk tempatan berkomunikasi sesama mereka atau dengan orang luar. Percampuran inilah yang kita lebih kenali sebagai bahasa rojak.
Isu bahasa rojak tidak pernah selesai malah fenomena yang berlaku ini menjadi semakin buruk. Penggunaan bahasa rojak berlaku secara berleluasa dan tanpa rasa bersalah, terutama oleh kalangan remaja. Bukan hanya menggunakan bahasa rojak, malahan juga rata-ratanya pada hari ini lebih gemar membuat singkatan pada perkataan dalam berhubung sesama mereka semasa menggunakan khidmat pesanan ringkas di telefon genggam.
Alasan mereka ia ringkas, mudah dan pada masa yang sama mesej masih dapat disampaikan dan difahami. Mereka tidak mempedulikan kesan buruk yang berlaku; yang boleh mengakibatkan mereka menjadi golongan "kurang upaya" dan tidak berkemampuan untuk menguasai dan menggunakan bahasa secara betul dalam urusan-urusan rasmi dan keadaan-keadaan yang memerlukan. Dan kerosakan bahasa ini bukan sahaja berlaku dalam kerja-kerja sekolah di peringkat rendah ataupun menengah, bahkan juga di peringkat universiti! Penggunaan bahasa Melayu di sektor awam juga dikatakan masih belum berada di tahap yang memberangsangkan.

Punca utama mengapa bahasa sendiri tidak dihormati adalah disebabkan lemahnya jati diri anak bangsa. Faktor-faktor seperti pengaruh media atau kesan globalisasi yang menawarkan pelbagai sampah dan pencemaran terhadap bahasa bukanlah faktor utama tetapi lebih sebagai pemangkin yang membesarkan lagi pencemaran yang berlaku.
Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat memang tidak dapat dihalang menjadi sebahagian daripada sumber yang memangkinkan lagi pencemaran yang berlaku, tetapi sebaliknya, jika kita mempunyai jati diri yang kukuh, apa-apa pun yang terjadi tidak akan menggugat kecintaan terhadap bahasa sendiri. Jika kita tidak menyambut bahasa-bahasa yang tercemar yang ditawarkan dan yang ada di sekeliling kita, maka pencemaran bahasa yang berlaku, tidak akan berkembang. Dan ia akan terhenti setakat di situ. Malahan, globalisasi atau ledakan teknologi maklumat sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara yang indah dan manis. Malah bahasa Melayu yang dikenali dengan intonasinya yang menarik, mampu untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman.
Rata-rata anak bangsa kita tidak berbangga dengan bahasa sendiri, apatah lagi untuk mendaulatkan bahasa ini kerana mereka beranggapan bahawa bahasa ini tidak punya nilai dagang, tidak ada nilai antarabangsa dan tidak mempunyai kekuatan untuk menakluki keampuhan sains dan teknologi. Begitu juga dalam bidang undang-undang, ia dilihat tidak mampu menguasai istilah-istilah yang diperlukan dalam bidang undang-undang.
Sedangkan pada kurun ke-7 menurut Prof. Dr Awang Sariyan, bahasa Melayu telah pun dijadikan sebagai bahasa perantara dalam pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama untuk kerajaan Sriwijaya yang luas dan sangat besar pada ketika itu.
Sehubungan itu juga, Van Linschotten, seorang pegawai dari Belanda yang bertugas di Indonesia di antara tahun 1586 hingga 1592 menilai bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi pada ketika itu. Ironinya, generasi muda pada hari ini sebaliknya tidak pandai untuk menghormati bahasa sendiri, apatah lagi mengangkatnya ke martabat yang lebih tinggi. Dan lebih malang kerana bahasa ini dipandang lekeh dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.
Begitu juga dengan rakaman yang dibuat oleh ahli sejarah Belanda, Francois Valentijn. Beliau menyatakan bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah. Menurut beliau, sesiapa yang datang ke alam Melayu, mahu tidak mahu perlu belajar bahasa Melayu dan sesiapa yang tidak pandai berbahasa Melayu, dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.
Pendek kata, jika kita memahami dari mana sebenarnya bahasa Melayu lahir dan datang, dan melalui bahasa inilah penduduk Nusantara membina tamadun bangsa, maka tidak timbul sebenarnya tentang di mana kedudukan bahasa Melayu berbanding bahasa-bahasa lain yang ada di dunia. Bahasa lain dilihat lebih gagah, mempunyai nilai dagang dan dipertuturkan di peringkat antarabangsa, adalah kerana penuturnya mempunyai semangat perjuangan yang tidak punya noktah untuk menjadikan diri mereka sebagai peneraju pelbagai bidang di peringkat dunia.
Bahasa Melayu sebenarnya gambaran kepada jati diri bangsa Malaysia. Itulah sebabnya disebut bahawa "Bahasa Jiwa Bangsa". Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat istimewa dan punya ciri-ciri yang tersendiri. Dan setiap bahasa datangnya dari Allah SWT melalui ilham yang disampaikan kepada hamba-Nya mengikut bahagian-bahagian tertentu di bumi. Jika tidak, masakan Nuruddin al-Raniri menggunakan bahasa Melayu sebagai medium dakwah dalam kalangan orang Melayu sekalipun beliau sendiri bukan orang Melayu, dengan menulis kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu.
Pada hari ini terdapat lebih 100 institusi di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu, ataupun setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Kerana keistimewaan yang dimiliki bahasa Melayu, ia menjadi antara bahasa yang popular untuk dipelajari. Malangnya, negara kita bukanlah tempat yang dapat membantu pelajar-pelajar asing yang hendak membuat latihan amali untuk mendalami bahasa serta budaya Melayu dan berhubungan dengan masyarakat tempatan. Sapaan, teguran ataupun soalan yang ditanyakan dengan menggunakan bahasa Melayu, rata-ratanya akan dibalas oleh orang tempatan dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Keadaan yang berlaku tentunya menyebabkan kekecewaan dan kehampaan kepada pelajar-pelajar asing terbabit. Ini mengakibatkan mereka beralih pilihan untuk membuat latihan amali dan biasanya alternatif yang paling dekat ialah negara jiran, Indonesia. Situasi ini bukan hanya merugikan pelajar terbabit, tetapi juga menjejaskan nama baik bangsa dan negara kita. Disebabkan kesilapan kita sendiri kerana culas untuk memartabatkan bahasa sendiri, kita kehilangan kredit serta pengiktirafan dari orang luar. Sekiranya kita terus enggan untuk mengakui kesilapan, membetulkan kesilapan dan membudayakan semula bahasa Melayu secara murni dan mengekalkan keasliannya, tidak hairan jika satu hari nanti, bahasa Melayu akan hanya menjadi sejarah dalam peradaban manusia di dunia.

Selasa, 2 Februari 2016

PERIGI MENCARI TIMBA

Wanita yang lambat berumah tangga sering dipandang negatif. Kemudian hati yang gundah itu pula terikat dengan peribahasa lama, ‘masakan perigi mencari timba’. Kadangkala sebagai wanita, ada perkara yang perlu kita abaikan untuk membawa perubahan. Perigi boleh mencari timba. Asalkan timba yang dicari itu sesuai semua hukum syaraknya. Kalau dilihat dari sudut sejarah atau Sirah Rasulullah s.a.w, ternyata isteri baginda yang pertama, Saidatina Khadijah yang terlebih dahulu meminang baginda melalui perantaraan orang kepercayaan beliau, Maisarah. Memang Khadijah wanita hebat yang ditentukan Allah SWT yang terbukti menjadi tiang sokong kepada perjuangan dakwah yang agung. Pengorbanan Khadijah tiada tolok bandingnya. Sebagai seorang yang matang dan jauh lebih berpengalaman, Khadijah dapat menilai yang mana kaca, yang mana permata! 


Iktibar yang perlu diambil dari kisah cinta Khadijah dan Muhammad SAW, sekiranya seorang wanita mempunyai keyakinan dan kekentalan semangat, positif melihat dirinya sebagai seorang insan yang punya banyak potensi dan sumbangan untuk masyarakat, tidak salah baginya memilih secara tegas calon suami yang bakal melayari hidup bersama untuk merealisasikan impian dan hasrat mulianya. Apa yang boleh diteladani dari kisah Khadijah ini, seorang wanita tidak hanya berserah kepada takdir bagi menunggu jodohnya datang menggolek. Usaha mestilah ada  merangkumi doa yang tidak pernah jemu serta pengharapan kepada kerahmatan serta belas kasihan Allah menjadi sandaran dan sokongan. Namun persoalannya hari ini, tidak banyak cara dan ruang dalam masyarakat kita untuk seorang wanita membuka langkah berani sebegitu rupa. Apatah lagi, kalau yang dilamar menolak pula pinangan kita. Tidakkah haru biru jadinya? Di mana hendak disorokkan wajah yang hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong ini. 





Tidak hairanlah sekiranya ramai di antara wanita berkerjaya yang sudah agak lewat usia, memilih untuk terus membujang dari menanggung risiko bimbang akan melalui pengalaman pahit ini. Di sini peranan ibu bapa sepatutnya dimainkan. Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menguruskan jodoh anak-anak gadis mereka. Kepada anak-anak pula haruslah mempercayai ibu bapa dalam memilihkan jodoh yang sesuai dengan mereka. Jika ibu bapa memainkan peranan menjadi orang tengah dalam urusan jodoh anak-anak mereka, tidak timbul tanggapan negatif mengenai perigi mencari timba. Kadangkala tanggapan orang seperti ini harus ditangani dengan sabar dan wajah penuh senyuman. Tidak semua orang berada dalam kasut yang sama. Secara amnya, tanggungjawab dalam mencari jodoh bukanlah terletak pada si gadis semata-mata. Jikapun dia telah bertemu dengan pilihan hatinya, ibu bapa juga harus turut mengetahui tentang asal-usul si lelaki agar tidak ada yang menyesal di kemudian hari. Sesungguhnya, jodoh, ajal dan maut itu sudah ditentukan Allah SWT. Namun, usaha kita juga perlu dalam mengharungi perjalanan mencari cinta sejati. InsyaAllah.