Menuju tahun 2020,masalah keruntuhan
akhlak dalam kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti tiada
penghujungnya. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam kalangan
remaja kita terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan sebagainya.
Namun demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi
kekeluargaan. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak supaya mereka
tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial. Kegagalan institusi
kekeluargaan berpunca daripada kekurangan ilmu tentang hidup berkeluarga
dan pelbagai ilmu dalam perkahwinan. Kita sepatutnya mempersiapkan diri kita
dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang terjadi dalam rumah tangga
mereka dapat diselesaikan secara baik dan berdiplomasi. Jika kita tiada ilmu
atau kurang ilmu, setiap perselisihan faham yang berlaku akan menyebabkan
institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya berlakulah penceraian. Hal ini
menyebabkan anak-anak kita yang akan terkena tempias atas kekhilafan diri kita
sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Anak-anak yang tertekan dengAn masalah penceraian tersebut akan mencari
kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri seperti melarikan diri
mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan kebahagiaan
kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kekurangan ilmu dalam
institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak.
Keruntuhan institusi kekeluargaan juga
berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi
tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang
sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan
segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang
secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang
perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa
terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti
anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas
kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan
menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak
berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat
kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan
peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih
berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa
kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam
diri remaja.
Selain itu, keruntuhan institusi
kekeluargaan juga berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama.
Hal ini demikian kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang
bahagia. Institusi kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan
goyah walaupun ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang
tidak berpegang kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai
melanda. Anak – anak yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk
melakukan perkara-perkara negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak
ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi. Jika sudah menginjak ke
usia remaja, mereka sukar menerima nasihat dan melakukan perubahan. Mereka
lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan kesan dan tidak berpaksikan pada
ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka mungkin akan terjebak dalam perkara
yang tidak sihat seperti merokok dan sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan
agama boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, keruntuhan institusi
kekeluargaan berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini
demikian kerana, dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan
kelansungan hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau
pekerja kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk
keluarga mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas
untuk mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan
sebagainya. Pada usia remaja, mereka sering berasa iri hati apabila melihat
rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti telefon
bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang
prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa
yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk
kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak.
Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan
anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka
mahu.
Untuk mengelakkan berlakunya kegagalan
institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa
seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala
kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan
menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial
yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka
dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka.
Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya
menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke
persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang
tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada
masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit
daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan