Wanita yang lambat berumah tangga sering dipandang negatif.
Kemudian hati yang gundah itu pula terikat dengan peribahasa lama, ‘masakan
perigi mencari timba’. Kadangkala sebagai wanita, ada perkara yang perlu kita
abaikan untuk membawa perubahan. Perigi boleh mencari timba. Asalkan timba yang
dicari itu sesuai semua hukum syaraknya. Kalau dilihat dari sudut sejarah atau
Sirah Rasulullah s.a.w, ternyata isteri baginda yang pertama, Saidatina
Khadijah yang terlebih dahulu meminang baginda melalui perantaraan orang
kepercayaan beliau, Maisarah. Memang Khadijah wanita hebat yang ditentukan
Allah SWT yang terbukti menjadi tiang sokong kepada perjuangan dakwah yang
agung. Pengorbanan Khadijah tiada tolok bandingnya. Sebagai seorang yang matang
dan jauh lebih berpengalaman, Khadijah dapat menilai yang mana kaca, yang mana
permata!
Iktibar yang perlu diambil dari kisah cinta Khadijah dan Muhammad
SAW, sekiranya seorang wanita mempunyai keyakinan dan kekentalan semangat,
positif melihat dirinya sebagai seorang insan yang punya banyak potensi dan
sumbangan untuk masyarakat, tidak salah baginya memilih secara tegas calon
suami yang bakal melayari hidup bersama untuk merealisasikan impian dan hasrat
mulianya. Apa yang boleh diteladani dari kisah Khadijah ini, seorang wanita
tidak hanya berserah kepada takdir bagi menunggu jodohnya datang menggolek.
Usaha mestilah ada merangkumi doa yang
tidak pernah jemu serta pengharapan kepada kerahmatan serta belas kasihan Allah
menjadi sandaran dan sokongan. Namun persoalannya hari ini, tidak banyak cara
dan ruang dalam masyarakat kita untuk seorang wanita membuka langkah berani
sebegitu rupa. Apatah lagi, kalau yang dilamar menolak pula pinangan kita.
Tidakkah haru biru jadinya? Di mana hendak disorokkan wajah yang hidung
tak mancung, pipi pula tersorong-sorong ini.
Tidak hairanlah sekiranya ramai di antara wanita berkerjaya yang
sudah agak lewat usia, memilih untuk terus membujang dari menanggung risiko
bimbang akan melalui pengalaman pahit ini. Di sini peranan ibu bapa sepatutnya
dimainkan. Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam menguruskan jodoh anak-anak
gadis mereka. Kepada anak-anak pula haruslah mempercayai ibu bapa dalam
memilihkan jodoh yang sesuai dengan mereka. Jika ibu bapa memainkan peranan
menjadi orang tengah dalam urusan jodoh anak-anak mereka, tidak timbul
tanggapan negatif mengenai perigi mencari timba. Kadangkala tanggapan orang
seperti ini harus ditangani dengan sabar dan wajah penuh senyuman. Tidak semua
orang berada dalam kasut yang sama. Secara amnya, tanggungjawab dalam mencari
jodoh bukanlah terletak pada si gadis semata-mata. Jikapun dia telah bertemu
dengan pilihan hatinya, ibu bapa juga harus turut mengetahui tentang asal-usul
si lelaki agar tidak ada yang menyesal di kemudian hari. Sesungguhnya, jodoh,
ajal dan maut itu sudah ditentukan Allah SWT. Namun, usaha kita juga perlu
dalam mengharungi perjalanan mencari cinta sejati. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan