Jumaat, 29 September 2017

PUISI : TAKUT


Yang aku takut

Hatiku kian mengeras dan sukar menerima nasihat
Namun sangat pandai menasihati.


Yang aku takut

Aku merasa paling benar
sehingga merendahkan yang lain.


Yang aku takut

Egoku terlalu tinggi
hingga merasa paling baik diantara yang lain.


Yang aku takut

Aku lupa bercermin
Namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain.


Yang aku takut

Ilmuku akan membuatku menjadi sombong
Memandang rendah yang berbeza denganku.



Yang aku takut
Lidahku makin lincah membicarakan aib saudaraku

Namun lupa dengan aibku yang menggunung tinggi


Yang aku takut

Aku hanya hebat dalam berkata 
Namun buruk dalam bertindak

Yang aku takut 

Aku hanya pintar dalam berdakwah 
Namun sulit untuk mentaati


Yang aku takut

Aku hanya cerdas dalam mengkritik
Namun lemah dalam mengkoreksi diri sendiri


Yang aku takut

Aku membenci dosa orang lain
Namun saat aku sendiri buat dosa aku enggan membencinya.


Ya Allah ya Tuhanku

Aku berlindung padaMu dari kelemahanku sendiri
Lembutkanlah hatiku dan rendamkan egoku
Aku memohon hidayah Mu.

KEMATIAN SUATU PERPINDAHAN

Kematian hanyalah satu perpindahan alam. Berpindah daripada alam fana kepada alam barzakh. Kematian juga adalah pemutus kepada segala kelazatan, kemanisan dan keenakkan kehidupan di dunia. Barangkali di dunia, kita dikelilingi oleh ramai kawan-kawan, sanak saudara dan keluarga. Namun kelak, kita akan kembali kepada Allah Azza Wa Jalla bertemankan bekalan amalan kita di dunia. Bagi orang soleh pula, kematian merupakan satu kerehatan bagi mereka setelah berhempas pulas penat lelah memperjuang serta menegakkan agama Nya. Di dunia, mereka senantiasa meneruskan kerja dakwah meskipun mereka tidak dikenali, mereka telah berkorban masa, tenaga serta harta semata-mata untuk menegakkan agama Rabbul Jalil. Maka jelaslah bagi kita, dunia yang sedang kita diami ini adalah pentas untuk kita berpenat lelah menegakkan agama Nya. Bukanlah tempat untuk kita bersuka ria, berhibur dan bersenang selamanya. Biar di lihat tidak berharta, miskin dan tiada kedudukkan di depan mata manusia asalkan jangan dilihat muflis dan hina di hadapan Allah Azza Wa Jalla. Kematian adalah suatu perkara yang telah dijanjikan oleh Allah Azza Wa Jalla. Sepertimana yang telah termaktub di dalam firman Nya yang bermkasud :

                       “Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati”
                        (Surah Al-Imran ayat 185)



Kematian merupakan satu tanda aras yang mengubah kedudukkan kita daripada bumi yang fana kepada alam kubur yang penuh penantian. Kita semua akan kembali kepada tanah, yang menjadi asal usul kita. Maka selayaknya kita sebagai manusia yang menjadi hamba Nya, melakukan persediaan rapi bagi menghadapi sebuah perpindahan ini. Kematian bukanlah pemutus kepada sebuah kehidupan. Bahkan ianya menjadi suatu permulaan perjalanan kembali kepada Rabb, Tuhan yang layak disembah. Sebab itu, apa yang kita miliki pada hari ini adalah merupakan suatu pinjaman daripada Allah, sebagai ujian dan dugaan bagi kita. Apa yang kita miliki hari ini, boleh menjadi ujian untuk melihat sama ada kita ini bersyukur sebagai hamba Nya ataupun sebaliknya, menjadi kufur, angkuh dan sombong. 



Kita juga seharusnya ingat, kematian datang pada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia, pangkat dan harta. Kematian sememangnya suatu tarikh yang penuh misteri. Namun kedatangan ajal ini tidaklah akan terlewat walau sesaat dan tidak pula dipercepat walaupun sesaat. Inilah yang telah di firman oleh Allah Azza Wa Jalla dalam surah al A’raf ayat 34 yang bermkasud :

"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun."

(Surah al-A'raf ayat 34)


Inilah janji Allah Azza Wa Jalla pada hamba Nya. Apabila tiba saat dan ketikanya, maka ianya tidak sedikit pun ditunda dan tidak sedikitpun dipercepatkan. Ketahuilah oleh kita semua, tidak apa sesiapa pun yang dapat menghalang seseorang daripada kematian. Maka sebab itu, kita dianjurkan sentiasa melakukan kebaikan walau sebesar kuman, kerana kita belum pasti bilakah lagi kita berkesempatan melaksanakan kebaikan. Berbuat baiklah kita pada semua makhluk Allah dan percayalah, kepada Allah jualah yang Maha Menilai setiap perbuatan baik dan buruk para hamba Nya. Dalam menjalani kehidupan ini manusia selalu berfikir apa yang akan dilakukan hari esok, entah bekerja, berbelanja, bermain, berekreasi, dan lain-lain, tetapi pernahkah terselit dalam fikiran kita bahwa esok kita akan mati?. Kematian adalah suatu hal yang pasti akan terjadi tetapi sering kita lupakan. Kematian menjadi hal yang sangat menakutkan bagi sebahagian orang. Tetapi Rasulullah SAW memerintahkan agar kita senantiasa mengingat kematian. Jasad manusia akan hancur setelah nyawa dicabut darinya. Tetapi jiwa dan ruh akan tetap ada dan kembali kepada pencipta-Nya. Kematian sama sahaja dengan kembali kepada Allah Azza Wa Jalla. Ia bukanlah kebinasaan melainkan hanya perpindahan dari satu fasa kehidupan di dunia ke fasa kehidupan sesudah mati.

Kematian juga boleh kita sifatkan sebagai bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati. Kematian akan menyapa siapa pun, baik ia seorang yang soleh atau derhaka, seorang yang turun ke medan perang ataupun duduk diam di rumahnya, seorang yang menginginkan negeri akhirat yang kekal ataupun ingin dunia yang fana, seorang yang bersemangat meraih kebaikan ataupun yang lalai dan malas-malasan. 

Semuanya akan menemui kematian bila telah sampai ajalnya. Bayangkanlah saat-saat sakaratul maut mendatangi kita. Ayah yang penuh cinta berdiri di sisi kita. Ibu yang penuh kasih juga hadir. Demikian pula anak-anak kita yang besar mahupun yang kecil. Semua ada di sekitar kita. Mereka memandang kita dengan pandangan kasih sayang dan penuh kasihan. Air mata mereka tidak henti mengalir membasahi wajah-wajah mereka. Hati mereka pun berselimut duka. Mereka semua berharap dan berangan-angan, andai kita masih tetap tinggal bersama mereka. Namun alangkah jauh dan mustahil ada seorang makhluk yang dapat menambah umur kita atau mengembalikan roh kita. Sesungguhnya zat yang memberi kehidupan kepada kita, Dia jugalah yang mencabut kehidupan tersebut. Milik-Nya lah apa yang Dia ambil dan apa yang Dia berikan. Dan segala sesuatu di sisi-Nya memiliki ajal yang telah ditentukan.

Khamis, 21 September 2017

HIJRAH MENYATUKAN UMMAH

Sejarah kalendar hijrah telah diasaskan oleh khalifah kedua islam iaitu Umar Al Khattab. Sepanjang tempoh pemerintahan Umar Al Khattab, telah banyak berlaku transformasi pentadbiran islam antaranya termasuklah penciptaan kalendar hijrah. Hijrah adalah suatu kalimah yang merujuk kepada makna berubah. Perubahan itu tidak akan berlaku sekiranya kita masih belum mempunyai kesedaran. Bermula dari langkah kesedaran maka akan lahirlah niat serta azam untuk berubah menjadi yang lebih baik dari semalam. Peristiwa hijrah senantiasa mengingatkan kita akan erti perpaduan,permuafakatan dan persefahaman. Perpaduan adalah nilai pengajaran terbesar dalam peristiwa hijrah. Perpaduan adalah satu perkara yang sangat rumit untuk kita bicarakan kerana masing-masing sudah tentu mempunyai kepentingan masing-masing. Dan kerana perkara inilah menjadikan kita susah untuk bersatu padu.


Menyingkap kembali peristiwa hijrah, bagaimana kita lihat perpaduan yang telah disemai oleh baginda Nabi SAW, menyatukan dua kaum terbesar ketika itu iaitu kaum muhajirin dan ansar. Sehinggakan diceritakan betapa murah nya hati kaum ansar sehingga sampai satu tahap untuk memberikan isteri mereka kepada kaum muhajirin sebagai memulakan hidup baru di Madinah. Sikap murah hati ini menjadi lambang bahwa betapa kuatnya perpaduan dikalangan kaum ansar dan muhajirin. Kita juga dapat melihat bagaimana kekuatan yang sedia ada pada umat islam ketika itu, telah dapat meghasilkan sejarah penuh gemilang iaitu disebut sejarah “Fathul Makkah” atau pembukaan kota mekah. Ianya terjadi setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan mempersatukan kaum ansar dan muhajirin.



Di zaman milenia ini, pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi. Percanggahan pendapat, perbezaan ideologi dan keegoaan kita adalah antara punca terbesar mengapa kita sangat sukar untuk membentuk perpaduan dikalangan ummah. Malah bertambah malang lagi, terdapat segelintir dari golongan agamawan yang suka mencetuskan perbalahan pada perkara-perkara yang remeh-temeh sedangkan, negara kita ini masih banyak isu atau soal yang lebih besar daripada itu. Perbalahan pada perkara yang sia-sia ini boleh membawa ummah kepada perpecahan dan pergaduhan besar. Lalu, hijrah yang bagaimana yang kita mahukan ? Sekiranya hijrah ini hanya disambut dengan mendengar kisah-kisah terdahulu, maka sia-sialah hidup ini. Kita seharusnya menghayati ibrah atau pengajaran dan kita perlu mengaplikasikan apa yang dapat kita pelajari dari peristiwa hijrah ini.




Hijrah mendidik kita untuk bersatu hati, berpegang teguh pada khazanah agung islam iaitu Al Quran dan As Sunnah. Hijrah bukanlah sekadar sambutan berarak beramai-ramai, memberikan anugerah itu dan ini. Hijrah, suatu peristiwa yang menjadi titik tolak kepada peneguhan ummah islam. Maka marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di tahun baru hijrah ini, berazam dan berniat menjadi hamba Allah yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Hijrah mengajak kita semua untuk belajar bersatu hati, berlapang dada dalam menerima perbezaan dan berkorbanlah demi melihat islam itu tertegak. Sedarlah, perjuangan islam bermula dari air mata darah orang terdahulu. Kisah Sumayyah, Bilal Bin Rabbah dan lain-lainnya terakam dalam sejarah agung islam hasil daripada penghijrahan mereka memilih memeluk islam. Maka kita yang telah sekian lama menjadi islam ini, jangan kita bertelagah. Meskipun kita berbeza pendapat, kita akan tetap terus bersahabat. Meskipun kita berbeza falsafah, kita akan tetap berukhwah. Semuanya bermula dari kita yang mahukan perubahan melihat islam bersatu padu membela ummah.

Isnin, 4 September 2017

SEBAIK-BAIK WANITA ADALAH WANITA SOLEHAH

Wanita adalah kaum yang dikenali dengan penuh sifat kelembutan, kelemahan dan kemanjaan mereka yang tersendiri. Wanita juga dianggap sebagai penyeri dunia, mewarnai kehidupan fana ini. Kerana dari merekalah, lahirnya keturunan anak cucu Nabi Adam AS. Kerana ketabahan daripada mereka lah menahan sakit perit maka dapat menambahkan zuriat umat kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Seperti yang kita tahu, sebelum pengutusan baginda Nabi Muhammad SAW, wanita dijadikan bahan tidak bermaruah di kalangan arab jahiliyyah. Bagi mereka, wanita hanyalah tempat untuk melampiaskan nafsu serakah. Wanita juga hanyalah sebagai pembantu rumah atau hamba sahaya yang boleh diperinah pada bila-bila masa. Malah lebih malang lagi, di zaman arab jahiliyyah tersebut, anak perempuan dianggap membawa malang dalam kehidupan sehingga ada dikalangan mereka yang tergamak menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Inilah antara sikap buruk arab jahiliyyah sebelum perutusan baginda Nabi Muhammad SAW.


Setelah perutusan baginda Nabi Muhammad SAW, martabat wanita diangkat, maruah wanita di pelihara dan dijagai. Syariat menutup aurat telah diperintahkan bagi lebih menjaga dan memelihara wanita. Islam sangat mengambil berat tentang perihal wanita dan islam adalah agama yang tidak rasis pada jantina lelaki mahupun perempuan. Malangnya pada hari ini, ramai wanita dengan sendirinya mendedahkan auratnya dan padanya pula menjadi suatu kebanggaan dengan mendedahkannya. Anak gadis pula tanpa segan silu berpakaian seksi yang menjolok mata demi meraih perhatian mata para lelaki. Meskipun islam telah datang dengan mengangkat martabat wanita, mensucikan kembali peranan wanita, namun segelintir dikalangan kita ada yang sanggup melanggar syariat dan mengejar dunia. Hari ini sudah menjadi satu perkara yang biasa bagi wanita berpakaian seksi mendedahkan aurat. Akibat daripada perkara tersebut, maka kebanyakkan wanita dieksploitasikan dengan memaparkan iklan para wanita bertujuan untuk melariskan perniagaan. Wanita seringkali dijadikan bahan pengiklanan kerana ia menyedapkan mata yang memandang dengan penuh nafsu.







Hakikatnya, kita perlu sedar bahwa kita seperti mahu kembali ke zaman arab jahiliyyah. Hal ini kerana kita sendiri boleh menilai bagaimana maruah wanita zaman ini yang mengejar dunia dengan berfesyen yang tidak patuh syariah, menelanjang ke sana dan ke sini, kononya mengikuti arus peredaran zaman. Tidak kurang pula, ada yang memakai tudung tetapi singkat. Ada juga yang memakai jubbah tetapi ketat. Tidak kurang pula ada yang memakai baju tetapi menampakkan auratnya. Dalam ajaran islam, Allah Azza Wa Jalla perintahkan supaya kaum wanita melabuhkan tudungnya dan memakai pakaian yang sedikit longgar dan labuh. Perintah ini bukanlah suatu bentuk hukuman bahkan ianya suatu bentuk rahmat, kasih sayang Allah pada kaum wanita. Malangnya hari ini, fenomena berfesyen muslimah telah meragut syariat Allah, dengan menggunakan nama islam, namun tidak sempurna dalam mematuhi syariat. Berjubah tetapi ketat, bertudung tetapi singkat. Islam bukanlah agama yang menyekat fitrah wanita yang sukakan pada kecantikan,keanggunan dan kejelitaan. Tetapi islam mempunyai garis panduan untuk kaum wanita lebih berwaspada dengan lelaki yang kadang kala bernafsukan syaitan bertuhankan serakah.


Nabi SAW pernah mengkhabarkan pada kita bahawa wanita itu ialah perhiasan dunia dan Nabi menyambungnya  lagi sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Apalah gunanya hidup bermake-up sana sini, namun perintah Allah langsung diketepikan. Apalah untungnya hidup di dunia ini, dipenuhi dengan kejelitaan, kecantikan dan keanggunan, namun tidak diredhai Allah. Maka sudah semestinya menjadi wanita solehah itu adalah impian setiap insan yang bergelar wanita. Cantiklah, soleklah dan anggunlah berlandaskan ajaran serta didikan daripada al quran dan as sunnah. Kecantikkan para wanita hanya layak dipersembahkan kepada si suami semata-mata. Bukan untuk ditayangkan pada khalayak umum apatah lagi untuk diperdagangkan oleh syarikat-syarikat pengiklanan. Menjadi wanita solehah barangkali tidaklah mendapat kemashuran atau pujian di dunia tetapi apalah sangat kemashuran atau pujian di dunia melainkan yang lebih bernilai adalah keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla, Tuhan yang memiliki segala sesuatu. Wanita solehah, budi pekertinya penuh kelembutan, pertuturannya penuh hikmah dan kecantikkannya eksklusif hanya pada yang layak.


Berhati-hatilah dengan promosi fesyen berbentuk muslimah. Terkadang, namanya sahaja muslimah namun rekaannya tidak memenuhi kehendak syariat. Bukanlah jenama yang kita lihat tetapi bentuknya yang di nilai supaya selari dengan kehendak syariat. Eksploitasi nama muslimah akan menjeratkan kita sekiranya gagal mematuhi garis panduan syariah. Tidak guna bertudung tetapi singkat, berjubah tetapi ketat kerana bukan tudung yang dinilai dan bukan jubah yang dilihat, tetapi kaedah menutup aurat yang di pandang oleh Allah Azza Wa Jalla. Wanita solehah juga senantiasa menjadi maruahnya di hadapan orang. Kegedikkannya dan kemanjaannya hanya ditunjukkan pada yang layak. Percakapannya adalah apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Mengumpat, menghina, memaki hamun orang adalah sifat-sifat yang harus dijauhi oleh seseorang wanita yang berstatus solehah. Tidak ada yang pernah rugi sekiranya kita belajar dan berusaha menjadi seorang wanita yang solehah kerana yakinlah, sekiranya kita memelihara dan menjaga agama Allah dengan mematuhi segala perintahNya maka Allah akan memelihara dan menjaga kita kembali di dunia mahupun di akhirat kelak. 

Ahad, 3 September 2017

ROHINGYA BERMANDI DARAH

Beberapa episod kekejaman terhadap etnik Rohingya ini telah tersebar luas di mata antarabangsa. Episod demi episod di paparkan pada kita namun dunia terus diam membisu seolah-olah meredhai diatas kekejaman yang telah berlaku. Bertambah malang, episod keganasan dan kekejaman ini telah berlaku di bumi Myanmar dimana terdapat seorang tokoh demokrasi yang sangat disanjung dunia iaitu pemegang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi. Ketokohan beliau disanjung dunia diatas perjuangannya dalam memajukan demokrasi di negaranya tanpa kekerasan rejim tentera. Atas perjuangan mulianya itulah beliau diberikan penghargaan sebagai pemegang nobel keamanan. Namun dilihat tidak berfungsi membela etnik minoriti ini.


Sepanjang pemerhatian dan penyelidikan yang dilaksanakan, punca utama etnik Rohingya ini diseksa adalah kerana ianya usaha kerajaan Myanmar dalam menhapuskan etnik Rohingya di Rakhine. Maka pelbagai sekatan undang-undang dilaksanakan. Antara undang-undang yang dikenakan pada mereka ialah etnik ini dilarang untuk berzuriat, tidak dibenarkan mendapat taraf kerakyatan negara Myanmar disebabkan etnik ini dianggap pendatang asing yang berpindah ke sana. Secara logiknya, undang-undang yang dikenakan pada etnik Rohingya ini adalah bertujuan untuk memberi tekanan pada umat islam di sana dan bertujuan untuk menghapuskan sedikit demi sedikit penganut agama islam. Pembantaian etnik ini bukanlah sesuatu isu yang baru malah berdekad lamanya mereka ini di zalimi. 



Ekoran kezaliman dan penindasan yang berlaku ini, maka mereka tidak dapat membuat banyak pilihan bagi meneruskan hidup kecuali dengan cara berpindah ke negara lain. Atas alasan mereka enggan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, maka kerajaan Myanmar telah melancarkan beberapa episod pengusiran etnik ini dengan bermacam bentuk kezaliman. Anak gadis diratah dirogol. Anak-anak kecil tidak berdosa dibunuh tanpa belas kasihan. Ada diantara mereka yang dibakar hidup-hidup, rumah mereka diletupkan dan pelbagai lagi aksi ngeri kekejaman terakam di bumi Rakhine, Myanmar. Etnik Rohingya ini tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang manusia. Hak pendidikan dinafikan. Anak-anak mereka tidak dibenarkan ke sekolah melainkan atas usaha sendiri. Apatah lagi dalam bab kerakyatan, tidak pernah diberi muka.


Atas rasa kebencian, rasis warna kulit dan bangsa, darah mereka ini dihalalkan. Krisis ini menjadi lebih teruk apabila pada tahun 2015, sebilangan daripada mereka terpaksa menaiki bot meredah lautan mencari tempat perlindungan. Syukur alhamdulillah, Malaysia adalah antara negara yang memberikan bantuan perlindungan selain negara Indonesia dan Turki. Nasib etnik Rohingya ini masih kabur dan seperti masih tidak ada jalan penyelesaian lagi. Dendam kesumat ini entah bagaimana kesudahannya. PBB yang juga menjadi harapan suara dunia terus diam berbisu. Sehingga tergamak membakar manusia hidup hidup, rejim ini tidak layak digelar manusia lagi. Kerana manusia mesti ada timbang rasa dan bersifat kemanusiaan. Malangnya keganasan ini menjadikan mereka seperti binatang bertuhankan Dajjal.



Walaubagaimana pun, isu Rohingya ini kita harus sedar dan percaya, pembelaan terhadap mereka bukan semata-mata atas nama agama, malah jauh daripada itu ialah atas nama kemanusiaan. Barangkali kerana mereka "islam" mereka diseksa, namun kerana kita semua manusia, kita semua mesti bangkit menunjukkan ketidaksukaan kita pada keganasan yang telah mereka lakarkan di bumi Rakhine. Kita harus protes dan membuka mata dunia bahwa tidak ada manusia yang layak dilayan seperti binatang hanya kerana berbeza agama, warna kulit dan bangsa. Keperitan etnik Rohingya di sana mungkin tidak dapat kita rasai tetapi setidak-tidaknya gerakkanlah hati kita, menadah tangan memanjatkan doa agar mereka yang menzalimi mendapat balasan yang setimpal. Isu etnik Rohingya ini jika ingin dilihat dari sudut kerangka yang lebih luas adalah sangat rumit bagi kita memahaminya. Namun ini bukanlah alasan untuk kita tidak peduli akan nasib saudara-saudara kita di sana.

Jumaat, 1 September 2017

PUISI : HIMPUNAN ARAFAH

Himpunan ini
Menjadi bukti serta dalil bahawa
Manusia itu sama darjatnya
Yang kaya yang miskin
Yang tua mahupun yang muda
Semuanya berhimpun atas nama
Cinta, kasih dan sayang


Himpunan ini
Menjadi lambang kekuatan serta perpaduan
Menafikan sikap rasis menolak sikap permusuhan
Meletakkan nilai cinta mendahului segala kepentingan
Melahirkan hati yang tunduk mensucikan jiwa yang tawadhuk






Himpunan ini
Memuja serta memuji Tuhan sekalian alam
Dia lah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi
Dia lah yang mentadbir sunnah alam semulajadi ini
Dia lah yang Maha Agung lagi Maha Perkasa
Dial ah Rabb, tiada yang disembah melainkan pada Nya


Himpunan ini
Kami berhimpun dan berkumpul di sini
Dengan tujuan mengharapkan keampunan dari Mu
Ya Rabb, Tuhan yang telah mempertemukan Adam dan Hawa
Ya Rabb, Tuhan yang telah mempersuakan Ibrahim dan Ismail
Ampunilah hamba Mu yang serba kekurangan ini
Rahmatilah hidup kami yang bakal menghadap Mu kelak




Himpunan ini
Akan memperlihatkan pada seluruh dunia
Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan
Islam adalah agama yang menepis kebencian
Membawa kasih sayang menyemai cinta abadi
Membajai dengan perpaduan menuai dengan keredhaan