Konsep wilayah memainkan
peranan yang penting dalam hubungan antara pemimpin dengan harta awam. Dalam
tradisi Islam, kebertanggungjawaban pemerintah ke atas harta awam diibaratkan
seperti kebertanggungjawaban seorang penjaga anak yatim ke atas harta anak
yatim itu. Penjaga ini boleh mendapat manfaat daripada harta tersebut pada
kadar yang maaruf dalam keadaan tertentu. Mengibaratkan harta awam seumpama
mengurus harta anak yatim pertama kalinya disebut oleh Khalifah Islam yang
kedua yakni Umar al-Khattab dalam ucapannya sebaik sahaja dilantik menggantikan
Abu Bakar al-Siddiq. Dalam konteks kenegaraan, perumpamaan begini telah
meletakkan satu penanda aras tertentu ke atas harta awam untuk diurus oleh para
pemimpin.
Penanda aras ini juga berat sekaligus mendambakan agar pemimpin untuk
senantiasa berhemah dan berhati-hai ketika menguruskannya. Perbuatan zalim
seperti memakan harta anak yatim secara batil mengundang azab yang dahsyat di
akhirat kelak. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud :
“Sesungguhnya
orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu
menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang
menyala-nyala (neraka).”
Mengapa sehingga sedemikian
Allah meletakkan azab kepada penyelewengan pengurusan harta anak yatim? Hal
demikian adalah kerana anak yatim diberi ujian dengan tiada lagi insan yang
menyayangi mereka sepenuh hati untuk mengasuh dan memelihara mereka. Kelemahan
yang dialami mereka dari segi akal dan fizikal sementelah belum sampai cukup
umur mendedahkan anak yatim ini kepada risiko eksplotasi oleh golongan yang
tidak bertanggungjawab,
Justeru, seperti harta anak
yatim yang tidak boleh mentadbir hartanya sendiri dan ruang eksploitasi terbuka
akibat daripada itu, harta awam juga menjadi ujian kepada pengurus dan penerima
manfaatnya. Benar, bukan sahaja pemimpin ditagih untuk beramanah, tetapi
masyarakat awam juga dituntut untuk berlaku jujur kerana kita juga mengguna dan
menguruskan harta awam sekalipun kita bukan pentadbir khas yang dilantik.
Kemudahan asas awam yang
disediakan seperti masjid, padang permainan, fasiliti perkhidmatan kesihatan
serta pendidikan adalah contoh-contoh harta awam yang boleh digunakan secara
terbuka oleh ahli masyarakat. Disebabkan oleh definisi harta awam – bukan harta
persendirian, ramai antara kita cenderung untuk alpa ketika menggunakannya. Ini
termasuklah penggunaan tanpa hemah, salah guna kemudahan awam untuk kepentingan
diri, merosakkan fasiliti tersebut dan lain-lain lagi. Keadaan ini amat
merugikan negara kerana sekalipun kita mempunyai kemudahan awam kelas pertama,
tetapi minda pengguna masih berada di kelas ketiga.
Dalam masa yang sama,
masyarakat cenderung untuk melihat harta awam dalam konteks kemudahan asas awam
yang kolektif sahaja. Sedangkan ada harta awam yang diterima secara individu
juga terdedah kepada pengurusan yang tidak cekap seperti dana awam. Dana awam
boleh mengambil ciri-ciri seperti bantuan tunai kerajaan kepada golongan yang
tidak berkemampuan, anugerah biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan kecil dan
lain-lain yang lazimnya diguna dan diurus pada peringkat individu.
Dana awam begini, khususnya
dalam bentuk pinjaman pendidikan, sekalipun mungkin tidak sepenuhnya memenuhi
syarat sebagai harta awam, perlu diberi perhatian sebagaimana menguruskan harta
awam dengan betul. Sebagai contoh, para pelajar perlu bertanggungjawab
menggunakan dana tersebut dengan amanah bagi tujuan pendidikan semata-mata
bukan tujuan untuk bermewah-mewahan atau dijadikan modal menyertai skim cepat
kaya. Kemudian, para pelajar hendaklah memulangkan kembali pinjaman tersebut
setelah tamat belajar dan mula bekerja.
Mengambil kira situasi hari
ini, kita melihat golongan penerima dana pendidikan utama negara, PTPTN berasa
sedikit lega apabila pemerrintah membenarkan penangguhan pembayaran semula
pinjaman pendidikan tersebut sehingga peminjam mencapai gaji RM4000 sebulan.
Dalam satu keadaan, keputusan ini memberi sedikit kelonggaran kepada individu
yang benar-benar berada dalam kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman
pendidikan tersebut.
Walau bagaimanapun, dalam
keadaan yang lain, kelonggaran ini juga sebenarnya membuka peluang kepada
individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan terutama mereka
yang sememangnya sengaja menangguh untuk membuat bayaran semula sedangkan tidak
berhadapan dengan masalah kewangan.
Begitu juga dengan golongan yang memang tidak berniat untuk membayar semula
pinjaman tersebut sebaliknya menunggu agar berlaku lagi ‘keajaiban’ seperti
pinjaman pendidikan tersebut bertukar kepada biasiswa penuh.
Secara umumnya, pasaran
pekerjaan pada masa kini mungkin tidak mampu menawarkan graduan gaji RM4000
sebulan kepada graduan muda. Bahkan mereka yang bekerja lebih lama lagi juga
masih tidak mencapai angka gaji tersebut. Malaysia juga secara umumnya masih
lagi tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana. Justeru, apakah
mekanisme terbaik untuk ‘memujuk’ peminjam dana pendidikan melunaskan hutang
mereka demi kemaslahatan para pelajar pada masa akan datang dalam masa yang
sama tidak menambah kesengsaraan penghutang yang memang benar-benar berada dalam
kesukaran?
Fokus kepada kelayakan gaji
untuk memulakan pembayaran balik pinjaman pendidikan perlu diseimbangkan juga
dengan fokus kepada pembayaran mengikut kemampuan. Masyarakat perlu disedarkan
bahawa hutang adalah satu beban yang berat. Hakikat bahawa hutang pendidikan
tersebut adalah daripada dana awam perlu ditekankan. Setiap individu perlu
menyedari bahawa kita tidak boleh menggunakan dana awam dengan cara batil atau
zalim. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu berusaha untuk membuang
sifat mementing diri demi memastikan generasi masa hadapan mendapat peluang
pendidikan yang baik.
Jika kita berpendapat pada
awalnya tidak patut manfaat pendidikan dikenakan hutang kepada penerimanya
(pelajar), maka berusahalah untuk menyumbang kepada konsep pendidikan percuma
bagi generasi seterusnya. Tidak membuat pembayaran semula mana-mana dana
pinjaman pendidikan yang diterima tidak membantu ke arah usaha ini. Sebaliknya
menyemai sikap penting diri dalam diri kita.
Hari ini, kita perlu melihat
harta awam dalam ruang lingkup yang lebih meluas dan bermakna. Ini juga
bermaksud, pengurusan harta awam tidak hanya tertakluk kepada para pemimpin
akan tetapi turut merangkumi ahli masyarakat seperti kita semua. Setiap manfaat
awam yang diterima perlu diurus dan digunakan dengan baik mengikut terma dan
syaratnya. Peraturan ini tidak lain tidak bukan bagi memastikan kelangsungan
manfaat harta tersebut untuk individu seramai mungkin temasuklah kepada
generasi yang akan datang. Maka tidak hairanlah mengapa Khalifah Islam Kedua
mengibaratkan harta awam seumpama harta anak yatim kerana beratnya amanah
tersebut.